Sabtu, 25 September 2010

Restoran Nasi Arab, Jalan Reko

Kajang, 25/09/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari rumah menuju ke Pusat Hentian Kajang dengan kereta. Keluar dari rumah selepas solat Zohor. Saya memandu kereta melalui Saujana Impian, masuk ke Jalan Cheras dan melalui Pekan Kajang sebelum tiba di Jalan Reko. Selepas itu, saya membelok kereta yang dipandu masuk ke Pusat Hentian Kajang. Berhenti di sebuah restoran iaitu Restoran Nasi Arab.

Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan ke restoran yang bersesuaian. Tiba di restoran tadi, kami memesan menu Nasi Arab Kambing dan minuman.

Saya sering kali melalui Jalan Reko dan nampak Restoran Nasi Arab dari jauh sahaja. Cuma pada hari ini saya dan keluarga berkesempatan untuk singgah makan di restoran tersebut. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Arab di sekitar Lembah Klang, Cyberjaya dan Negeri Sembilan.

Ketika kami sedang menjamu selera di restoran tersebut, seorang kenalan saya baru tiba dan memesan makanan serta minuman. Dia ialah kenalan saya ketika kami sama-sama belajar di Jordan. Dia memberitahu saya yang dia sudah biasa makan di Restoran Nasi Arab ini.

Beberapa orang yang berbangsa Arab juga singgah makan dan minum di restoran ini. Ada di antara mereka menegur dua orang anak kami dan memberikan 2 kotak minuman sebagai hadiah. Terima kasih diucapkan. Anak kami yang berumur 5 tahun (perempuan), biasa bergaul dengan orang lain tetapi anak kami yang berumur 3 tahun (lelaki), sedikit pemalu.

Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran Nasi Arab di Kajang, alamatnya ialah:
No C16, Jalan Hentian 2,
Pusat Hentian Kajang,
Jalan Reko,
43000 Kajang,
Selangor.

Kami sekeluarga beredar dari Restoran Nasi Arab dan singgah pula ke Pasaraya Econsave baharu yang terletak di Reko Sentral. Ini pertama kali kami singgah ke sini untuk membeli barang-barang keperluan. Selepas itu, kami bertolak pulang.

Saya memandu kereta untuk pulang ke rumah bersama isteri dan dua orang anak kami melalui Jalan Reko serta Pekan Kajang. Ketika tiba berhampiran Masjid Jamek Pekan Kajang, azan Asar sedang berkumandang. Kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Cheras dan Saujana Impian. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah petang ini ketika hujan lebat.

Rabu, 15 September 2010

Laut Mati, Jordan

Dinamakan Laut Mati kerana tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya. Kemasinan airnya ialah 7 kali ganda kemasinan air laut biasa. Ini menyebabkan para perenang tidak tenggelam di dalamnya dan kapal laut tidak boleh berlayar di atas permukaannya.

Laut Mati merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Palestin. Pantainya berada di kedudukan serendah kira-kira 418 meter di bawah aras laut, kedudukan paling rendah di atas daratan dan juga tasik masin yang paling dalam. Sedalam kira-kira 330 meter. Tasik ini berukuran kira-kira 67 kilometer panjang dan 18 kilometer lebar. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan.

Para pengkaji sejarah Islam telah menetapkan bahawa Laut Mati mempunyai kaitan dengan kisah penduduk kaum Nabi Lut a.s. yang telah dimusnahkan. Ia terletak di Jordan yang geografi muka buminya merupakan tempat paling rendah di dunia.

Nabi Lut a.s. ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Baginda diutuskan oleh Allah S.W.T. ke sebuah daerah bernama Sadum. Penduduknya sangat derhaka kepada Allah S.W.T. Kaum Nabi Lut mempunyai sifat yang amat buruk iaitu orang lelaki mengahwini orang lelaki dan ini melanggar perintah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. kepada seluruh umat manusia. Mereka tidak mahu berkahwin dengan orang perempuan dan hanya tertarik kepada kaum sejenisnya sahaja. Oleh itu, Nabi Lut a.s. diutuskan Allah S.W.T. untuk berdakwah kepada kaum ini. Malangnya dakwah yang disampaikan tidak diterima oleh kaumnya kecuali sebahagian kecil sahaja.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Lut berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun daripada umat-umat sebelum kamu. Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi lelaki, menyamun (melakukan perbuatan keji) dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu?” Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Datangkanlah kepada kami azab Allah jika kamu termasuk orang-orang yang benar”. Lut berdoa’: “Ya Tuhanku, tolonglah aku (dengan menimpakan azab) ke atas kaum yang membuat kerosakan itu”. (Surah al-A’nkabut: Ayat 28, 29 dan 30).

Nabi Lut a.s. bersama sebahagian kaumnya yang telah beriman meninggalkan daerah Sadum seperti yang disuruh oleh malaikat-malaikat utusan Allah S.W.T.

Apabila mereka telah berada di suatu kawasan yang jauh dari daerah Sadum, satu gempa bumi yang dahsyat berlaku sehingga bumi diterbalikkan dan diikuti dengan hujan batu berapi yang membakar serta memusnahkan kaum Nabi Lut a.s. dan segala apa yang ada di daerah tersebut. Akhirnya daerah Sadum menjadi sunyi sepi tanpa penghuninya lagi. Inilah seksaan terhadap kaum Nabi Lut a.s. yang ingkar terhadap perintah Allah S.W.T.

Jeehan al-Maliziy di Jordan (1993 hingga 1998).

Sabtu, 4 September 2010

Surah al-Qadr

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada Lailah al-Qadr (malam kemuliaan) (1). Dan tahukah kamu apakah Lailah al-Qadr itu? (2). Lailah al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan (3). Turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan (4). (Penuh) kesejahteraan malam itu sehingga terbit fajar (5).

Surah al-Qadr terdiri daripada 5 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makiyyah. Ia merupakan surah yang ke-97 di dalam al-Qur’an. Dinamakan al-Qadr (kemuliaan) kerana diambil daripada perkataan al-Qadr yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah al-Qadr menerangkan kepada kita bahawa permulaan al-Qur’an diturunkan pada Lailah al-Qadr. Juga menerangkan kepada kita berkenaan kelebihan malam tersebut. Sesiapa yang beramal ibadat pada malam al-Qadr, pahalanya akan digandakan dan mendapat ganjaran lebih banyak daripada malam-malam yang lain. Beramal ibadat pada satu malam tersebut ganjarannya lebih baik daripada beramal ibadat selama seribu bulan (83 tahun 4 bulan).

Untuk menentukan malam al-Qadr, timbul beberapa pendapat daripada para alim ulamak. Pendapat yang lebih kuat mengatakan malam yang ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau 29 pada bulan Ramadhan.

Malam al-Qadr tidak ditentukan dengan tepat supaya kita bersungguh-sungguh beramal ibadat pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan.

Khamis, 2 September 2010

Taklimat Khas 2010

Sepang, 02/09/2010 – Tengah hari tadi merupakan hari terakhir saya berada di Hotel Concorde Inn, “Kuala Lumpur International Airport” (KLIA).

Taklimat khas telah diadakan pada 1 dan 2 September di Concorde 1, Hotel Concorde Inn, KLIA. Saya dan rakan-rakan telah berada di sini kira-kira 2 hari 1 malam untuk bertaklimat.

Atur cara terakhir sebelum bersurai dan meninggalkan bilik hotel pada hari ini ialah rumusan dan sesi dialog bersama Urus Setia serta jalinan mesra.

Perjalanan pulang saya dari Hotel Concorde Inn, KLIA, Sepang ke rumah di Kajang ialah kira-kira 54 kilometer. Saya memandu kereta melalui Jalan KLIA 1, masuk ke Lebuhraya KLIA dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (E6). Keluar di Persimpangan KLIA. Meneruskan perjalanan di E6 dan keluar di Persimpangan Nilai Utara. Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (E2) dan keluar di Persimpangan Bangi. Melalui Persiaran Pekeliling dan Persiaran Universiti. Tiba di hadapan pintu utama Universiti Kebangsaan Malaysia, saya membelok ke Jalan Bangi dan menyusuri Jalan Reko. Melalui Pekan Kajang, Jalan Cheras dan Saujana Impian. Akhirnya saya selamat sampai ke rumah petang ini.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.