Jumaat, 26 Februari 2010

Menghayati Maulidur Rasul

Bersempena sambutan Mulidur Rasul yang diadakan pada hari ini (12 Rabiu'l Awwal 1431 Hijrah bersamaan 26 Februari 2010 Masihi), marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesabaran Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan serta kegemilangan Islam di seluruh pelusuk dunia.

Melalui catatan sejarah, kita sedia maklum bahawa sebelum kedatangan syiar Islam, masyarakat pada masa itu hidup dalam kejahilan dan kegelapan. Kehidupan yang dikuasai oleh hawa nafsu menyebabkan kemungkaran, kezaliman dan kemaksiatan yang berleluasa. Orang kaya memeras orang miskin, yang gagah menindas yang lemah dan undang-undang pula hanya mengikut hawa nafsu kerana ia bukannya berdasarkan wahyu sehingga manusia bercelaru serta hilang pedoman.

Dalam kehidupan yang penuh kejahilan itu, Nabi Muhammad s.a.w. telah diutus oleh Allah S.W.T. untuk membawa ajaran agama Islam yang benar. Baginda adalah manusia pilihan yang diutus oleh Allah bukan setakat untuk membawa dan memimpin kaumnya iaitu kaum Quraisy ke jalan yang lurus serta diredhai Allah, bahkan untuk seluruh umat manusia yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Sesungguhnya perjuangan baginda dalam menyebarkan agama Islam telah menempuh banyak cabaran dan dugaan. Antaranya penghinaan, ejekan, cemuhan, bantahan, penyiksaan, penindasan, kezaliman dan sebagainya. Namun baginda tetap tabah dan sabar menghadapinya walau pun setelah bertahun-tahun lamanya. Baginda tidak pernah jemu dalam menyebarkan agama Islam. Jauh sekali untuk berputus asa. Bukan itu sahaja, bahkan apa yang menimpa diri baginda turut juga dirasai oleh para sahabat dan pengikut baginda.

Sesungguhnya kecintaan, kepercayaan, pembelaan dan kesetiaan para sahabat serta pengikut baginda amat mengkagumkan kita. Semua itu adalah kerana mereka sangat sayang dan kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. sehingga sanggup berkorban nyawa serta harta pada jalan Allah. Oleh itu, sudah sepatutnya kita turut mencontohi kecintaan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi sebagaimana yang dutunjukkan oleh para sahabat. Mengasihani baginda bukan sekadar ucapan di mulut sahaja tetapi buktikan ia dengan mentaati ajaran yang dibawa oleh baginda, berselawat ke atas dirinya serta kita teruskan perjuangan baginda dengan menyebarkan dakwah Islamiah serta memeliharanya daripada sebarang cubaan atau ancaman yang hendak melemahkan kesatuan dan aqidah umat Islam.

Akhirnya, marilah kita sentiasa mengingati jasa serta pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w. dengan mentaati ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Kita perbanyakkan selawat dan menjaga syiarnya.

Selasa, 23 Februari 2010

Jentera Bomba dan Penyelamat Datang ke SKTP 2010

Cheras, 23/02/2010 - Aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP). Tiba-tiba ia dikejutkan oleh bunyi loceng kira-kira jam 9:10 pagi. Ia bukan bunyi loceng yang biasa kedengaran ketika tamat waktu kelas. Bunyinya panjang menandakan ada kecemasan. Murid-murid bergegas turun dan keluar dari kelas masing-masing dibantu oleh guru-guru yang mengajar ketika itu. Saya pula sedang mengajar murid-murid Pendidikan Islam Tahun 1. Saya meminta mereka membuat barisan dan bergerak turun melalui tangga menuju ke kawasan lapang di bahagian hadapan bangunan sekolah. Ternampak asap keluar dari salah sebuah bangunan. Sebahagian murid-murid tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Apabila kami tiba di kawasan lapang tersebut, jentera Bomba dan Penyelamat telah berada di situ. Sebenarnya, ini ialah Program Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran peringkat SKTP. Semua murid, guru dan kakitangan SKTP telah berada di tempat berkumpul dalam keadaan yang selamat. Taklimat latihan kebakaran telah disampaikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Juga ditunjukkan cara menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran kecil. Ketika diadakan pameran jentera Bomba dan Penyelamat, saya sempat menaiki jentera tersebut mengelilingi kawasan sekolah. Begitu juga dengan murid-murid dan guru-guru yang lain.

Selepas waktu rehat, guru-guru serta murid-murid mendengar ceramah khas daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat di dewan sekolah. Ia diteruskan dengan Majlis Pelancaran Sekolah Selamat oleh Guru Besar SKTP, Puan Adonie binti Adnan dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang. Majlis tamat kira-kira jam 12:00 tengah hari. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran disambung semula setelah murid-murid kembali ke kelas.

Tema program kali ini ialah 'Sekolah Selamat, Warga Sejahtera'. Program ini telah dirancang sebelum cuti Tahun Baru Cina lagi. Murid-murid tidak diberitahu berkenaan program yang telah dirancang oleh pihak sekolah ini supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan jika kebakaran yang sebenarnya terjadi. Ini merupakan program yang pertama kali diadakan dengan kehadiran pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Tahun-tahun sebelum ini pernah diadakan latihan kebakaran sebegini tetapi ia tidak melibatkan pihak lain.

Ahad, 21 Februari 2010

Gotong-royong Pembersihan Tapak Surau 2010

Kajang, 21/02/2010 - Kira-kira jam 8:30 pagi, penduduk-penduduk di sekitar kawasan Impian Murni telah mula berkumpul di Jalan Impian Murni 3/4. Pagi ini telah diadakan aktiviti gotong-royong meletakkan batu asas dan pembersihan tapak Surau Raudhatul Firdaus di Lot 157952 Impian Murni Fasa 5C. Impian Murni terdiri daripada beberapa fasa kawasan perumahan. Ia merupakan kawasan terbesar setakat ini di Saujana Impian. Majlis dimulakan oleh Ustaz Hussain sebagai pengerusi majlis. Saya diminta memimpin bacaan doa'. Sebelum berdoa’, saya mulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah terlebih dahulu. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengerusi persatuan penduduk yang juga pengerusi dalam jawatankuasa pembinaan surau. Penduduk-penduduk juga mendengar taklimat daripada penyelaras gotong-royong. Selepas taklimat, orang ramai menikmati jamuan.

Aktiviti gotong-royong dimulakan selapas jamuan. Oleh kerana ada bantuan daripada jengkaut, kerja-kerja pembersihan menjadi lebih mudah. Tugas kami ialah mengumpul pokok-pokok sederhana besar yang telah ditolak oleh jengkaut sebelum dimasukkan ke dalam lori. Bagi yang mempunyai parang dan peralatan, ada yang menebang sendiri pokok-pokok tersebut. Terdapat juga yang menggunakan mesin rumput.

Matahari semakin naik. Hari semakin panas. Ada yang berhenti rehat dan menikmati jamuan. Ada juga yang berteduh di bawah pokok-pokok ketika jengkaut meneruskan kerjanya. Waktu tengah hari, kami berhenti rehat. Walau pun begitu, jengkaut masih meneruskan kerjanya.

Kami, ahli-ahli jawatankuasa pembinaan Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk-penduduk Impian Murni kerana telah bekerjasama menjayakan aktiviti gotong-royong meletakkan batu asas dan pembersihan tapak surau pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada yang menaja makanan, minuman, papan tanda, khemah dan sebagainya.

Rabu, 17 Februari 2010

Percutian ke Pahang 2010

Hari pertama (13 Februari 2010), saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari rumah pagi ini bersama dengan beberapa orang ahli keluarga yang lain dari sekitar Lembah Klang. Ada yang datang dari Kajang, Bangi dan Pelabuhan Klang. Kami bertemu dan berkumpul di stesen BHP yang terletak selepas Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Kami dengan empat buah kereta menyusuri lebuhraya ini dalam kesesakan lalu lintas sempena cuti Tahun Baru Cina yang baru bermula. Akibat kesesakan tersebut, empat buah kereta kami tidak bergerak bersama-sama. Selepas melalui Tol Bentong, tiada lagi kesesakan. Masuk pula ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Tol Karak. Kami terus memandu sehingga berhenti di beberapa hentian secara berasingan. Perjalanan diteruskan dan kami berhenti rehat di Kawasan Rehat Gambang. Keempat-empat buah kereta bertemu dan berkumpul semula di kawasan rehat ini. Kembali bergerak dan akhirnya keluar dari LPT melalui Tol Gambang. Kami menuju ke Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang. Bertemu dengan ahli-ahli keluarga yang lain. Ada yang datang dari arah Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ahli-ahli keluarga dari sebelah isteri saya berkumpul di sini untuk percutian Keluarga Hajjah Zainab. Sebelah petang, sempat mandi kolam. Sebelah malam, saya menjadi imam bagi memimpin solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar serta bacaan doa' selamat. Selepas makan malam, terdapat ahli-ahli keluarga yang bersiar-siar di kawasan sekitar. Apabila telah penat, pulang ke kediaman dan tidur.

Hari kedua (14 Februari 2010), kami sekeluarga dan ahli-ahli keluarga yang lain masih berada di Bukit Gambang Resort City. Sempat bersarapan dan mandi di kolam bersama anak-anak sebelum keluar dari kediaman masing-masing. Saya memandu kereta membawa isteri, dua orang anak kami dari Gambang ke rumah emak saudara saya di Kuantan. Dia ialah Mak Cik Normah yang tinggal di Lorong Alor Akar 25. Mak Cik Normah ialah adik kepada arwah abah. Kami makan tengah hari di rumahnya. Bermalam di sini.

Hari ketiga (15 Februari 2010), saya dan keluarga bertolak dari rumah Mak Cik Normah di Kuantan menuju ke Gambang. Masuk ke LPT melalui Tol Gambang. Berhenti rehat di Kawasan Rehat Temerloh semata-mata ingin merasa gulai tempoyak ikan patin. Kembali bergerak dan keluar dari LPT melalui Tol Lanchang. Ikut jalan dalam kawasan FELDA dan kawasan perkampungan menuju ke Raub. Seterusnya menuju ke Kuala Lipis. Berhenti rehat di bandar ini. Singgah ke masjid dan juga pasar. Meneruskan perjalanan dan akhirnya tiba di kampung untuk menziarahi emak. Kami bermalam di sini.

Hari keempat (16 Februari 2010), saya, isteri dan dua orang anak kami tidak pergi ke mana-mana hari ini. Cuma berada di sekitar kawasan rumah emak di kampung. Rumah emak sedang disambung di bahagian belakang iaitu berhampiran kawasan dapur. Hari ini, bermalam di sini lagi.

Hari kelima (17 Februari 2010), saya dan keluarga bertolak dari rumah emak yang terletak di daerah Lipis pada pagi ini. Dari kampung terus ke Raub dan Bentong. Masuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Jalan Lingkaran Tengah Dua menuju ke Lembah Klang. Masuk pula ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS) kerana hendak singgah ke rumah adik saya di Seksyen 27. Selepas Zohor, kami bergerak untuk pulang. Perjalanan pulang ke rumah di Kajang melalui Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Kajang SILK dan keluar di Lebuhraya Cheras-Kajang. Begitulah berakhirnya percutian kali ini. Dari Pahang, kembali ke Lembah Klang.

Sabtu, 6 Februari 2010

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-7

Cheras, 06/02/2010 - Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP) telah mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-7 pada pagi ini di Dewan SKTP. Mesyuarat Agung PIBG kali ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Muhammad Radzi bin Abdullah, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Langat.

Guru-guru hadir ke SKTP awal-awal pagi lagi. Diikuti dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga. Mereka mendaftarkan diri. Pengacara majlis memulakan majlis dengan ucapannya. Saya dipersilakan naik ke atas pentas untuk membacakan doa’. Sebelum berdoa’, saya mulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah terlebih dahulu.

Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua (YDP) PIBG sesi 2009/2010, ucapan Penasihat PIBG (Guru Besar SKTP) dan ucapan perasmian oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat. Kemudian, murid-murid SKTP membuat dua buah persembahan.

Majlis berhenti rehat. Tetamu khas, para ibu bapa, penjaga, guru-guru dan tetamu yang hadir menikmati jamuan di kantin sekolah. Selepas itu, para hadirin masuk semula ke dewan. Majlis diserahkan kepada YDP PIBG sesi 2009/2010 untuk memulakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-7.

Selepas ucapan YDP, pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat agung tahun lepas, laporan tahunan aktiviti PIBG serta pembentangan dan pengesahan penyata kewangan, ahli-ahli jawatankuasa PIBG 2009/2010 dibubarkan dengan rasminya. Ahli-ahli jawatankuasa PIBG sesi 2010/2011 pula dilantik. Mesyuarat berlanjutan sehingga waktu tengah hari sebelum ia ditangguhkan.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.