Sabtu, 27 Mac 2010

Sukan Tahunan Tadika Permata Harapan 2010

Kajang, 27/03/2010 - Tadika tempat anak sulung saya belajar telah mengadakan hari sukannya yang pertama pada pagi tadi di padang Sekolah Kebangsaan Saujana Impian. Tadika Permata Harapan ini baru sahaja beroperasi dan telah menempatkan murid-muridnya secara rasmi pada 4 Januari 2010. Murid-muridnya terdiri daripada kanak-kanak yang berumur sekitar empat, lima dan enam tahun.

Kira-kira jam 8:00 pagi, murid-murid bersama ibu bapa masing-masing mula hadir mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. Majlis dimulakan kira-kira setengah jam kemudian dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis. Saya memimpin bacaan doa’. Selepas itu, ia diteruskan dengan ucapan Pengetua Tadika Permata Harapan dan perarakan masuk murid-murid yang juga peserta-peserta sukan ke tengah padang. Dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor. Diteruskan dengan persembahan silat dan senamrobik zikir rentak nasyid.

Pertandingan sukan bermula. Acara-acara yang dipertandingkan ialah junjung pundi kacang, bawa bola ping-pong, kutip gula-gula, lari berkembar, “jumping pony” dan “musical chair”. Acara ibu bapa bersama anak seperti pertandingan memakai kain pelikat, menyuap kek dan makan epal juga diadakan.

Murid-murid dibahagikan kepada tiga buah rumah sukan. Tholhah (Hijau), Abu Dzar (Merah) dan Zubair (Kuning). Rumah Hijau (Tholhah) ialah johan keseluruhan sukan tahunan kali ini. Anak saya merupakan salah seorang daripada peserta Rumah Hijau (Tholhah).

Tema hari sukan pada kali ini ialah ‘Mukmin Yang Kuat Lebih Dicintai Allah Daripada Mukmin Yang Lemah’. Program hari ini diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan Tadika Permata Harapan Impian Murni kerana telah dapat mengadakan hari sukan kali pertama ini dengan jayanya.

Ahad, 21 Mac 2010

Dataran Lipis, Kuala Lipis, Pahang

Kuala Lipis, 21/03/2010 - Perjalanan pulang dari daerah Lipis ke Lembah Klang, saya, isteri dan dua orang anak kami sempat singgah ke Dataran Lipis. Hari ini merupakan hari ketiga Sambutan 50 Tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di dataran ini. Sambutan tersebut diadakan pada 19, 20 dan 21 Mac 2010. Semalam, hari kedua sambutan, ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selain kira-kira 5,000 orang penduduk Lipis.

Sambutan ulang tahun ini telah mencetuskan nostalgia apabila Perdana Menteri pulang ke tempat kelahirannya. Beliau melawat rumah kelahirannya yang juga bekas rumah kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Bukit Bius sempena lawatan sehari ke Kuala Lipis.

Semalam, beliau juga telah melancarkan satu jenama baru KKLW iaitu 'Kampungku' menggantikan jenama Gerak Desa Wawasan bagi mendekatkan lagi kementerian itu dengan masyarakat desa.

Antara program menarik yang disediakan sempena sambutan tersebut yang bermula hari Jumaat hingga hari ini (Ahad) adalah gerai-gerai pameran jabatan dan agensi di bawah KKLW serta pameran dan gerai usahawan produk luar bandar. Juga diadakan persembahan kebudayaan, permainan tradisional, pertandingan mewarna, pertandingan pantun, demonstrasi masakan, tenunan, anyaman, seramik dan pelbagai aktiviti lain yang sesuai dengan semua peringkat umur.

Program Hujung Minggu Malaysia TV1 juga telah bersiaran secara langsung di Dataran Lipis pada pagi ini dan pagi semalam.

Khamis, 18 Mac 2010

Program Adik-adikku TV1 @ Masjid Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur, 18/03/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami pergi ke Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk menyaksikan pertandingan akhir bagi Program Realiti TV Adik-adikku. Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerbitkan satu rancangan realiti TV kanak-kanak iaitu Program Adik-adikku di TV1. Ia merupakan rancangan realiti TV kanak–kanak dalam skop agama yang setanding dengan rancangan realiti sedia ada. Ia bertujuan membantu melahirkan karisma kepimpinan dan kebolehan kanak–kanak menjadi pemimpin masa hadapan.

Program bermula dengan beberapa sesi ujibakat yang telah diadakan di seluruh Malaysia bagi mencari dua puluh orang peserta yang berbakat dan antara kriteria yang dicari ialah bijak berpidato, bertarannum dan mengaji. Peserta-peserta dikumpulkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selama tiga minggu dan wajib mengikuti pembelajaran dalam kelas serta aktiviti riadah seperti memanah dan berkuda sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

Peserta-peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang dipimpin oleh murabbi masing-masing, terdiri daripada Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Zamri Zainoldin, Ustaz Zawawi Yusof dan Ustazah Asni Mansor. Selain daripada itu, peserta-peserta juga dibawa melawat sambil belajar ke beberapa tempat seperti Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Muzium Kesenian Islam, Planetarium Negara, Aquaria KLCC, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Memorial Tun Abdul Razak, Petrosains KLCC dan Denai Alam.

Pertandingan ini diadakan secara berperingkat iaitu pusingan pertama, suku akhir, separuh akhir pertama, separuh akhir kedua serta pertandingan akhir dan persembahan mereka dinilai oleh juri-juri profesional. Peserta yang memberikan persembahan kurang memuaskan akan dilepaskan daripada menyertai pertandingan berikutnya.

Ra'is (Pengetua) Program Realiti TV Adik-adikku ialah Saudara Farihin Abdul Fatah. Tujuh orang peserta pertandingan akhir (finalis) ialah Amin Alhadi Ab Hadi, Muhammad Annaim Yasim, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, Muhammad Wajih Zakwan Hanif, Nur Syafiqah Mohd Paris, Nor Syamira Liana Nor Ashaha dan Nurul Syazwina Mohd Sukri.

Keputusan pertandingan akhir ialah seperti berikut. Muhammad Wajih Zakwan Hanif (Tempat Pertama), Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (Tempat Kedua), Muhammad Annaim Yasim (Tempat Ketiga), Nur Syafiqah Mohd Paris (Tempat Keempat), Amin Alhadi Ab Hadi (Tempat Kelima), Nurul Syazwina Mohd Sukri (Tempat Keenam) dan Nor Syamira Liana Nor Ashaha (Tempat Ketujuh).

JAKIM dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merupakan penganjur Program Realiti TV Adik-adikku. Siaran langsung pertandingan akhir ini disiarkan oleh RTM di TV1 mulai jam 9:00 malam dan berakhir pada jam 11:00 malam. Ia juga disiarkan oleh radio IKIM.FM.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Mantan Perdana Menteri) bersama Tun Jeanne binti Abdullah, Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bersama Datin Seri Fatmawati binti Saidin, Dato' Dr Mashitah binti Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Kamaruddin bin Siaraf (Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) serta Dato' Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM).

Lagu Tema Program Adik-adikku:

Adik-adik anak soleh,
Adik-adik serba boleh,
Adik-adik akhlak yang mulia,
Senyum ceria semua orang suka.

Berkasih sayang sesama kita,
Taat Allah dan Rasul,
Kasihkan ibu bapa.

Beramal soleh di mana saja,
Berjuang dan berkorban,
Untuk agama...
Adik-adikku, Insya Allah Boleh!!

Radix Fried Chicken, Ayer Keroh

Hari ini ialah hari Khamis, 18 Mac 2010. Tiga hari yang lepas iaitu pada hari Isnin, 15 Mac 2010, saya, isteri dan dua orang anak kami telah berkunjung ke Melaka. Di Pasaraya Besar Mydin Ayer Keroh, kami telah pergi ke restoran Radix Fried Chicken (RFC). Ini merupakan kali pertama kami merasai kelazatan RFC. Akhir tahun lepas, kami telah singgah ke Pasaraya Besar Mydin ini tetapi restoran RFC tersebut belum beroperasi sepenuhnya.

Tahniah kepada pihak Herba Penawar Alwahida (HPA) kerana telah mewujudkan restoran RFC di sini. Ia menjadi pilihan kepada pengguna-pengguna Muslim untuk merasai kesedapan daging ayam organik. Kami berharap pada masa akan datang, pihak HPA dapat meluaskan sayapnya dengan membuka restoran RFC di sekitar kawasan Kajang pula.

Ayam Goreng Radix dihasilkan daripada ayam organik HPA yang segar dengan lapan herba terpilih tanpa MSG (Monosodium Glutamate) memberi hidangan yang lazat dan menyelerakan buat seisi keluarga.

"Fresh - Organic - Halal".

Sabtu, 13 Mac 2010

Hari Keluarga Warga SKSI2 2010

Kuala Lumpur, 13/03/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami pergi ke "Desa Water Park" di Taman Danau Desa menghadiri program Hari Keluarga Warga Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 (SKSI2). Isteri saya yang mengajar di sekolah tersebut. Ia adalah anjuran Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SKSI2. Kira-kira jam 9:30 pagi, warga SKSI2 dan keluarga tiba di sini, berkumpul dan mendaftarkan diri. Sesi taklimat diadakan.

Program dimulakan dengan acara kanak-kanak memungut makanan ringan dan mencari bola di dalam air. Juga diadakan acara tarik tali dalam air bagi peserta-peserta lelaki, perlumbaan penyu bagi peserta-peserta perempuan dan kereta api ekspres menggunakan pelampung.

Ketika pertandingan-pertandingan tersebut diadakan, kanak-kanak pula bermain air. Ibu bapa dan yang lain-lain juga turut serta bermain air. Selepas tamat pertandingan, acara bebas ialah bermain air bersama keluarga.

Selepas bersalin pakaian, kami makan tengah hari bersama-sama keluarga. Acara yang seterusnya ialah penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Majlis tamat kira-kira jam 1:00 petang. Saya, isteri dan dua orang anak kami turut bersurai dan bertolak pulang.

Tema program kali ini ialah 'Warga Muafakat, Masyarakat Sejahtera'. Dengan adanya program seperti ini, kami dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain. Anak-anak pun nampaknya begitu seronok dapat bermain air.

Sabtu, 6 Mac 2010

Gathering SantaiBowl Nasyid FM

Kajang, 06/03/2010 - Saya pergi ke Ampang SuperBowl, Metro Point menghadiri "Gathering SantaiBowl Nasyid FM". Saya dijemput untuk memimpin bacaan doa' bagi majlis tersebut. Pendaftaran peserta bermula seawal jam 2:30 petang lagi. Saya mendaftarkan diri dan dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sebelum ini kami kenal melalui internet sahaja di ruang sembang Nasyid FM. Ramai yang hadir termasuk DJ Muhammad, DJ Firdaus dan lain-lain. Antara wakil kumpulan-kumpulan nasyid yang hadir ialah Saujana, as-Saufee, Algebra, R-iF dan Dmen'c.

Ustaz Nik Azizan bin Nik Jaafar yang pernah mengendalikan rancangan Mari Bertarannum di TV9 turut hadir ke program ini. Ketika permainan bowling diadakan, saya dan Ustaz Nik Azizan bermain dalam satu pasukan bersama beberapa orang rakan yang lain. Pasukan kami menjadi johan kategori lelaki untuk perlawanan kali ini.

Nasyid FM telah ditubuhkan pada 1 Disember 2006. Matlamatnya ialah mewujudkan sebuah 'Pelabuhan Utama' untuk pendakwah yang datang daripada golongan pendakwah Islam, sama ada daripada pihak artis nasyid, mahu pun ilmuan yang berpendidikan agama Islam bertaraf profesional dengan niat yang ikhlas untuk berdakwah dan juga mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain. Temanya ialah 'Wadah Hiburan Terkini'. Nasyid FM sebagai sebuah saluran dan landasan baru kepada pihak pendakwah media elektronik dalam menyampaikan peringatan berbentuk nasihat keagamaan dan kerohanian, secara tidak langsung dapat membimbing dan mendidik masyarakat.

Saya sebenarnya hari ini telah menyertai tiga program yang penting. Pagi hingga waktu Zohor, mengendalikan program Kem Bestari Solat 1/2010 di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri. Antara waktu Zohor dan waktu Isyak, "Gathering SantaiBowl Nasyid FM" di Ampang SuperBowl, Metro Point. Selepas waktu Isyak, menghadiri ceramah Maulidur Rasul peringkat taman perumahan fasa Impian Murni.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.