Khamis, 30 April 2009

Perlawanan Persahabatan

Petang tadi (30 April 2009), selepas waktu persekolahan telah diadakan perlawanan persahabatan permainan bola tampar lelaki dan bola jaring perempuan bertempat di SKTP. Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP) bertemu dengan guru-guru dari Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 (SKSI2).

Sebelum pertemuan bermula, hujan telah turun membasahi gelanggang permainan. Kami membersihkan gelanggang terlebih dahulu sebelum memulakan perlawanan. Oleh kerana pasukan bola tampar SKSI2 tidak cukup seorang, saya menjadi pemain import untuk pasukan mereka.

Keputusannya, pasukan bola tampar dan bola jaring SKSI2 telah menang kedua-dua perlawanan. Permainan ping-pong pula cuma menjadi selingan pemanas badan kerana tiada perlawanan rasmi antara SKTP dan SKSI2. Selepas tamat perlawanan, saya dari SKTP dan isteri saya dari SKSI2 pun bertolak pulang bersama-sama.

Sabtu, 25 April 2009

Mesyuarat AJK Wakil Penduduk

Jam sudah melebihi 12:00 tengah malam. Kalau dikira dengan menggunakan kalendar tahun masihi, tarikh sekarang ini sudah menjadi 25 April 2009.

Kira-kira sebelum tengah malam tadi iaitu selepas solat Isyak, saya telah bergerak pergi ke Restoran AL-SHIFAN'S, Impian Murni. Saya dan beberapa orang lagi menunggu rakan-rakan yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa sesi 2009/2010, Wakil Penduduk IXORA, Impian Murni untuk mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa kali pertama di restoran ini.

Mesyuarat dimulakan kira-kira jam 10:24 malam. Banyak perkara yang dibincangkan. Antaranya ialah berkenaan kutipan wang untuk kawalan keselamatan, pembinaan pagar keselamatan di belakang rumah, borang maklumat diri warga penduduk, gotong royong membersihkan tapak surau dan cara-cara untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara jiran-jiran.

Sehinggalah berlanjutan ke jam 12:05 tengah malam, mesyuarat ditamatkan untuk kali ini. Mesyuarat yang seterusnya akan diberitahu kemudian. Harapan semoga perkara-perkara yang disepakati bersama dapat dilaksanakan. 'Jiran Sepakat Membawa Berkat'.

Sabtu, 18 April 2009

Kursus eduwebtv.com

Pagi ini (18 April 2009), saya keluar dari rumah menuju ke SKTP. Sampai di sana, daftar nama terlebih dahulu di pejabat sekolah menandakan kehadiran diri. Sebenarnya hari ini, Unit Perkembangan Staf SKTP mengadakan Kursus eduwebtv.com untuk guru-guru. Ia adalah merupakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) siri yang pertama untuk tahun 2009.

Saya dan rakan-rakan guru masuk ke makmal komputer sekolah. Kursus disampaikan oleh Guru Media SKTP. Beliau menunjukkan bagaimana cara untuk guru-guru menggunakan eduwebtv.com dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru diminta mendaftarkan nama dengan eduwebtv.com sebelum memulakan pembuatan gambar dan video dengan menggunakan program Windows Movie Maker. Sebelum kursus ini, memang saya pernah melayari eduwebtv.com tetapi belum mendaftar sebagai ahli. Jadi, dengan adanya kursus ini, saya dapat memanfaatkan program ini. Terima kasih.

Rabu, 15 April 2009

Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya

Hari ini (15 April 2009), telah diadakan Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi, Selangor. Saya, Ust Azam dan cikgu Nasibah mengiringi murid-murid SKTP menyertai karnival tersebut. Aktiviti ini melibatkan murid-murid dari sekolah rendah dan pelajar-pelajar dari sekolah menengah sekitar Daerah Hulu Langat.

Di kesempatan inilah saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan dari sekolah yang lain. Tidak disangka-sangka juga, saya dapat bertemu kembali dengan beberapa orang bekas anak murid saya ketika mengajar di Kelas al-quran dan Fardhu A'in (KAFA) Integrasi di bawah Jabatan Agama Islam Selangor. Ketika itu, saya mengajar mereka Bahasa Arab dan komponen-komponen mata pelajaran Agama Islam. Kini, saya mengajar di Sekolah Kebangsaan pula. Juga subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran utama. Sekarang, bekas anak-anak murid saya itu sedang belajar di sekolah menengah.

Di samping itu juga, saya sempat bersua dengan rakan-rakan yang sama-sama belajar di Jordan dulu. Mereka sekarang menjadi pendidik di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ini. Diharap Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya ini menjadi pemangkin kepada cita-cita untuk murid-murid dan pelajar-pelajar pada masa akan datang.

Sabtu, 11 April 2009

Mesyuarat Wakil Penduduk

Baru sebentar tadi (11 April 2009), kira-kira jam 9:25 malam hingga 11:10 malam, telah diadakan Mesyuarat Tahunan Kali Ke-2, Wakil Penduduk IXORA, Impian Murni di sebuah rumah di Jalan 3/2. Jawatankuasa sesi 2008/2009 telah dibubarkan. Jawatankuasa sesi 2009/2010 pula dilantik.

Saya telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk Jalan 3/4. Di samping itu juga dilantik sebagai Biro Kebajikan dan Agama. Cadangan membina surau melibatkan penduduk di keseluruhan kawasan Impian Murni. Jika ada perbincangan berkenaan aktiviti penajaan surau dan lain-lain yang berkenaan agama, saya serta rakan-rakan mewakili penduduk IXORA akan bermesyuarat pula dengan wakil-wakil penduduk yang lain di sekitar Impian Murni. Ini kerana kawasan Impian Murni adalah luas.

Diharap jawantankuasa yang baru dilantik ini dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya. Terima kasih.

Rabu, 1 April 2009

APRIL FOOL ?

April Fool yang dikenali sebagai All Fool's Day berlaku pada setiap 1 April, berdasarkan budaya memperolok-olokkan orang pada hari tersebut. Sebagai orang Islam, kita tidak perlu menyambutnya. April Fool ini pun bukan datang daripada budaya Islam kerana tidak elok mempermain-mainkan orang lain semata-mata untuk suka-suka.

Berkenaan sejarah bila ia mula berlaku, tidak dapat dipastikan dengan jelas. Ia disambut oleh orang bukan Islam di seluruh dunia. Ada yang mengatakan waktu April Fool ini sama dengan perubahan yang berlaku pada musim bunga. Apabila perubahan cuaca dan waktu dikatakan 'memperolokkan' manusia.

Sekiranya ada orang yang ingin mempermainkan kita pada 1 April, kita boleh beri tau mereka, "tak kelakar pun". Itu cuma sebagai contoh. Atau pun boleh cakap pada dia, "nak kena kan saya kan"?. Atau sebagainya yang lebih berhemah.

Tunjukkan contoh yang baik kepada kawan-kawan sama ada yang beragama Islam atau pun tidak. Mungkin mereka tidak mengetahui perkara ini. Itu juga adalah satu dakwah.
Wallahu A'alam.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.