Sabtu, 26 Jun 2010

Dari Karnival PKG ke MIHAS 2010

Cheras, 26/06/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami telah sampai ke Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10 (SAMTEN) kira-kira jam 9:55 pagi. Walaupun Hari Guru telah disambut pada bulan Mei yang lalu, hari ini diadakan pula Karnival Sambutan Hari Guru Pusat Kegiatan Guru (PKG) Cheras 2010 di SAMTEN. Pelbagai acara telah diadakan sempena karnival kali ini. Antaranya ialah gerai jualan, perlawanan bola tampar, sepak takraw, congkak serta pertandingan gubahan dan manisan. Di samping itu juga, saya dapat bertemu rakan-rakan yang mengajar di sekitar Zon Cheras, Hulu Langat, Selangor. Isteri saya yang telah berpindah sekolah pada tahun 2008 dari Zon Cheras ke Zon Kajang juga telah dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama di karnival ini. Selepas itu, kami sekeluarga bergerak dari SAMTEN untuk pergi ke tempat lain pula.

Kuala Lumpur, 26 Jun - Saya, isteri dan dua orang anak kami telah sampai ke Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade atau “Matrade Exhibition and Convention Centre” (MECC) di Jalan Duta kira-kira jam 11:55 pagi. Turun dari kereta, kami terus menuju ke pusat pameran menghadiri Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Ke-7. Ia juga dikenali sebagai “Malaysia International Halal Showcase” (MIHAS). Berbagai negara menyertai pameran ini.

Di MIHAS 2010 ini juga, saya dapat bertemu dengan rakan-rakan yang telah sama-sama belajar di University of Jordan dahulu. Seorang rakan telah menjadi usahawan dan menyertai pameran di sini. Seorang lagi rakan datang bersama keluarga sebagai pengunjung seperti kami. Selepas solat Zohor dan makan tengah hari di sini, kami sekeluarga bertolak pulang kira-kira jam 3:40 petang dari MECC.

Ahad, 20 Jun 2010

Perjumpaan Bekas Pelajar SMAPT

Kuala Lumpur, 20/06/2010 – Bertempat di Restoran Nasi Lemak Antarabangsa, Jalan Melati 4, Taman Melati Utama telah diadakan perjumpaan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku (SMAPT). Saya tiba kira-kira jam 3:10 petang. Dua orang rakan telah sedia menunggu. Selepas itu, seorang demi seorang tiba ke restoran ini. Terdapat juga rakan-rakan yang hadir ke sini membawa keluarga mereka. Ini merupakan perjumpaan kali pertama bekas-bekas pelajar SMAPT yang lahir pada tahun 1974 dan 1975. Bekas-bekas pelajar yang telah datang untuk pertemuan pada petang ini ialah saya, Syarifudin, Termizi, Juliana Suhaila, Norina, Roslaili dan Nora.

Saya mendapat maklumat berkenaan perjumpaan yang dirancang ini melalui laman sosial Facebook. Ada di antara rakan-rakan yang tidak bertemu sejak berbelas-belas tahun selepas menamatkan pengajian di SMAPT. Petang ini merupakan pertemuan semula setelah kami berhubung melalui internet dan telefon sahaja.

Mengimbas kembali kenangan ketika belajar di SMAPT. Tahun 1988, saya berada di Kelas Peralihan bersama rakan-rakan yang lahir pada tahun 1975. Tahun 1989, saya terus melompat ke Tingkatan Dua tanpa masuk ke Tingkatan Satu berdasarkan keputusan peperiksaan. Sejak itu, saya belajar bersama rakan-rakan yang lahir pada tahun 1974 sehingga berada di Tingkatan Lima pada tahun 1992.

Selasa, 15 Jun 2010

Percutian ke Negeri Sembilan 2010

Hari pertama (14 Jun 2010), saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari rumah di Kajang. Masuk ke Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) melalui Tol Kajang Selatan dan keluar dari lebuhraya melalui Tol Setul. Saya memandu kereta menyusuri bandar Seremban.

Masuk pula ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan melalui Tol Mambau menuju ke Port Dickson. Kami terus menuju ke pantai Teluk Kemang yang lokasinya berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang, Batu 8, Jalan Pantai. Waktu sudah tengah hari.

Saya dan isteri bergilir-gilir mandi laut bersama dua orang anak kami. Khemah untuk sewaan ada disediakan di tepi pantai. Kami berehat di bawah khemah sehingga petang. Kami bergerak dari pantai dan menginap di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Sebuah bilik keluarga dengan dua buah katil kelamin. Makan malam di Saujana Tomyam Seafood, Batu 4, Jalan Pantai. Pulang ke hotel untuk bermalam.

Hari kedua (15 Jun 2010), kami bersarapan di Café Teluk Kemang, Hotel Seri Malaysia. Kembali ke bilik. Kemudian, saya menemani anak-anak mandi di kolam hotel ini. Selepas itu, berehat di bilik. Tengah hari, kami daftar keluar dari sini.

Pergi ke bandar Port Dickson dan kami makan tengah hari di gerai Rosella binti Abdullah, Masakan Melayu dan Kampung. Meneruskan perjalanan untuk bertolak pulang ke rumah di Kajang. Dari Port Dickson ke Seremban melalui PLUS dan dari Seremban ke Kajang melalui LEKAS.

Jumaat, 11 Jun 2010

Cabaran Mendidik Anak

Anak-anak adalah anugerah Allah yang tiada ternilai harganya. Ramai yang menganggap anak adalah lambang kebahagiaan sesebuah keluarga. Setiap pasangan yang baru berkahwin juga menginginkan anak. Ada di kalangan mereka mula risau jika usia perkahwinan telah mencecah angka beberapa tahun tetapi masih tidak mendapat cahaya mata. Pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan zuriat supaya tidak disindir atau disoal berkali-kali oleh keluarga dan masyarakat. Sungguhpun begitu ada juga pasangan yang begitu murah rezeki, dikurniakan anak yang ramai dan setiap tahun menerima kelahiran insan baru. Ini adalah kurnia-Nya. Hargai kurnia-Nya sebaik mungkin. Itu juga adalah amanah Allah. Ibu bapalah yang akan mencorakkan keperibadian anak-anak sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Setiap individu yang dilahirkan itu adalah menurut fitrahnya, maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat al-Bukhari).

Namun, mendidik anak pada zaman siber ini bukan suatu perkara yang mudah. Banyak cabaran terpaksa ditempuhi kerana anak-anak masa kini banyak pendedahan yang dipelajari daripada persekitaran dunia tanpa sempadan. Kadang-kadang ilmu mereka menjangkaui pengetahuan ibu bapa. Ilmu-ilmu yang bermanfaat tidak pernah kita rungsingkan sebaliknya menjadi kebanggaan tetapi ilmu-ilmu yang merosakkan itulah yang menghantui kebimbangan ibu bapa.

Bapa berperanan sebagai ketua keluarga. Ketetapan hukum ini termaktub dalam al-Qur’an. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) (dengan beberapa keistimewaan) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (Surah an-Nisak: Ayat 34).

Sebagai seorang bapa, mereka perlu gigih dan tidak berputus asa mendidik anak-anak serta membimbing keluarganya ke arah keredhaan Allah S.W.T. kerana ini adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka. (Surah at-Tahrim: Ayat 6).

SUMBER: Anis. Jun 2009.

Ahad, 6 Jun 2010

Restoran Mohd Chan Abdullah, Bangi

Bandar Baru Bangi, 06/06/2010 - Malam ini, saya terasa hendak menikmati masakan Cina Muslim dan mengajak isteri serta dua orang anak kami makan di luar. Kami bertolak dari rumah di Kajang menuju ke Bangi dengan kereta. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Cina Muslim di sekitar Pahang dan Selangor. Kali ini, kami singgah pula ke sebuah restoran makanan Cina Muslim di Bandar Baru Bangi iaitu Restoran Mohd Chan Abdullah.

Kami sekeluarga makan malam di sini dengan memesan menu Loh Mee Sup, Kantonis Yee Mee serta minuman air sirap dan Kedondong Asam Boi. Terdapat lebih daripada 100 pilihan juadah yang sungguh menyelerakan di sini. Para pengunjung juga boleh menikmati menu terbaharu daripada chef yang berpengalaman di “Dim Sum and Pau Corner”.

Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga singgah makan di Restoran Mohd Chan Abdullah. Saya dapat mengetahui kewujudan restoran ini melalui majalah “Media Focus” Mei 2010, edisi Kajang. Sejak itu, saya berhasrat untuk mencuba menu masakannya.

Sesiapa yang ingin mencuba makanan Cina Muslim di Restoran Mohd Chan Abdullah cawangan Bandar Baru Bangi, alamatnya ialah:
No 30, Jalan Medan Pusat 2C,
Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor.

Selepas singgah makan malam di sini, kami sekeluarga bertolak pulang dari Bangi menuju ke rumah di Kajang.

Jumaat, 4 Jun 2010

Khutbah Jumaat 04062010

Bandar Baru Bangi, 04/06/2010 – Saya pergi ke Masjid Imam asy-Syafie di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Islam untuk menunaikan solat Jumaat. Saya tiba di masjid sebelum azan Zohor berkumandang. Waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:14 petang. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh khatib yang bertugas. Khutbah Jumaat kali ini membincangkan tajuk berkenaan pemimpin Islam yang adil dan amanah.

Seorang pemimpin hendaklah berlaku adil dan berbuat baik terhadap orang bawahannya. Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik dalam melaksanakan tugas baginda sebagai seorang pemimpin dan pemerintah. Baginda sendiri pernah menziarahi jiran yang sakit. Pemimpin yang adil mesti berlaku amanah. Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran yang Allah S.W.T. akan turunkan.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin-pemimpin kamu. Sekiranya kamu berlainan pendapat berkenaan sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisak: Ayat 59).

Dalam khutbah yang kedua, khatib mengajak para jemaah supaya mendoa’kan keselamatan kepada sukarelawan-sukarelawan dan aktivis-aktivis keamanan untuk membantu rakyat Palestin. Mimbar Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis kerana telah menyerang kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. Semasa menunaikan solat Jumaat, imam membacakan doa’ Qunut Nazilah.

Tiba di masjid ini tadi, saya masih lagi teringat suasana semasa saya berdiri di mimbar itu. Ketika belajar di sini, saya telah dilantik sebagai ketua kelas. Juga telah dilantik sebagai EXCO Dakwah dan Kerohanian dalam Jawatankuasa Kebajikan Pelajar (Jawatankuasa Perwakilan Pelajar) untuk Kursus Dalam Cuti (KDC). Saya pernah menjadi khatib untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Imam asy-Syafie ini. Juga pernah menyusun giliran nama-nama khatib bagi menyampaikan khutbah Jumaat. Semasa saya mula belajar di sini, nama asalnya ialah Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi. Proses pertukaran nama MPI kepada Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS) telah berlaku ketika saya menjadi pelajar KDC untuk Kursus Perguruan Lepas Ijazah (j-QAF kohort pertama, opsyen Bahasa Arab) antara bulan Januari 2005 hingga Jun 2006. Terkini, nama IPIS ialah IPGM Kampus Pendidikan Islam.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.