Rabu, 24 November 2010

Kelahiran Anak Yang Ketiga 2010

Kajang, 24/11/2010 – Kira-kira jam 4:00 pagi tadi, saya dan isteri telah menghantar dua orang anak kami ke rumah kakak isteri saya yang terletak tidak berapa jauh dari rumah kami. Saya terus memecut kereta yang dipandu dan membawa isteri menuju ke Hospital Kajang. Berhentikan kereta betul-betul di hadapan bangunan Unit Kemasukan Ibu Mengandung dan membawa isteri masuk ke unit tersebut. Selepas dia masuk ke dalam, saya mengalihkan kereta ke tempat letak kereta.

Sementara menunggu kelahiran, saya sempat mendaftarkan isteri untuk masuk ke Wad Bersalin dan singgah ke Surau Ibnu Sina Hospital Kajang menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Kira-kira jam 6:30 pagi, isteri saya telah selamat melahirkan seorang anak lelaki yang beratnya kira-kira 2.6 kilogram. Sementara menunggu mereka keluar dari bilik bersalin, saya juga sempat bersarapan di kantin hospital.

Selepas beberapa lama menunggu, seorang jururawat membawa isteri serta anak kami yang baru dilahirkan keluar dari bilik bersalin dan menuju ke Wad Bersalin. Saya mengekori mereka hingga ke wad. Sampai di wad, saya melaungkan azan di telinga kanan dan melafazkan iqamah di telinga kiri anak tersebut. Oleh kerana sekarang bukan waktu melawat, saya hanya dibenarkan berada sekejap sahaja di situ. Saya membelikan makanan dan minuman untuk isteri sebelum pulang ke rumah.

Saya membersihkan uri (tembuni) dan menanamnya. Apabila semuanya selesai, waktu tengah hari saya kembali ke Hospital Kajang. Singgah sebentar ke kantin hospital untuk makan tengah hari kerana waktu melawat belum tiba. Apabila tiba sahaja waktu melawat, saya terus berjumpa isteri dan anak kami yang baru dilahirkan.

Waktu melawat di Wad Bersalin Hospital Kajang pada hari ini ialah mulai jam 12:30 tengah hari sehingga jam 2:00 petang dan mulai jam 4:00 petang sehingga jam 7:30 malam.

Ketika waktu melawat, kakak isteri saya dan beberapa orang saudara mara membawa bersama dua orang anak kami ke hospital. Selepas lawatan, anak pertama dan kedua kami pulang bersama saya ke rumah. Sementara itu, anak ketiga kami masih bersama isteri saya di Wad Bersalin.

Selasa, 16 November 2010

Di Sebalik Kaabah

9 Zulhijjah 1431 (16 November 2010) – Menerusi program Akar Tradisi Ilmu jam 10:05 malam, TV9 telah menampilkan Ustaz Badli Shah bin Alauddin sebagai pengacara dan Dr Azhar bin Hj Sarip, jurulatih Sumber Manusia sebagai ahli panel dalam rancangan Halaqah sebentar tadi.

Tajuk Halaqah kali ini ialah Di Sebalik Kaabah. Ia menghuraikan topik berkenaan Kaabah dari aspek sains fizik dan spiritual serta gelombang yang bergetar di sekeliling Kaabah.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah) sebagai tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: “Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud”. (Surah al-Baqarah: Ayat 125).

Kenapa Kaabah berbentuk empat segi? Bentuk Kaabah empat segi kerana menunjukkan struktur Islam itu sendiri dan gelombang otak juga mempunyai empat jenis iaitu “beta”, “alpha”, “theta” dan “delta”.

Kenapa Kaabah ditutupi kelambu berwarna hitam? Ini menunjukkan manusia dipenuhi dengan hawa nafsu. Islam sahaja yang boleh mengawal hawa nafsu tersebut seperti sedikit warna emas yang terdapat pada kelambu Kaabah itu.

Kenapa putaran tawaf di Kaabah berdasarkan arah lawan jam? Jika dilihat dari satelit, Kaabah berada di pusat bumi. Putaran tawaf berdasarkan arah lawan jam kerana ia tertakluk kepada hukum tangan kanan. Kalau seseorang itu bertawaf dengan betul, tenaganya akan meningkat pada gelombang ini dan orang yang sakit pun boleh pulih.

Kenapa solat menghadap Kaabah (kiblat)? Solat menghadap kiblat juga seperti bertawaf di Kaabah. Ini jika dibuat pengiraan dari sudut ketika rukuk, sujud dan sebagainya dalam perlakuan solat.

Kenapa Kaabah di Masjid al-Haram dipanggil Baitullah? Baitullah ialah rumah Allah. Semakin rendah gelombang maka semakin kuat tenaga seseorang itu. Doa’ makbul di Kaabah kerana kesedaran bertuhan iaitu semakin kuat tenaga seseorang itu menunjukkan dia semakin mencintai Allah.

Rumusannya ialah kita mesti menghayati ibadat sama ada ketika bertawaf di Kaabah atau ketika solat di negara sendiri. Bagi menyelaraskan gelombang Kaabah dan gelombang kita ketika solat, lakukan solat dengan tenang. Insya Allah kita akan jadi lebih sihat daripada biasa.

Sabtu, 13 November 2010

Majlis Penyampaian Anugerah dan Sijil TPH 2010

Kajang, 13/11/2010 - Tadika tempat anak sulung saya belajar telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah dan Sijil (Ihtifal) kali yang pertama pada pagi tadi di Dewan Saujana, Sekolah Kebangsaan Saujana Impian. Tadika Permata Harapan ini telah beroperasi sejak awal tahun ini dan mula menempatkan pelajar-pelajarnya secara rasmi pada 4 Januari 2010. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada kanak-kanak yang berumur sekitar empat, lima dan enam tahun.

Kira-kira jam 8:30 pagi, pelajar-pelajar bersama ibu bapa masing-masing mula hadir mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. Majlis dimulakan kira-kira jam 9:05 pagi dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis. Seorang pelajar lelaki Tadika Permata Harapan membacakan doa’ pembukaan. Selepas itu, saya membacakan ayat-ayat suci al-Qur’an iaitu ayat 12 hingga 19 daripada Surah Luqman.

Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor. Diteruskan dengan ucapan Cik Nor Azliza binti Rajiain, Pengetua Tadika Permata Harapan Impian Murni dan ucapan serta perasmian oleh Puan Rabai’ah binti Kamarul Baharin, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat.

Ia diteruskan dengan persembahan daripada kelas Salman al-Farisi (pelajar-pelajar empat tahun), kelas Suhail ar-Rumi (pelajar-pelajar lima tahun) dan kelas Solahuddin al-Ayyubi (pelajar-pelajar enam tahun).

Isteri dan anak kami yang nombor dua tiba ke majlis ini lewat sedikit kerana dia ada program Hari Temubual Akademik di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian (2).

Penyampaian Cenderahati, Foto Kelas, Hadiah Cemerlang Akademik, Sijil Pelajar-pelajar Enam Tahun, Sijil Pelajar “Qudwah Hasanah” dan Cabutan Bertuah telah disempurnakan oleh Cik Nor Azliza binti Rajiain serta Puan Rabai’ah binti Kamarul Baharin.

Majlis pagi ini diakhiri dengan persembahan penutup oleh semua pelajar Tadika Permata Harapan yang hadir. Saya dipersilakan naik ke pentas untuk memimpin bacaan doa’ penutup. Kira-kira jam 11:00 pagi, majlis pun tamat. Tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan Tadika Permata Harapan kerana telah dapat mengadakan “Ihtifal” kali yang pertama ini dengan jayanya.

Motto Tadika Permata Harapan ialah ‘Membina Generasi Pintar Soleh’.

Khamis, 4 November 2010

Jawed Karim dan YouTube

Laman perkongsian YouTube telah dibina oleh sekumpulan tiga anak muda Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim. Laman tersebut telah dibeli hak milik oleh Google dengan nilai RM5 bilion.

Jawed telah dilahirkan pada 1979 di Merseburg, Jerman Timur dan berpindah ke Jerman Barat pada 1980 sebelum kedua-dua negara bergabung membentuk negara Jerman seperti yang wujud pada hari ini.

Bapanya kelahiran Bangladesh, Naimul Karim seorang penyelidik di Syarikat 3M manakala ibunya Christine Karim, pembantu profesor dalam bidang biokimia di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat (AS).

Beliau membesar di Jerman dan keluarganya berpindah ke AS pada 1992. Semasa bertugas di PayPal, beliau bertemu dengan Chad dan Steve, tidak lama kemudian mereka bertiga mencipta dan membangunkan laman web perkongsian video YouTube pada 2005.

Selepas mengasaskan dan membangunkan konsep YouTube, Jawed bertindak sebagai penasihat YouTube. Apabila YouTube diambil hak milik oleh Google, beliau menerima 137, 443 saham berkenaan.

Jawed melahirkan idea mengenai laman web perkongsian video kepada ahli kumpulannya tetapi sumbangan Chad dan Steve menjadikannya satu kenyataan.

Seawal Februari 2005, apabila laman web berkenaan diperkenalkan, Jawed berkata, mereka bersetuju beliau tidak akan bekerja di sana tetapi sebagai penasihat tidak rasmi YouTube.

Pada mulanya YouTube hanya mempunyai 50 hingga 60 video tetapi kini semakin ramai orang mengambil bahagian dalam laman web berkenaan.

SUMBER: estidotmy. Utusan Malaysia. Rabu. 28 Mei 2008. Edisi 75.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.