Selasa, 24 Ogos 2010

21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang

Tidak ada formula khusus mendidik anak kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik, yakni berbeza-beza di antara satu sama lain. Bagaimana pun Rasulullah s.a.w. menggariskan 4 tahap mendidik anak:

Tahap pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana haiwan menjaga anak.

Tahap kedua: Anak berumur 7 tahun hingga baligh (14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap keempat: Anak berumur lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang:
1.Pesanan dan Arahan. 2.Bercerita (Uslub al-Qasas). 3.Bersoal Jawab. 4.Rujuk Pengalaman Lalu. 5.Nasihat dan Teguran. 6.Bermain-main dan Bergurau. 7.Latihan Yang Berterusan. 8.Ibu Bapa Sebagai Teladan. 9.Galakan (Targhib) dan Amaran (Tarhib). 10.Suruhan dan Gesaan. 11.Ambil Berat Kebajikan Anak-anak. 12.Guna Firasat dan Gelombang Minda. 13.Menjana Keyakinan Diri Anak-anak. 14.Kenal Pasti Kecenderungan dan Bakat Anak-anak. 15.Menasihati Pada Waktu Sesuai. 16.Mendidik Bertahap-tahap. 17.Patuhi Allah dan Teladani Rasul. 18.Mengisi Waktu Lapang. 19.Berdialog. 20.Rangsang Kecergasan Minda. 21.Doa’ Yang Berterusan.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Waktu Imsak dan Waktu Terbit Fajar

Kuala Lumpur, 14/08/2010 – Hari ini merupakan hari keempat umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tarikh hari ini ialah 4 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 14 Ogos 2010 Masihi.

Ramai umat Islam yang masih keliru berkenaan waktu imsak dan waktu terbit fajar. Imsak bermaksud menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa daripada terbit fajar (masuk waktu Subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu Maghrib). Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan makan minumlah sehingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. (Surah al-Baqarah: Ayat 187).

Jelas di sini bahawa waktu imsak ialah sama dengan waktu terbit fajar (masuk waktu Subuh). Di Malaysia, waktu imsak ditetapkan 10 minit sebelum masuk waktu Subuh kerana mengikut amalan sebahagian orang terdahulu atas dasar berhati-hati daripada terlanjur ke dalam waktu Subuh.

Dengan adanya kaedah menentukan waktu fajar (waktu Subuh) yang tepat, umat Islam di Malaysia tidak perlu lagi menghadkan diri mereka daripada makan dan minum 10 minit sebelum waktu Subuh. Cuma jadikan ia sebagai panduan.

Amalan menetapkan waktu imsak 10 minit sebelum masuk waktu Subuh tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan sunnah bersahur di akhir waktu. Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Tidak akan hilang kebaikan daripada umatku selagi mereka mengakhirkan bersahur dan menyegerakan berbuka. (Riwayat Ahmad).

Ahad, 8 Ogos 2010

Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2010

Putrajaya, 08/08/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami bertolak dari Kajang menuju ke Putrajaya pagi tadi. Saya memandu kereta dari Kajang melalui Lebuhraya Cheras Kajang (E7) dan membelok masuk ke Lebuhraya Kajang SILK (E18). Kemudian meneruskan pemanduan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (E26) sebelum tiba di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Kami berkunjung ke Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2010 yang diadakan di sekitar kawasan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Masjid ini digelar Masjid Besi kerana telah dibina menggunakan 70 peratus bahan binaan daripada besi. Karnival anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini diadakan pada 5 hingga 8 Ogos 2010. Hari ini merupakan hari terakhir karnival yang julung-julung kali diadakan.

Objektif utama karnival ini diadakan adalah untuk menonjolkan idea-idea kreatif dan produk-produk inovasi Islam kepada masyarakat di samping memberi pengiktirafan kepada mana-mana pihak yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang inovasi Islam.

Karnival Inovasi Islam ini dianjurkan melalui perkongsian pintar dengan kerjasama agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, badan berkanun, institusi pengajian tinggi, institusi kewangan dan perbankan Islam serta pihak swasta dan korporat. Banyak aktiviti dilaksanakan sepanjang karnival ini berlangsung. Ia terdiri daripada pelbagai program seperti Anugerah Inovasi Islam 2010, pelancaran dan demonstrasi produk-produk inovasi Islam, seminar, bengkel dan diskusi serta ekspo pameran inovasi pendidikan daripada Institusi Pendidikan Awam dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Di “Kiblat Walk” masjid ini, bermacam-macam pameran diadakan. Saya, isteri dan dua orang anak kami sempat singgah ke beberapa buah gerai pameran. Antaranya ialah pameran inovasi pendidikan daripada BPI, KPM. Saya sempat bersembang dengan rakan-rakan guru yang terdiri daripada Guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab yang telah menghasilkan produk-produk inovasi pendidikan.

Inovasi 1 Malaysia 1 Ummah.

Isnin, 2 Ogos 2010

Fitnah di Zaman Siber

Kecanggihan era siber yang berteknologi tinggi menjadikan pesanan atau mesej mudah disampaikan kepada orang lain dalam masa yang pantas. Pada zaman yang serba serbi canggih ini, semua maklumat berada di hujung jari. Tidak perlu lagi menghantar surat secara pos di pejabat pos. Hanya menekan butang pada telefon bimbit atau komputer, apa sahaja maklumat boleh sampai serentak dalam masa beberapa saat ke seluruh dunia.

Begitu mudah menyampaikan maklumat sekarang. Sekiranya tidak berhati-hati, kita akan termasuk dalam golongan penyebar fitnah. Era siber yang diheboh-hebohkan sekarang memang mendedahkan kita kepada berbagai-bagai bentuk fitnah. Tidak dinafikan bahawa internet adalah sumber segala ilmu tetapi menjadi pusat mengumpul dan menyebar fitnah jika jaringan elektronik ini disalah gunakan.

Maklumat palsu amat mudah tersebar di alam siber tanpa sempadan ini. Zaman dulu, orang bersusah payah menulis dan menyebarkan surat layang untuk memfitnah seseorang. Kini tidak perlu lagi surat layang kerana fitnah lebih mudah dan lebih cepat dihantar menerusi kaedah elektronik.

Fitnah amat berbahaya kerana boleh menyebabkan porak peranda dan boleh memecahkan perpaduan ummah. Menyebarkan fitnah dengan apa cara sekali pun, termasuk menggunakan kecanggihan siber adalah satu dosa besar.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan fitnah itu lebih sangat (dosanya) daripada pembunuhan. (Surah al-Baqarah: Ayat 191).

Juga telah berfirman: Maksudnya: Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan. (Surah al-Baqarah: Ayat 217).

Elakkan diri daripada menjadi penyebar fitnah. Jika menerima maklumat, pesanan atau komen melalui e-mel, laman web, laman blog dan laman sosial, jangan mudah menghantar apa yang diterima itu kepada orang lain. Pastikan dahulu kesahihannya dengan menyemak sumber.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu. (Surah al-Hujurat: Ayat 6).

Kecanggihan teknologi maklumat sebenarnya memudahkan kita untuk berkomunikasi dan meneroka alam siber serta memperolehi pelbagai ilmu. Sekiranya kita tidak menggunakan teknologi moden ini secara bijak dan menyalah gunakan kemudahan yang disediakan, kita akan terjerumus ke dalam golongan penyebar fitnah.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.