Sabtu, 27 Ogos 2011

Bulan Ogos 2011

Kajang, 27/08/2011 – Syukur kepada Allah S.W.T. kerana saya, isteri dan tiga orang anak kami masih berada dalam bulan Ramadhan pada tahun ini. Hari ini merupakan hari kedua puluh tujuh umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tarikh hari ini ialah 27 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 27 Ogos 2011 Masihi.

Bulan Ramadhan merupakan bulan kesembilan dalam tahun Hijrah dan bulan Ogos pula merupakan bulan kelapan dalam tahun Masihi. Walau pun ia tidak sama dari segi bulan tetapi ia sama dari segi hari bulan kerana 1 Ramadhan 1432 Hijrah ialah bersamaan dengan 1 Ogos 2011 Masihi.

Pada minggu kedua bulan Ogos, anak sulung saya yang berumur enam tahun terkena jangkitan cacar air (chicken pox). Pada minggu keempat bulan Ogos, anak kedua saya yang berumur empat tahun dan anak ketiga saya yang berumur sembilan bulan pula terkena jangkitan tersebut. Mereka dilarang berada di tadika dan taska kerana dibimbangi menjangkiti kanak-kanak atau bayi yang lain. Saya dan isteri terpaksa bergilir-gilir mengambil cuti rehat khas serta cuti sakit untuk menjaga mereka di rumah. Rekod saya tanpa cuti pada tahun 2010 nampaknya tidak dapat dipertahankan. Ini semua ujian daripada Allah S.W.T.

Bulan Ogos mempunyai 31 hari dan bulan Ramadhan mempunyai 29 atau 30 hari bergantung kepada rukyah dan hisab. Rukyah (melihat) anak bulan dan hisab (mengira) hari bulan. Jika anak bulan Syawwal tidak kelihatan pada 29 Ramadhan, maka hendaklah disempurnakan bulan Ramadhan sebanyak 30 hari.

Pada tahun ini, sama ada bulan Ramadhan mempunyai 29 atau 30 hari, 1 Syawwal 1432 (A’idil Fitri) tetap akan disambut pada bulan Ogos 2011 kerana Ogos mempunyai 31 hari setiap tahun.

Hari Kebangsaan negara kita ialah pada 31 Ogos setiap tahun dan 31 Ogos 2011 merupakan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-54.

Hari Raya Puasa (A’idil Fitri) dan Hari Kebangsaan pada tahun ini juga serentak dengan cuti persekolahan iaitu Cuti Pertengahan Penggal 2 Tahun 2011.

Bulan Ramadhan dan bulan Syawwal pada tahun lepas, kami cuma berempat orang. Ramadhan 1432 yang akan berlalu dan Syawwal 1432 yang akan menjelma, kami sudah berlima orang. Syukur kepada Allah S.W.T. Kami akan pulang ke kampung seperti tahun-tahun lepas menziarahi keluarga sempena sambutan A’idil Fitri ini. Selamat Hari Raya Puasa. Maaf Zahir dan Batin.

Khamis, 18 Ogos 2011

Jual Beli Emas Mesti Patuh Syariah

Melabur emas dalam bentuk fizikal dapat memberikan ketenangan kerana nilai emas adalah stabil dan ia tetap mengekalkan nilainya. Manakala nilai wang kertas akan menyusut dalam jangka masa panjang. Nilai wang kertas pada masa sekarang tidak akan sama nilainya pada masa akan datang. Emas merupakan pelaburan yang sebenar.

Pelaburan emas adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pelaburan wang kertas. Kini, terdapat banyak syarikat dan bank yang menawarkan pelaburan emas. Umat Islam yang hendak melibatkan diri dalam pelaburan emas mesti terlebih dahulu mengetahui urusniaga jual beli emas yang patuh syariah. Pilih perbankan Islam yang ada menawarkan akaun pelaburan emas atau syarikat yang mematuhi kehendak syariah dalam pelaburannya.

Urusniaga Jual Beli Emas Yang Mematuhi Kehendak Syariah. 1-Emas fizikal mesti ada. 2-Bayar secara tunai. 3-Serah emas secara tunai.

1-Emas fizikal mesti ada.

Jika stok emas hanya ada 1000 gram, penjual emas cuma boleh menjual 1000 gram sahaja kepada pembeli walaupun permintaan melebihi daripada jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.

2-Bayar secara tunai.

Pembayaran secara tunai tidak semestinya dengan duit berbetuk fizikal. Ia boleh dibuat dengan pengeluaran cek, menggunakan pemindahan wang melalui mesin, kad debit, kad kredit daripada perbankan Islam atau cara lain yang dibenarkan oleh Islam. Duit mesti cukup dalam akaun bank kerana diharamkan jual beli emas secara ansuran dan hutang.

3-Serah emas secara tunai.

Penyerahan emas secara tunai tidak semestinya melihat emas fizikal tersebut. Penjual boleh memberikan resit atau sijil kepada pembeli bagi membuktikan bahawa emas itu wujud (ada). Resit atau sijil tersebut dikeluarkan mestilah berdasarkan emas yang memang ada dalam simpanan penjual. Bukan resit atau sijil untuk emas yang belum wujud.

Peringatan: Emas yang disimpan dalam apa-apa bentuk sekali pun adalah wajib dizakatkan apabila ia melebihi berat asas nisab iaitu 85 gram. Bagi mendapatkan nilai zakat, ambil semua emas yang disimpan dan timbang. Kemudian darabkan dengan harga emas semasa dan darabkan dengan 2.5 peratus.

Jumaat, 12 Ogos 2011

Khutbah Jumaat 12082011

Kajang, 12/08/2011 – Saya pergi ke Surau Saujana Impian untuk menunaikan solat Jumaat. Saya tiba di surau sebelum azan Zohor berkumandang. Waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:21 petang. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh Ustaz Imran bin Habil. Khutbah Jumaat kali ini membincangkan tajuk berkenaan generasi al-Qur’an.

Hari ini bersamaan dengan 12 Ramadhan 1432. Sempena bulan Ramadhan dan Nuzul al-Qur’an pada tahun ini, para jemaah diingatkan bahawa al-Qur’an diturunkan bertujuan untuk memimpin manusia.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar. (Surah al-Israk: Ayat 9).

Rasulullah s.a.w. telah berjaya mendidik para sahabat baginda menjadi generasi al-Qur’an. Mereka sanggup berjihad di jalan Allah dan sebahagian daripada mereka sanggup menyerahkan harta untuk tujuan tersebut. Mereka juga sanggup mati syahid kerana mempertahankan agama Islam.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Di antara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (apa yang Allah janjikan) dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji). (Surah al-Ahzab: Ayat 23).

Para sahabat Rasulullah s.a.w. merupakan generasi al-Qur’an yang terbaik. Generasi al-Qur’an boleh dilahirkan semula jika kita kembali kepada al-Qur’an.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta beriman kepada Allah. (Surah Ali Imran: Ayat 110).

Menuurut Syed Qutb, generasi al-Qur’an pada masa kini dapat dilahirkan kembali jika kita mencintai al-Qur’an dan menjadikannya sebagai sumber kehidupan. Kita mestilah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan meninggalkan jahiliyah moden.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: Ayat 2).

Kita juga mesti mentauhidkan Allah dengan aqidah yang benar. Allah menurunkan al-Qur’an sebagai sumber rujukan kepada umat manusia.

Rabu, 3 Ogos 2011

Puasa di Bulan Ramadhan

Turunnya perintah wajib berpuasa di bulan Ramadhan ialah pada tahun kedua Hijrah iaitu tahun kedua sesudah Nabi Muhammad s.a.w. berpindah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Hukumnya fardhu a’in bagi orang Islam yang berakal (aqil) dan sampai umur (baligh). Orang yang aqil baligh disebut mukallaf iaitu seorang yang telah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan untuk menjalankan tuntutan agama Islam.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah: Ayat 183).

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Islam itu ditegakkan di atas lima dasar. Menyaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji serta berpuasa di bulan Ramadhan. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang berkat. Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini dengan melakukan amalan-amalan yang telah diperintahkan seperti menunaikan kewajipan berpuasa mengikut hukum-hukum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (Muttafaq a'laih).

Kita hendaklah menghindari diri daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Tidaklah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi berpuasa itu termasuklah menghindari diri daripada melakukan perbuatan yang melalaikan dan daripada bercakap keji. (Riwayat Ibn Khuzaimah).

Ramadhan ialah bulan yang di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampuni dosanya yang terdahulu. (Muttafaq a'laih).

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.