Sabtu, 30 Januari 2010

Taklimat Pembinaan Surau 1/2010

Kajang, 30/01/2010 - Saya sebagai wakil pemuda dalam jawatankuasa pembinaan Surau Impian Murni Fasa 5C pergi ke sebuah rumah di Jalan Impian Murni 3/9 menghadiri sesi taklimat yang bermula pada jam 9:30 malam. Taklimat dipengerusikan oleh Ustaz Hussain iaitu setiausaha dalam jawatankuasa ini. Ahli-ahli yang hadir bersetuju menamakan surau tersebut dengan nama Surau Raudhatul Firdaus, Impian Murni.

Saya dan dua orang rakan yang mewakili penduduk IXORA hadir pada malam ini. Begitu juga dengan wakil-wakil dari fasa-fasa yang lain di seluruh kawasan Impian Murni. Fasa-fasa tersebut merupakan unit-unit yang terdapat di Impian Murni. Masing-masing kurang maklumat dan pengalaman berkenaan cara-cara untuk mendirikan sebuah surau.

Status pewartaan untuk membina surau setakat ini telah diluluskan oleh Menteri Besar Selangor. Surat kelulusan telah diterima oleh Persatuan Penduduk Impian Murni. Tindakan susulan dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu dibuat untuk permohonan mendirikan sebuah surau. Ahli jawatankuasa yang bertanggung jawab akan mencari maklumat berkenaan permohonan tersebut daripada surau-surau lain yang sedang dalam pembinaan. Apabila maklumat tersebut diperolehi nanti, ahli-ahli jawatankuasa akan dipanggil semula untuk bermesyuarat. Taklimat pada malam ini tamat kira-kira jam 10:35 malam.

Jumaat, 22 Januari 2010

Khutbah Jumaat 22012010

Kajang, 22/01/2010 – Saya menuju ke Masjid Jamek Pekan Kajang untuk menunaikan solat Jumaat. Saya tiba di masjid sebelum azan Zohor berkumandang. Saya sempat mendengar satu pengumuman dari masjid yang mengatakan bahawa Masjid Jamek Pekan Kajang telah dilengkapi dengan teknologi Wi-Fi. Para jemaah dan orang ramai boleh menggunakan teknologi tersebut untuk melayari internet di kawasan sekitar masjid.

Waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:28 petang. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh khatib yang bertugas. Khutbah Jumaat kali ini ialah berkenaan dengan kepentingan ilmu pengetahuan. Ia menjadi sesuatu yang mustahak kepada negara. Jika tidak berilmu, kita akan dipandang hina. Di dalam al-Qur’an, terdapat ayat yang menyebut bahawa Allah S.W.T. akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu. Mereka adalah mulia di sisi Allah.

Ilmu yang dimaksudkan bukanlah setakat ilmu akademik tetapi lebih daripada itu. Mesti ada penghayatan ilmu. Penghayatan terhadap ilmu pengetahuan amat penting untuk melahirkan ketaqwaan kepada Allah. Ilmu mestilah disebarkan kepada orang lain supaya ia memberi manfaat kepada orang lain. Pihak masjid dan surau juga banyak mengadakan majlis-majlis ilmu. Dengan menyampaikan ilmu dan peringatan, manusia akan berada di landasan yang betul. Ilmu itu lebih baik daripada harta. Dengan memiliki ilmu, kita dapat berfikir sebelum melakukan sesuatu.

Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja. Sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang akan mendoa’kan untuknya. Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan dapat menambah ketaqwaan mereka kepada Allah. Selama mana ilmu itu dipelajari dan dikembangkan dari masa ke semasa, selama itulah orang yang mengajar sebelum itu mendapat pahala yang berterusan.

Ilmu membuka jalan untuk ke syurga. Ia merupakan cahaya dan petunjuk kepada manusia untuk mengenal Allah. Ilmu-ilmu yang dituntut hendaklah berkenaan dengan tauhid (mengesakan Allah). Peranan guru-guru di sekolah amat penting supaya anak-anak kita mengutamakan ilmu agama terlebih dahulu berbanding ilmu yang lain. Sekiranya ilmu fardhu a’in sudah mantap, murid-murid dan pelajar-pelajar tersebut akan lebih mudah pula mendalami ilmu fardhu kifayah untuk membantu orang lain.

Itu ialah antara isi-isi penting yang sempat saya catat semasa mendengar khutbah Jumaat tadi. Diharap dengan catatan ringkas ini, dapat sama-sama kita bermuhasabah atau pun menghitung diri untuk sama-sama menimba ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan di dunia dan akhirat.

Ahad, 17 Januari 2010

Tour de Tahfiz @ KUIS

Kajang, 17/01/2010 - Tengah malam hari ini saya, isteri dan dua orang anak kami baru sampai di rumah. Kami telah pergi ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putra malam semalam, menyaksikan Konsert Amal Nazrey Johani Tour de Tahfiz di Pusat Konvensyen KUIS. Ia adalah anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Zon Utara (PERMATA) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) dan “Campus Life Arena”. Artis-artis nasyid jemputan yang kami saksikan persembahan mereka mengikut turutan ialah Nahwan Nur, All One, Algebra, Nice, Suhaimi (Ex-Inteam), as-Saufee, Devotees, Saujana, Hijjaz dan Nazrey Johani (Ex-Raihan).

Pada malam itu juga, saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sebelum ini kami kenal melalui internet sahaja di ruang sembang Nasyid FM. Antara rakan-rakan yang sempat saya temui ialah yang menggunakan nama samaran seperti Peluru dan Kak Ina. Beberapa hari sebelum konsert amal ini berlangsung, saya telah menempah tiket dengan seorang DJ Nasyid FM. Kawan-kawan lama yang pernah saya kenal sebelum ini pun, ada yang sempat ditemui seperti Yus (Kiblah) dan Hafiz (as-Saufee).

Konsert amal yang bertemakan 'Berhibur Sambil Menderma' ini bertujuan memberi hiburan alternatif kepada masyarakat dan seterusnya memartabatkan lagi industri seni hiburan Islam. Dalam masa yang sama mengumpul dana untuk pembinaan Kompleks Pengajian Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Pengelolanya ialah Nazrey Johani sendiri.

Ranau merupakan sebuah kawasan yang dikelilingi pergunungan dan bukit-bukau. Ramai penduduknya tinggal di kawasan-kawasan pendalaman dan kaki-kaki gunung. Rata-rata masyarakatnya masih ramai yang ketinggalan dalam arus pendidikan agama tetapi semangat mereka untuk belajar dan mendalami ilmu agama sangat tinggi.

Sabtu, 9 Januari 2010

Internet dan Intranet

Komputer merupakan alat elektronik yang penting dalam kehidupan kita masa kini. Ia boleh memproses maklumat dan membuat berjuta-juta pengiraan dalam masa sesaat. Keupayaannya memang menakjubkan dan ia banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita. Penggunaannya begitu meluas dan memberi kesan kepada keseluruhan aktiviti manusia.

Teknologi komputer kini semakin canggih. Ia boleh dihubungkan dengan rangkaian komunikasi secara global. Jaringan internet dan intranet yang menggunakan sistem telefon merupakan rangkaian yang paling popular setakat ini. Istilah internet diambil daripada perkataan “international network” dan istilah intranet pula diambil daripada perkataan “internal transfer network”.

Internet ialah rangkaian yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Setiap komputer yang bersambung ke internet adalah bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja di seluruh dunia. Ia digunakan oleh seseorang untuk berkomunikasi, mencari maklumat, urusan perbankan dan sebagainya. Pelbagai bahan boleh ditemui. Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Di dalam internet, terdapat Web Seluruh Dunia atau dikenali sebagai www (world wide web). Web ialah koleksi besar maklumat yang disimpan di dalam komputer di seluruh dunia. Laman Web ialah dokumen tentang web. Ia boleh disertai dengan teks, gambar, bunyi dan video.

Umum mengetahui bahawa internet memiliki begitu banyak manfaat. Cuma terletak kepada kita untuk menggunakannya bagi tujuan yang baik atau sebaliknya. Masyarakat dunia telah menjadikan internet sebagai satu keperluan hidup. Paling tidak setiap orang perlu memiliki e-mel dan blog mereka sendiri. Ia secara tidak langsung menjadikan internet sebagai satu rangkaian dan jaringan bagi setiap golongan masyarakat.

Perhubungan menjadi semakin pantas. Rangkaian menjadi semakin luas meliputi seluruh dunia. Rakan berada di mana-mana sahaja. Pelbagai aktiviti positif boleh dijalankan melalui internet seperti berkongsi maklumat, pandangan, pengalaman dan sebagainya. Yang paling menarik apabila seseorang itu bijak menggunakan internet untuk berniaga. Ia adalah platform terbaik untuk berniaga. Tidak perlu melibatkan modal yang besar untuk membuka kedai dan melakukan promosi.

Intranet pula ialah rangkaian yang menghubungkan komputer di dalam sesuatu organisasi dan boleh dicapai oleh ahli-ahli organisasi tersebut, pekerja-pekerja atau pihak-pihak yang dibenarkan sahaja. Ia digunakan oleh syarikat-syarikat yang besar untuk untuk berhubung dan berkongsi maklumat di antara satu sama lain. Kebiasaannya, maklumat-maklumat tersebut khusus dan sulit. Oleh itu, capaian kepada maklumat dan data hanya terbatas kepada kakitangan organisasi sahaja.

Segala urusan pejabat yang dilaksanakan menggunakan kertas masa kini boleh ditukar secara elektronik dengan wujudnya intranet. Permohonan cuti tahunan, cuti sakit, penempahan kenderaan pejabat, penempatan bilik mesyuarat, dokumen penting berkenaan pekerja dan seumpamanya boleh dilakukan secara elektronik. Pastinya kos dapat dijimatkan melalui kurangnya penggunaan kertas.

Isnin, 4 Januari 2010

Tiada Tuhan Selain Allah

Perkataan ‘Allah’ dalam bahasa Arab menunjukkan kepada Zat Ilahiyyah yang mencakupi pada-Nya segala sifat yang sempurna. Maha Suci Zat tersebut daripada sifat kekurangan yang tidak layak bagi uluhiyyah-Nya dan rububiyyah-Nya. Oleh itu, perkataan ‘Allah’ adalah nama yang paling agung daripada semua nama-Nya yang terdapat dalam al-Asma’ al-Husna.

Di antara keistimewaan perkataan ‘Allah’ ini ialah bahawa Ia adalah nama yang tidak boleh dinamakan untuk selain daripada yang Maha Pencipta, sama ada secara hakiki (makna yang sebenarnya) atau pun secara majazi (kiasan).

Perkataan Ilah (Rabb) dalam bahasa Arab mempunyai panggilan tersendiri. Di antara contohnya: Tuhan dalam bahasa Melayu, God dalam bahasa Inggeris, Diyu dalam bahasa Perancis, Tanri dalam bahasa Turki dan Khuday dalam bahasa Parsi.

Kalimah Tauhid ialah “LA ILAHA ILLALLAH” (Tiada Tuhan Selain Allah). Kalimah Tauhid dinamakan juga ‘Kalimah Ikhlas’. Hubungan tauhid dengan ikhlas sangat erat. Sebagaimana tauhid lawannya syirik. Demikian juga ikhlas lawannya syirik.

Hakikat ini tergambar dengan begitu jelas dalam kandungan surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah ialah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak serta tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.

Jumaat, 1 Januari 2010

Tahun Baru 2010 Masihi

Kuala Lumpur, 01/01/2010 - Detik 12:00 tengah malam hari ini telah disambut menandakan bermulanya tarikh 1 Januari 2010 Masihi (15 Muharram 1431 Hijrah). Tahun Masihi memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana seluruh dunia menjadikannya tarikh utama di dalam kalendar mereka. Awal tahunnya dijadikan hari cuti umum.

Timbul satu persoalan di sini tentang sesetengah masyarakat Islam yang turut merayakan tahun baru masihi dengan sambutan besar-besaran sebagaimana orang bukan Islam merayakannya.

Paling merisaukan, orang-orang Islam lebih ghairah menyambut tahun baru masihi melebihi orang-orang bukan Islam seperti mengadakan pesta hiburan yang melalaikan, acara mabuk-mabuk dan aktiviti lumba haram pada malam sambutan tahun baru.

Menyambut tahun baru masihi ialah perayaan yang sering dirayakan oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negara-negara lain di seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam sama ada secara mereka sedari atau pun tidak. Jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan tersebut, maka sudah tentu ia akan menjadi satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila.

Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi dalam masyarakat Islam.

Bermacam-macam acara diadakan untuk menghidup dan memeriahkan kedatangan tahun baru masihi itu.

Ketibaan 1 Muharram 1431 Hijrah tidak pula disambut dengan penuh penantian seperti menyambut detik 1 Januari 2010 Masihi.

Lihat sahaja dalam tempoh dua minggu ini. Tahun Baru 1431 Hijrah mendahului Tahun Baru 2010 Masihi. Lihat bagaimana masyarakat Islam di sekeliling menyambutnya. Adakah sambutan tahun baru hijrah lebih meriah daripada sambutan tahun baru masihi?

Tidak dinafikan bahawa masyarakat Islam memang menyambut kehadiran tahun baru hijrah dengan ceramah-ceramah agama dan sebagainya tetapi sambutannya tidak semeriah menyambut kedatangan tahun baru masihi.

Sambutan tahun baru masihi lazimnya berkonsepkan bebas tanpa menghiraukan undang-undang keagamaan. Pesta hiburan yang melalaikan, acara mabuk-mabuk dan aktiviti lumba haram pada malam sambutan yang sepatutnya dielakkan.

Menyambut kedatangan tahun baru masihi bukanlah sesuatu yang salah tetapi cara sambutan dan orang-orang yang menyambutnya. Mereka menyambutnya dengan cara yang salah kerana inginkan keseronokan semata-mata. Sepatutnya ia diselitkan dengan unsur kesyukuran dan ingatan kepada Allah S.W.T.

Pihak pengurusan Masjid Negara akan mengadakan Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa yang kebetulan fenomena ini berlaku ketika kedatangan Tahun Baru 2010 Masihi.

Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa anjuran Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Masjid Negara akan diadakan sebentar sahaja lagi pada hari ini bermula jam 1:00 pagi hingga 6:00 pagi bertempat di Perkarangan Masjid Negara iaitu berhampiran dengan Tapak Ekspo.

Atur cara program yang akan diadakan ialah seperti pencerapan gerhana bulan separa, pencerapan planet Zuhal dan Marikh, pameran bulan, solat sunat gerhana bulan, khutbah khas gerhana bulan serta pertandingan kuiz.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.