Ahad, 30 Mei 2010

Restoran Nasi Arab Damsyik, Senawang

Seremban, 30/05/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari Melaka menuju ke Negeri Sembilan dengan kereta. Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Tol Simpang Ampat dekat Alor Gajah. Kami keluar dari PLUS melalui Tol Senawang dan masuk ke Persiaran Senawang 1. Selepas itu, saya membelok kereta yang dipandu masuk ke Jalan Paroi – Senawang. Berhenti di sebuah restoran iaitu Nasi Arab Damsyik.

Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan mencari restoran yang bersesuaian. Kebetulan tengah hari tadi kami sekeluarga melalui Jalan Paroi – Senawang di Seremban. Tiba di restoran tersebut, kami memesan menu ‘Nasi Mandy Ayam dan Kambing’ serta minuman (Shai) teh panas dan jus mangga. Nasi Mandy disajikan bersama “laban” (susu seperti “yogurt” bersama pudina), sos “tohinah” dan “salatah”.

Nasi Mandy ialah menu yang cukup popular di negara-negara timur tengah. Mengikut sejarahnya menu ini berasal dari ibu negara Yaman dan ianya juga popular di Damsyik, Syria.

Saya dapat mengetahui kewujudan Restoran Nasi Arab Damsyik ini melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9. Sejak itu, saya berhasrat untuk mencuba menu masakannya. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Arab di sekitar Lembah Klang dan Cyberjaya.

Sesiapa yang ingin mencuba Nasi Arab Damsyik di Seremban, alamatnya ialah:
No 1, Jalan Bourgainvilla 1,
(Dekat Jalan Paroi – Senawang),
Taman Bourgainvilla,
70400 Senawang, Seremban,
Negeri Sembilan.

Kami sekeluarga bertolak pulang dari Seremban ke Kajang. Masuk ke Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS). Kemudian melalui Tol Ampangan dan Tol Setul. Kami keluar dari LEKAS melalui Tol Kajang Selatan.

Khamis, 27 Mei 2010

Permata Hijjaz 1431

Kumpulan Hijjaz telah ditubuhkan pada 1 Ramadhan 1417 Hijrah (Jumaat) bersamaan dengan 10 Januari 1997 Masihi iaitu kira-kira 13 tahun yang lalu. Ketika itu, ia dianggotai oleh Isman, Munif, Faizal dan Allahyarham Salleh. Kini, Ariffin menggantikan tempat Allahyarham. ‘Cahaya Ilahi’ merupakan album pertama mereka.

Hijjaz merupakan kumpulan penyanyi Malaysia yang menyampaikan lagu dakwah dan nasyid kontemporari. Hijjaz bermakna ‘Salah Satu Tujuh Lagu Membaca al-Qur’an’. Sebelum penubuhan Hijjaz, mereka pernah menganggotai kumpulan Nada Murni lebih daripada 10 tahun.

Berkat kesabaran dan kecekalan hati, setelah beberapa tahun menanti, akhirnya album ‘Permata Hijjaz 1431’ dapat direalisasikan dengan jayanya. Bagi Hijjaz, ini adalah hasil terbaik yang dapat ditampilkan sejak 13 tahun berkecimpung dalam arena muzik nasyid tanah air, bermula dengan cita-cita yang telah bertahun didambakan kini termakbul sudah apa yang diimpikan; sebuah album yang terbaik dapat dihadiahkan buat peminat, pencinta serta penggemar muzik nasyid dan hiburan Islam khasnya.

Dari segi konsep, album ini masih mengekalkan irama yang tidak jauh bezanya dengan album-album Hijjaz sebelumnya. Album ini menjanjikan kepuasan, sesuatu yang agak berlainan daripada album sebelum ini. Memandangkan umur Hijjaz yang boleh dikatakan agak dewasa, maka bersesuaian dengan itu, ia ditampilkan dengan muzik yang agak dewasa dan mutu yang agak tinggi. Ia membawa Hijjaz ke satu tahap baru apabila menerapkan elemen orkestra untuk pengisian album ‘Permata Hijjaz 1431’ yang memuatkan 11 buah lagu.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah:
1. Gurindam Berkasih
2. Embun Hidayah
3. Satu Amanah
4. Syukur Pada-Mu
5. Ratu Nil (Yukabid)
6. Neraca Diri
7. Ala Baladi
8. Engkau Insan Sempurna
9. Kekasih Agung
10.Iman Islam Ehsan
11.Kalimah Utama

POWERED BY: NASYID FM.
FULLY SPONSORED: PERMATA HIJRAH.

Ahad, 23 Mei 2010

Report Day 1/2010 @ Tadika Permata Harapan

Kajang, 23/05/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami pergi ke Tadika Permata Harapan di Impian Murni pagi tadi. Tadika tempat anak sulung saya belajar telah mengadakan hari perjumpaan bersama ibu bapa dan guru (Report Day). Anak sulung saya yang berumur lima tahun secara rasminya telah ditempatkan di sini pada 4 Januari 2010.

Murid-murid yang berumur lima dan enam tahun telah didedahkan dengan peperiksaan pertengahan tahun pada 10, 11 dan 13 Mei 2010 yang lalu. Pada perjumpaan kali ini, ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan tersebut. Di samping itu juga, ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai tahap kemajuan pembelajaran dan pencapaian serta perkembangan semasa anak-anak. Selain itu, ibu bapa boleh menyuarakan perkongsian idea, pendapat atau komen mengenai keseluruhan perjalanan tadika.

Anak sulung saya belajar di tadika ini pada hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat mulai jam 7:30 pagi hingga 11:30 pagi. Oleh kerana saya dan isteri bekerja, ia dilanjutkan untuk penjagaan harian sehingga jam 3:00 petang. Untuk memenuhi masa tersebut, saya telah daftarkan anak saya di kelas menghafaz surah-surah al-Qur’an (Little Hafiz) mulai jam 11:30 pagi hingga 12:00 tengah hari. Setakat ini, pihak tadika tidak mengenakan bayaran lebih masa jika anak saya diambil sebelum jam 3:30 petang. Kadang-kadang, saya atau isteri terpaksa juga mengambil anak selepas jam 3:30 petang sekiranya ada hal yang tidak dapat dielakkan. Bayaran lebih masa dikenakan mengikut jam.

‘Membina Generasi Pintar Soleh’

Rabu, 19 Mei 2010

Untuk Cikgu Terbaik

Saya sayang cikgu, sebab itu saya hadiahkan cikgu buku ini. Cikgu suka? Ini bukan rasuah ya. Ini penghargaan kepada cikgu terbaik di atas muka bumi Tuhan.

PTS ONE SDN. BHD. (602969-U)
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
No 12 & 12A, Jalan DBP.
Dolomite Business Park.
68100 Batu Caves, Selangor.

Di dalam buku ini tedapat pelbagai artikel menarik yang dapat dikongsi oleh guru dan pelajar. Lebih menarik lagi, pelajar boleh membuat artikel sendiri di dalam buku ini dan hadiahkan buku ini kepada guru kesayangan mereka.

SAYA TIDAK BUAT ! (Artikel Di Muka Surat 14)

Seorang kanak-kanak perempuan baru pulang dari sekolah. Matanya merah kerana dia baru lepas menangis. Ibunya yang sedang mengemas dapur terperanjat melihat anaknya lalu bertanya, “Lina, mengapa mata kamu merah? Kamu menangis?” Ibu itu merapati anaknya.
Anaknya hanya mengangguk.
“Mengapa kamu menangis?” Ibu itu bertanya lagi.
“Saya dimarahi cikgu atas perkara yang saya tidak buat. Betul ibu, saya tidak buat perkara itu.” Si anak bersungguh-sungguh menerangkan.
“Itu tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya kamu tidak buat, mengapa pula kamu dimarahi? Tetapi…” Ibu itu terhenti seketika. “Apa yang kamu tidak buat?”
Dengan selamba si anak menjawab, “Kerja rumah.”

LAWAK MATEMATIK DAN SEJARAH (Artikel Di Muka Surat 17)

Satu rombongan sekolah baru sampai ke Melaka. Mereka mahu melawat Kota A’Famosa. Mereka sampai di Kota A’Famosa pada pukul 3.30 petang.

“Baiklah murid-murid siapa tahu, bila Melaka diserang Portugis?” tanya guru pengiring. “1511 cikgu!” jawab seorang murid dengan yakin.
Seorang murid yang lain melihat jam tangannya, “1511? Sekarang pukul 1530. Kita terlambat beberapa minit sahaja”.

Nota: Jam murid itu berfungsi mengikut sistem 24 jam.

Ahad, 16 Mei 2010

Hari Guru 2010

Kuantan, 16/05/2010 – Bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-39 Tahun 2010 sedang diadakan pagi ini di UMP, Kuantan, Pahang. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Objektif Hari Guru Malaysia. 1-Menitik beratkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat. 2-Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia. 3-Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru. 4-Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat. 5-Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru. 6-Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatar belakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Ikrar Hari Guru:

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Rabu, 12 Mei 2010

Permainan Bowling SKTP 2010

Seri Kembangan, 12/05/2010 - Saya dan rakan-rakan guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP) pergi ke Mines Bowl, The Mines Shopping Fair menyertai permainan bowling. Ia dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staf (KGS) SKTP. Terdapat juga rakan-rakan yang membawa ahli keluarga dan turut bermain. Sebelum jam 2:30 petang lagi, kami telah sampai ke Pusat Bowling “Wonder Lanes”. Permainan tamat kira-kira jam 4:30 petang.

Kami bermain sebanyak tiga pusingan secara berselang-seli. Setiap pasukan mempunyai tiga orang ahli. Pusingan pertama saya mendapat 121 mata, pusingan kedua mengutip 89 mata dan pusingan ketiga pula 95 mata.

Keputusan keseluruhan akan diumumkan sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah nanti. Selepas tamat permainan, saya dan beberapa orang rakan sempat bersiar-siar sebentar di “The Mines Shopping Fair” sebelum bergerak pulang.

Khamis, 6 Mei 2010

Keistimewaan Buah Zaitun

Saya gemarkan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun saya menetap di sana kerana menuntut ilmu. Antara makanan kegemaran saya ialah buah zaitun jeruk. Apabila kembali ke Malaysia, saya masih sukakan buah tersebut. Simpanan buah zaitun jeruk, saya pastikan berada di rumah. Tidak sukar untuk mendapatkan bekalan di sekitar Lembah Klang. Buah zaitun memiliki keistimewaannya yang tersendiri sehingga disebut dalam al-Qur’an. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Demi buah tin dan buah zaitun. (Surah at-Tin: Ayat 1). Ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun kepada kehidupan manusia. Zaitun merupakan tanaman tradisi dari Negara Mediterranean. Hasil yang penting daripada pokok ini ialah minyaknya yang digunakan secara meluas dalam bidang masakan, kosmetik dan sebagainya.

Melalui kajian- kajian sains, khasiat buah zaitun diiktiraf oleh dunia moden. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami masalah serta dapat meremajakan kulit.

Minyak zaitun diklasifikasikan sebagai minyak diet yang sihat memandangkan ianya mengandungi asid lemak tidak tepu yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Ia boleh digunakan dalam masakan menggantikan minyak masak kelapa sawit. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan serta berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.