Isnin, 31 Ogos 2009

Hari Kemerdekaan 2009

Kajang, 31/08/2009 - Penduduk-penduduk di Jalan 3/4, Fasa IXORA, Impian Murni telah menggantung bendera Malaysia di kawasan sekitar rumah. Saya dan jiran-jiran mempamerkan Jalur Gemilang sempena negara kita menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-52 hari ini.

Di peringkat kebangsaan, sambutan diadakan di Dataran Parlimen Kuala Lumpur pagi tadi. Sambutan yang bertemakan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'. Sambutan tahun ini diadakan secara ringkas dan sederhana kerana negara berdepan dengan wabak selesma babi Influenza A (H1N1) dan umat Islam pula sedang mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Hari ini, 10 Ramadhan 1430H.

Perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat julung kali ia diadakan di Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi berparlimen di negara ini. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-52.

Rukun Negara Malaysia مبدأ الدولة ماليزيا
1. Kepercayaan Kepada Tuhan الإيمان بالله
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara الولاء للملك والوطن
3. Keluhuran Perlembagaan التمسك بالدستور
4. Kedaulatan Undang-undang سيادة القانون
5. Kesopanan dan Kesusilaan حسن الأخلاق والسلوك

Selasa, 25 Ogos 2009

Pusat Jalur Lebar Komuniti RTP SU

Kuala Lipis, 25/08/2009 - Saya dan keluarga masih berada di Kampung (RTP) Sungai Ular. Hari ini, 4 Ramadhan 1430H. Ketika berada di rumah, saya menggunakan internet dengan Celcom-Broadband yang disambungkan ke komputer riba. Setakat ini, setiap malam saya solat tarawih di Masjid Kampung (RTP) Sungai Ular. Saya tidak perasan yang di sebelah masjid tersebut terdapat sebuah pusat internet. Sebelum ini, ia adalah sebuah dewan makan. Cuma petang semalam saya menyedari ada terdapat pusat internet yang dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti.

Saya pergi ke pusat tersebut petang semalam dan berjumpa dengan anak-anak muda kampung ini yang sedang melayari internet. Menurut mereka, pusat ini baru dibuka pada pertengahan tahun ini. Ia diuruskan oleh anak-anak muda kampung ini dengan kerjasama TM, SKMM dan MSD Technology Sdn Bhd. Menggunakan sistem talian tetap dan juga teknologi Wi-Fi.

Pagi ini, saya mambawa komputer riba sendiri ke Pusat Jalur Lebar Komuniti RTP SU. Menggunakan internet dengan teknologi Wi-Fi. Sempat saya menulis catatan ini di sini. Nampaknya kampung saya sudah ada pusat internet. Anak-anak muda di kampung ini dan kawasan sekitarnya dapat didedahkan dengan teknologi maklumat. Ia tidak terhad kepada golongan muda sahaja. Bahkan para ibu bapa di kampung ini juga dapat mempelajari teknologi maklumat untuk kebaikan bersama. Marilah bersama-sama menggunakan internet secara berhemah. Jangan disalah gunakan pada perkara keburukan.

Sabtu, 22 Ogos 2009

1 Ramadhan 1430H

Kuala Lumpur, 22/08/2009 - Umat Islam di Malaysia mula berpuasa hari ini. Cuti Pertengahan Penggal 2 juga bermula hari ini bagi negeri-negeri yang bersekolah pada hari Isnin hingga hari Jumaat.

Saya dan keluarga masih berada di Lembah Klang. Kami bercadang mahu pulang ke kampung hari ini sempena cuti persekolahan yang baru bermula. Mula-mula kami akan pulang ke Pahang. Selepas itu, kami akan kembali ke Lembah Klang. Ini kerana saya akan mengambil peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kertas kompetensi khusus. Saya tidak mengambil kertas kompetensi umum kali ini kerana telah berjaya mendapat keputusan aras 4 pada peperiksaan bulan Mac 2009 yang lalu. Selepas itu, saya dan keluarga bercadang mahu pulang ke kampung di Melaka pula.

Cuti Hari Kemerdekaan tahun ini bersambung dengan Cuti Pertengahan Penggal 2 bagi negeri-negeri yang bersekolah pada hari Isnin hingga hari Jumaat. Jika dihitung cuti persekolahan yang bersambung dengan Cuti Hari Kemerdekaan pada tahun ini, ia bermula pada 1 Ramadhan dan akan berakhir pada 10 Ramadhan. Selamat berpuasa.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Perkhemahan Ibadah SKTP 2009

Cheras, 08/08/2009 - Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP) telah mengadakan majlis penutup Kem Ibadah 2009 pada hari ini. Tema program ialah Membentuk Modal Insan Yang Beriman. Ia adalah anjuran Panitia Pendidikan Islam dan Unit j-QAF di bawah aktiviti kokurikulum sekolah. Sejak petang semalam lagi, murid-murid Pendidikan Islam Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) serta guru-guru telah berkumpul di kawasan sekolah.

Perkemahan Ibadah ini merupakan salah satu pengisian untuk pembangunan Islamiah peribadi murid-murid Pendidikan Islam di sekolah ini. Program ini mengandungi pelbagai aktiviti yang lebih menekankan kepada peningkatan dari sudut kerohanian dan pemahaman kewajipan di kalangan murid-murid. Program ini juga telah memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang Qiyamullail atau solat Tahajjud. Amalan ini antara amalan sunat yang paling berat untuk dilaksanakan. Sedangkan inilah amalan yang selalu diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat r.a.

Program ini dapat memberikan pendedahan kepada murid-murid berkenaan bentuk-bentuk amalan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kerohanian diri. Mereka juga dapat merasai pengalaman dan penghayatan solat Tahajjud secara berjemaah di sepertiga malam. Di samping mendapat penjelasan yang lebih terperinci mengenai kepentingan solat dan tanggungjawab sebagai seorang yang beriman.

Semua guru SKTP diberikan tugas tertentu untuk kelancaran program. Daripada proses pendaftaran peserta semalam hinggalah ke majlis penutup hari ini. Solat Maghrib dan kuliah Maghrib dikendalikan oleh Ustaz Saaban SKTP. Solat Isyak, solat Hajat dan bacaan surah Yasin dikendalikan oleh Ustaz Norsalami, Imam Masjid Subang Jaya. Qiamullail atau solat Tahajjud dikendalikan oleh Ustaz Azam SKTP. Solat Subuh dan kuliah Subuh dikendalikan oleh Ustaz Jeehan SKTP.

Ahad, 2 Ogos 2009

Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan

Seremban, 02/08/2009 - Di Taman Desa Rhu, emak saudara yang saya panggil Mak Tam telah mengadakan majlis kenduri sempena perkahwinan anak sulungnya. Anaknya lelaki. Kenduri kali ini ialah kenduri menyambut kedatangan menantunya yang perempuan. Emak saudara saya berasal dari Pahang. Suaminya yang saya panggil Pak Tam memang berasal dari Negeri Sembilan. Dapat menantu pula dari Perak.

Saya sekeluarga bertolak dari Kajang ke Seremban melalui Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) tetapi keluar di Mantin sebelum ke Seremban. Ini kerana lebuhraya tersebut belum siap sepenuhnya. Pada masa akan datang, terus ke Seremban. Adik perempuan saya sekeluarga pula datang dari arah Klang. Mereka keluar dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menuju ke Seremban. Sampai di sebuah masjid, kami bergerak bersama-sama menuju ke rumah Mak Tam.

Semasa saya di rumah Mak Tam, bapa saudara yang saya panggil Ayahde tiba di Seremban. Dia dan beberapa orang ahli keluarga datang dari Pahang. Dia tidak tahu jalan ke rumah Mak Tam. Saya mengambilnya dengan bantuan seorang rakan Pak Tam dan kereta mereka mengikut kereta kami dari belakang menuju ke majlis kenduri tersebut.

Dengan adanya majlis seperti ini, dapatlah kami bertemu dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sudah terjalin sebelum ini. Sebelum pulang ke Kajang, saya sekeluarga singgah pula ke rumah kakak ipar (kakak kepada isteri saya) di Paroi.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.