Ahad, 27 Disember 2009

Pengenalan Komputer

Komputer ialah sebarang peralatan, mesin atau alat yang digunakan untuk memproses maklumat, berpandukan kepada prosedur dan arahan yang ditetapkan.

Seseorang pemilik komputer peribadi perlu mengenali komponen-komponen komputernya yang berlainan. Pengetahuan mengenai nama, bentuk fizikal serta fungsi komponen-komponen komputer peribadi akan membantu seseorang apabila dia berhadapan dengan masalah atau ketika menggunakan komputer peribadi yang lain. Pengetahuan ini juga akan menjadikan seseorang itu lebih yakin apabila menggunakan komputer multimedia, apatah lagi sekiranya komputer itu bukanlah yang sering digunakan olehnya sebelum ini, lebih khas lagi, bagi guru-guru untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Pada asalnya, perkataan komputer bermaksud pengira. Pengira bertugas untuk melakukan pengiraan matematik sama ada dengan bantuan alat mekanik atau tidak. Seterusnya, hasil kiraan dialihkan ke mesin. Pada asalnya, tugas 'komputer' hanyalah khusus kepada penyelesaian matematik, tapi komputer moden digunakan untuk pelbagai tugas lain yang tidak berkaitan dengan matematik.

Takrif asal 'komputer', seperti yang disebut di atas, hanya merangkumi peralatan khusus yang boleh mengira satu fungsi atau berbilang fungsi yang terhad. Sekiranya mengambil kira komputer moden, salah satu ciri yang membezakannya dengan komputer awal ialah: sekiranya dimasukkan dengan perisian-perisian yang sesuai, komputer moden berkemampuan untuk meniru sebarang pengiraan. Namun kemampuan ini dibatasi oleh pemuatan storan, ingatan capaian rawak atau "Random Access Memory" (RAM) serta kelajuan pemprosesan. Dalam erti kata lain, kemampuan ini boleh digunakan sebagai ujian untuk membezakan komputer 'serba-guna' dengan komputer awal yang hanya khusus untuk tugas tertentu. Komputer juga boleh ditakrifkan sebagai satu sistem yang mengendalikan simbol-simbol elektronik dengan pantas dan tepat dan direka khas untuk menerima, memproses, menyimpan dan mengeluarkan hasil keluaran.

SUMBER: Wikipedia Bahasa Melayu.

Selasa, 22 Disember 2009

Status Permohonan Untuk Membina Surau

Shah Alam, 22/12/2009 - Saya sebagai wakil pemuda dan Ustaz Hussain sebagai setiausaha dalam jawatankuasa pembinaan Surau Impian Murni Fasa 5C bersama-sama pergi ke Bangunan Sultan Idris Shah di ibu negeri Selangor pagi tadi. Saya dari Jalan Impian Murni 3/4 dan dia dari Jalan Impian Murni 3/9. Mula-mula kami menuju ke Bahagian Pengurusan Masjid di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk melihat status permohonan pembinaan surau yang telah dihantar sebelum ini. Fail berkenaan tiada di situ. Mungkin terdapat masalah ketika memohon tapak surau yang telah diwartakan itu. Kami diminta merujuk perkara berkenaan ke Bahagian Pembangunan untuk melihat status pewartaan tersebut. Apabila kami membuat rujukan, statusnya berbunyi begini. Telah mohon pewartaan pada 12 Februari 2008. Telah diluluskan oleh Menteri Besar pada 20 Julai 2009. Katanya, surat kelulusan tersebut telah dihantar ke Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan sepatutnya telah dihantar kepada Persatuan Penduduk Impian Murni.

Bandar Baru Bangi, 22/12/2009 - Saya dan Ustaz Hussain tiba di Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat selepas bertolak dari Shah Alam. Kami membuat rujukan berkenaan surat kelulusan oleh Menteri Besar Selangor tentang permohonan pewartaan untuk pembinaan surau. Katanya, surat kelulusan tersebut telah dihantar kepada Persatuan Penduduk Impian Murni. Mungkin surat tersebut tidak sampai kepada kami kerana alamatnya tidak merujuk kepada alamat yang lengkap. Kami diberi salinan surat kelulusan tersebut. Kami perlu membuat tindakan susulan berkenaan permohonan pembinaan surau yang telah dihantar sebelum ini kepada pihak JAIS.

Jumaat, 18 Disember 2009

Tahun Baru 1431 Hijrah

Hari ini, 1 Muharram 1431 Hijrah (18 Disember 2009 Masihi) ialah pada hari Jumaat. Khutbah Jumaat di masjid-masjid hari ini mengingatkan kita berkenaan peristiwa hijrah. Ia adalah peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam ditegakkan. Hasil daripada itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil daripada pilihan Khalifah ar-Rasyidin yang kedua iaitu Sayyidina Umar al-Khattab r.a. itu. Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah ialah hasil daripada ilham beliau.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Bayt al-Maqdis dibebaskan daripada kerajaan Rom dan Masjid al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar atau Takwim Islam yang rasmi.

Di dalam takwim hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan kelihatan ketika matahari terbenam. Jika anak bulan tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang, maka hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan mengakuinya di hadapan pemimpin.

Kedatangan tahun 1431 Hijrah hari ini, iaitu tahun baru dalam kalendar Islam, marilah sama-sama kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap takwim hijrah.

Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharram, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w., bermula dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Mekah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Jumaat, 11 Disember 2009

Sejarah Kuala Lipis, Pahang

Kuala Lipis, 11/12/2009 - Saya, isteri dan dua orang anak kami masih berada di daerah Lipis kerana menziarahi emak di kampung. Saya telah dilahirkan di sebuah kampung yang juga terletak di daerah ini. Telah dibesarkan di daerah ini daripada kecil sehingga ke peringkat sekolah menengah. Semasa menerbitkan catatan berkenaan Kuala Lipis, saya memang sedang berada di bandar ini.

Kuala Lipis ialah sebuah bandar kecil di negeri Pahang. Ia terletak di daerah Lipis. Ia dahulunya pusat perlombongan emas sebelum British tiba pada 1887. Pada 1898, ia menjadi ibu negeri Pahang sehingga 1953. Bandar ini membesar dan maju selepas pembinaan landasan kereta api pada 1924. Walau bagaimana pun, pada 1953, ibu negeri telah berpindah ke Kuantan dan Kuala Lipis tidak lagi pesat membangun. Ia sekarang menjadi peringatan zaman silam. Walau pun begitu, beberapa institusi pendidikan baru seperti Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Maktab Rendah Sains Mara telah dibina. Sebuah bandar baru di seberang Sungai Jelai juga sudah dibina dan mula beroperasi.

Bandar Kuala Lipis memang kaya dengan tinggalan bangunan bersejarah era penjajah British abad ke-19 selain keindahan alam semula jadinya yang dikelilingi hutan rimba dan sungai yang masih belum tercemar. Status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah masih terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan yang dijalankan Majlis Daerah Lipis (MDL).

Menyingkap sejarah lampau, ketika bandar ini menjadi ibu negeri Pahang, ia dijadikan pusat pemerintahannya ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.

Antara bangunan yang masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920).

Tinggalan lain yang masih kukuh ialah kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda 1900 yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan-bangunan zaman British ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan British sebelum dan selepas merdeka.

Selain melihat bangunan bersejarah, pelancong juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai tempat habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semulajadinya.

Jumaat, 4 Disember 2009

Percutian ke Utara Malaysia 2009

Hari pertama (1 Disember 2009), saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari rumah di Kajang kira-kira jam 8:00 pagi. Penuhkan tangki petrol kereta di stesen Petronas yang berhampiran ketika dalam perjalanan. Menuju ke Kuala Lumpur. Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Tol Jalan Duta. Saya terus memandu sehingga berhenti sebentar di Hentian Sebelah Behrang. Teruskan perjalanan dan berhenti rehat di Kawasan Rehat Sungai Perak. Kembali bergerak dan akhirnya sampai juga ke Pulau Pinang. Keluar dari PLUS melalui Tol Juru. Guna laluan “Touch & Go” dan bayaran tol ialah sebanyak RM43.30. Masuk ke Sungai Dua dan hubungi isteri bapa saudara saya, Mak Njang. Dia dan anaknya menjemput kami di setesen minyak Esso. Kami mengekori kereta mereka dan sampailah ke rumah Pak Njang di Merbau Kudung, Sungai Dua, Butterworth. Saya telah memandu kereta sejauh kira-kira 383 kilometer dari rumah untuk sampai ke sini. Pak Njang ialah adik kepada arwah abah. Nenek saya yang dipanggil Wan pun berada di rumah ini. Kami bermalam di sini.

Hari kedua (2 Disember 2009), saya memandu kereta membawa isteri, dua orang anak kami, Wan, Mak Njang dan anak bongsunya ke rumah Pak Ngah di Permatang Rambai, Penaga. Makan tengah hari di rumahnya. Selepas itu, kami mengekori kereta Pak Ngah dan keluarganya pergi bersiar-siar. Kami menyusuri Jambatan Pulau Pinang pergi ke Padang Kota Lama. Sempat masuk ke muzium di Kota Cornwallis. Pulang ke seberang dengan menaiki Feri Pulau Pinang. Kami bermalam di rumah Pak Njang lagi.

Hari ketiga (3 Disember 2009), saya dan keluarga menaiki kereta Pak Su bersama keluarganya. Wan pun ikut serta. Kami mengekori kereta Pak Ngah dan keluarganya berserta Mak Njang pergi ke rumah Mak De serta keluarganya di Jawi, Pulau Pinang. Selepas itu, kami menziarahi sepupu arwah abah yang saya panggil Mak Ngah. Dia dan keluarganya tinggal di Taman Melor Indah, Padang Serai, Kulim, Kedah. Kembali ke Pulau Pinang. Ambil barang-barang dan kereta dari rumah Pak Njang. Wan ikut kami sekeluarga bermalam di rumah Pak Su di Nyior Sebatang, Tasek Gelugor.

Hari keempat (4 Disember 2009), saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari rumah Pak Su pagi-pagi lagi. Masuk ke PLUS melalui Tol Juru, Pulau Pinang. Saya memandu sehingga berhenti sebentar di Hentian Sebelah Bukit Gantang. Teruskan perjalanan dan keluar dari PLUS melaui Tol Ipoh Utara. Kami pergi ke “Lost World of Tambun” di Sunway City Ipoh, Perak. Bermain air di “Water Park”. Masuk semula ke PLUS melalui Tol Ipoh Selatan. Kami meneruskan perjalanan sehingga berhenti rehat di Kawasan Rehat Ulu Bernam. Kembali bergerak dan akhirnya sampai ke Kuala Lumpur. Keluar dari PLUS melalui Tol Jalan Duta. Kami meninggalkan ibu kota dalam kesesakan lalu lintas untuk perjalanan pulang ke rumah di Kajang.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.