Sabtu, 27 Jun 2009

20 Hujah Golongan Anti-Hadis dan Jawapan

Golongan Anti-Hadis ialah segelintir umat Islam masa kini yang hanya taat kepada ajaran al-Qur'an al-Karim. Mereka menolak dan mengingkari ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w., yakni hadis-hadisnya. Golongan ini berusaha keras untuk menyebarkan fahaman mereka kepada orang ramai. Antara medium dakwah yang utama adalah melalui internet. Selain itu, mereka juga berdakwah dengan menulis rencana di akhbar tempatan, mengedar risalah percuma dan menampal poster-poster di tempat awam.

Buku yang dipersembahkan kepada para pembaca ini diusahakan khas bagi menangani secara ilmiah usaha dakwah Golongan Anti-Hadis. Ia membahas, menjawab dan menerangkan kesalahan serta kekeliruan hujah-hujah dasar yang dikemukakan oleh Golongan Anti-Hadis.

Buku ini tidaklah khusus ditujukan kepada mereka yang pernah didakwah oleh Golongan Anti-Hadis sahaja. Sesiapa sahaja boleh membaca buku ini dan menjadikan ia sebagai "perisai ilmu" seandainya di satu hari nanti mereka didakwah atau bersemuka dengan Golongan Anti-Hadis. Adalah juga diharapkan buku ini dapat menyedarkan ahli-ahli Golongan Anti-Hadis sendiri akan kesilapan mereka sehingga akhirnya dapat mengembalikan mereka ke jalan yang sebenar.

Ahad, 21 Jun 2009

Gotong-royong Jalan 3/4

Kajang, 21/06/2009 - Saya dan rakan-rakan yang berjiran di kawasan perumahan Jalan 3/4, bergotong-royong membersihkan kawasan di lereng bukit yang berhadapan dengan rumah kami. Banyak pokok yang sederhana besar berjaya ditumbangkan. Begitu juga dengan semak samun. Oleh kerana terdapat semak samun yang sudah kering, kami bersetuju untuk membakar sahaja. Kami sama-sama mengawal api supaya tidak merebak. Sejak pagi lagi kami berbuat demikian. Tengah hari, kami berhenti.

Idea ini sebenarnya tercetus kerana malam semalam telah berlaku kajadian rompakan di salah sebuah rumah jiran kami di Jalan 3/4 ini. Ia mungkin berlaku antara waktu Maghrib dan Isyak ketika tuan rumah keluar. Kejadian tersebut cuma disedari apabila tuan rumah pulang. Saya dan jiran-jiran datang menjenguk untuk melihat apa yang berlaku.

Pihak polis ada datang menyiasat kajadian ini. Pihak polis tersebut ada mengatakan pernah suatu ketika dahulu pihak perompak melarikan diri melalui lereng bukit kecil di hadapan rumah kami ini. Itu berlaku ketika kawasan ini sedang dalam pembinaan. Sekarang, pokok-pokok di hadapan kawasan rumah kami ini pun sudah tinggi. Jika ada orang yang meronda pun, pihak perompak boleh bersembunyi di lereng bukit yang terdapat pokok-pokok. Oleh sebab itulah kami bersepakat untuk membuat gotong-royong pada hari ini bagi membersihkan kawasan tersebut setakat yang termampu. Gotong-royong yang seterusnya kami akan lakukan pada hujung minggu yang akan datang jika tiada program lain.

Sabtu, 20 Jun 2009

Kursus 'Sucikanlah Hatimu'

Cheras, 20/06/2009 - Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taming Jaya, telah diadakan kursus untuk guru-guru Pendidikan Islam bagi Zon Cheras. Ia adalah untuk Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP). Sebelum ini, LADAP cuma diadakan di peringkat Sekolah Kebangsaan Taman Puteri. Kali ini, ia diadakan di peringkat Zon Cheras, Daerah Hulu Langat.

Selepas kata-kata aluan pengerusi majlis, saya membacakan doa' pembukaan majlis. Kursus kali ini disampaikan oleh Ustaz Norhisam, Ketua Unit Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.

Antara pengisiannya adalah seperti berikut. 8:30 pagi hingga 10:30 pagi, ceramah slot 1 bertajuk Sihat Hati Kita - Satu Persoalan. 11:00 pagi hingga 1:00 tengah hari, ceramah slot 2 bertajuk Tips Untuk Hati Yang Sihat. 2:00 petang hingga 4:00 petang, ceramah slot 3 bertajuk Bagaimana Untuk Mencapai Kecemerlangan.

Di kesempatan kursus kali ini, saya dapat berjumpa semula dengan beberapa orang rakan yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku. Dulu, kami ialah pelajar. Kini, kami ialah tenaga pengajar.

Isnin, 15 Jun 2009

Hukum Menderma Organ

Agama Islam yang telah diturunkan oleh Allah melalui para Nabi dan Rasul merupakan agama yang sejahtera untuk umat manusia. Islam membawa kesejahteraan, kebahagiaan dan kasih sayang kepada makhluk di dunia ini. Oleh itu, kita diharuskan menderma organ kepada mereka yang memerlukan sama ada sesama Muslim atau pun bukan Muslim.

Pada 23 Jun 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan menggariskan empat syarat yang mesti diambil kira dalam memfatwakan hukum menderma organ sebagai harus. 1-Pemindahan organ dibenarkan jika ia merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang mengalami kegagalan organ. 2-Penderma organ mesti disahkan telah mati. 3-Mendapat kebenaran daripada keluarga penderma. 4-Tidak melibatkan urusan jual beli. Dalam kata lain, organ tubuh bukan barang dagangan tetapi mesti dianggap sebagai derma.

Ulama kontemporari termasuk Dr Yusuf al-Qardhawi sepakat menderma organ atau sel stem adalah harus dengan syarat-syarat berikut. 1-Tidak ada unsur perdagangan. 2-Terbukti ia boleh memanfaatkan atau meningkatkan kualiti hidup. 3-Tidak mendatangkan mudarat kepada penderma. 4-Dilakukan untuk kepentingan umum. 5-Dilakukan dengan kebenaran penderma. 6-Dilakukan dengan ikhlas tidak ada paksaan.

Isnin, 8 Jun 2009

Restoran Tarbush, Ampang Point

Ampang, 08/06/2009 - Saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari kampung di Pahang menuju ke rumah di Selangor. Dalam perjalanan pulang, saya singgah sebentar ke Restoran Tarbush di Ampang Point. Turun seorang sahaja dari kereta. Isteri dan anak-anak menunggu di dalam kereta. Saya minta dibungkuskan dua shawarma ayam dan kembali ke kereta. Teringin hendak makan shawarma dengan resepi Arab yang tulen. Sebelum ini pun, kami telah beberapa kali singgah di Restoran Tarbush Ampang Point menikmati menu makanan Arab. Pada tahun 2008 iaitu pada hari lahir saya yang ke-33, kami sekeluarga telah meraikan hari tersebut di sini.

Restoran Tarbush ini terletak di alamat:
Lot G05, Ground Floor,
Ampang Point Shopping Centre,
Jalan Mamanda 3, Ampang Point,
68000 Ampang,
Selangor.

Sempena cuti sekolah pertengahan tahun ini, saya membawa emak pulang semula ke kampung pada minggu lepas. Emak saya telah sebulan berada di Lembah Klang. Saya dan adik-adik saya kebanyakannya tinggal di kawasan ini.

Cuma di kampung RTP SU ini bekalan air paip selalu terputus. Ini memaksa kami kembali semula ke Lembah Klang untuk beberapa hari. Selepas itu, pulang semula ke RTP SU. Sudah banyak aduan telah dibuat berkenaan masalah bekalan air paip tetapi tindakannya tidak seberapa.

Pada cuti kali ini juga, saya dan keluarga serta emak sempat menghadiri kenduri kahwin sepupu saya di Daerah Lipis ini.

Hari ini, kami pulang dari kampung di Pahang ke Selangor. Esok, kami bercadang hendak pulang ke kampung di Melaka pula. Cuti masih ada.

Isnin, 1 Jun 2009

Kuala Lumpur International Airport

Hari ini (1 Jun 2009), hari Isnin. Kira-kira jam 5:40 petang, saya sekeluarga bersama emak pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kuala Lumpur International Airport (KLIA) di Sepang.

Oleh kerana hujan lebat, saya memandu kereta dengan berhati-hati. Melalui Lebuhraya SILK, masuk ke PLUS dan seterusnya melalui ELITE. Keluar di Persimpangan KLIA dan terus ke sana. Letak kereta di kawasan berbumbung di dalam bangunan di tingkat 2. Naik lif terus ke balai berlepas. Kami ke Kaunter A dan keluarga adik saya sudah berada di sana.

Sebenarnya malam ini, suami adik saya hendak berangkat pergi umrah. Sebelum dia berangkat, saya sempat sembahyang Maghrib di surau KLIA. Walaupun umur suami adik saya lebih tua 3 tahun daripada saya, dia tetap adik ipar saya.

Dia pergi umrah bersama kakitangan Lebuhraya KESAS dan emaknya. Ramai juga ahli keluarga mereka ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan. Saya sekeluarga dan emak bertolak pulang ke rumah sebelum Isya'. Dalam perjalanan, azan Isyak berkumandang. Esok, kami hendak pulang ke kampung pula sempena cuti sekolah ini.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.