Khamis, 22 September 2011

Program Indahnya Islam Untuk SJK

Putrajaya, 22/09/2011 – Di Masjid Putra, saya bersama beberapa orang rakan yang telah dilantik sebagai jurulatih dan fasilitator bertindak sebagai penceramah untuk Program Indahnya Islam bagi murid-murid sekolah rendah dari sekitar daerah Hulu Langat. Mereka terdiri daripada murid-murid Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Saya tiba di perkarangan Masjid Putra kira-kira jam 7:10 pagi tadi setelah memandu kereta dari rumah di Kajang. Jarak perjalanan ialah kira-kira 22 kilometer. Perjalanan pergi saya dari Kajang ke Putrajaya awal pagi tadi melalui Lebuhraya Kajang SILK (E18) dan Lebuhraya SKVE "South Klang Valley Expressway" (E26). Di E18 melalui Plaza Tol Sungai Balak dan di E26 tidak melalui plaza tol.

Para peserta dan tetamu yang hadir bersarapan terlebih dahulu di Dewan Makan Ibnu Khaldun sebelum program bermula.

Program Indahnya Islam telah diadakan di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra, Putrajaya bermula sejak pagi tadi sehingga petang. Ia dilaksanakan oleh Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Pelaksanaan program ini juga telah diselaraskan mengikut permuafakatan bersama antara pihak Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah di Selangor dan Masjid Putra di Putrajaya.

Program ini adalah suatu usaha sentuhan minda dan emosi kepada murid-murid sekolah untuk memantap serta mengukuhkan aqidah sebagai orang Islam. Mereka dapat merasakan Islam sebagai satu pegangan dan cara hidup.

Objektif program ini ialah untuk menanam keinsafan bahawa hanya Islam agama dan cara hidup yang benar. Juga menanam kesedaran hidup sebagai orang Islam merupakan suatu nikmat yang amat besar daripada Allah. Di samping memupuk semangat sayang dan cinta kepada Islam sebagai suatu anutan dan perlu dipertahankan. Diharap melalui program ini dapat melahirkan generasi pewaris para nabi yang berkesanggupan menjadikan dakwah kepada bukan Islam sebagai suatu usaha.

Program pada hari ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di SJK Cina dan SJK Tamil. Mereka terdiri daripada murid-murid Tahun 3, 4, 5 dan 6. Pada minggu lepas iaitu pada 15/09/2011, program seperti ini telah diadakan untuk murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.

Saya membentangkan tajuk berkenaan ‘Hebatnya Solat’. Saya menggunakan komputer riba persendirian yang disambungkan kepada projektor auditorium dan dipancarkan ke skrin besar.

Selepas solat Zohor di Masjid Putra dan makan tengah hari di Dewan Makan Ibnu Khaldun, program disambung kembali. Ia merupakan slot penutup sebagai muhasabah diri dan kesimpulan daripada program sepanjang hari ini.

Khamis, 15 September 2011

Program Indahnya Islam

Putrajaya, 15/09/2011 – Saya bersama beberapa orang rakan yang telah dilantik sebagai jurulatih dan fasilitator bertindak sebagai penceramah untuk Program Indahnya Islam bagi murid-murid sekolah rendah dari sekitar daerah Hulu Langat. Mereka terdiri daripada murid-murid Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.

Program ini telah diadakan di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra, Putrajaya bermula sejak pagi sehingga kira-kira jam 4:00 petang tadi. Ia dilaksanakan oleh Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Pelaksanaan program ini juga telah diselaraskan mengikut permuafakatan bersama antara pihak Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah di Selangor dan Masjid Putra di Putrajaya.

Program Indahnya Islam adalah suatu usaha sentuhan minda dan emosi kepada murid-murid sekolah untuk memantap serta mengukuhkan aqidah sebagai orang Islam. Mereka dapat merasakan Islam sebagai satu pegangan dan cara hidup.

Objektif program ini ialah untuk menanam keinsafan bahawa hanya Islam agama dan cara hidup yang benar. Juga menanam kesedaran hidup sebagai orang Islam merupakan suatu nikmat yang amat besar daripada Allah. Di samping memupuk semangat sayang dan cinta kepada Islam sebagai suatu anutan dan perlu dipertahankan. Diharap melalui program ini dapat melahirkan generasi pewaris para nabi yang berkesanggupan menjadikan dakwah kepada bukan Islam sebagai suatu usaha.

Program pada hari ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan. Mereka terdiri daripada murid-murid Tahun 4 dan 5. Pada masa akan datang, program ini akan diperluaskan kepada murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Saya membentangkan tajuk berkenaan ‘Hebatnya Solat’. Saya menggunakan komputer riba persendirian yang disambungkan kepada projektor auditorium dan dipancarkan ke skrin besar.

Sebelum program dimulakan tadi, para peserta dan tetamu yang hadir bersarapan terlebih dahulu di Dewan Makan Ibnu Khaldun. Apabila program dimulakan, saya memimpin bacaan doa’. Selepas saya menyampaikan ceramah untuk slot yang ketiga, telah diadakan pula majlis perasmian penutup. Sekali lagi saya memimpin bacaan doa’. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ariffin bin Mohd Amin, Ketua Sektor di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.

Selepas makan tengah hari di Dewan Makan Ibnu Khaldun dan solat Zohor di Masjid Putra, program disambung kembali. Ia merupakan slot penutup sebagai muhasabah diri dan kesimpulan daripada program sepanjang hari ini.

Sabtu, 10 September 2011

Kaedah Melabur Emas

Tahun 2007 hingga tahun 2010, purata kenaikan harga emas dunia mencecah sehingga 24 peratus setahun. Emas kini menjadi alternatif pelaburan di negara kita Malaysia. Pelaburan emas masih menguntungkan walau pun berlaku krisis ekonomi.

Pelaburan emas fizikal atau membuka akaun pelaburan emas merupakan jenis pelaburan emas yang wajar dipilih. Kedua-dua kaedah ini memberikan pulangan lumayan. Keuntungan pelaburan emas diperolehi melalui kenaikan harga logam tersebut di pasaran global.

Melalui pelaburan emas fizikal, tiga kategori ditawarkan iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas.

Di Malaysia, terdapat institusi perbankan yang menawarkan pelaburan emas fizikal dengan membuka akaun simpanan emas berlandaskan Islam. Antara konsep yang digunakan ialah pihak bank menyelia pelaburan emas dengan persetujuan pelabur membenarkan emas dideposit ke dalam bank.

Umat Islam yang hendak melibatkan diri dalam pelaburan emas mesti terlebih dahulu mengetahui urusniaga jual beli emas yang patuh syariah. Pilih perbankan Islam yang ada menawarkan akaun pelaburan emas atau syarikat yang mematuhi kehendak syariah dalam pelaburannya.

Melalui akaun pelaburan emas, kita boleh berurusniaga dan melabur dalam emas dengan mudah. Ia membenarkan kita mengikuti dan merancang pelaburan dengan bijak melalui penyata akaun tersebut.

Buatlah pilihan yang bijak bagi mendapatkan manfaat dalam mempelbagaikan pelaburan kita untuk jangka masa panjang.

Ahad, 4 September 2011

Puasa di Bulan Syawwal

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawwal, adalah dia seperti berpuasa sepanjang masa [setahun]. (Riwayat Muslim).

Pada 1 Syawwal kita diharamkan berpuasa kerana ia merupakan Hari Raya Puasa (A’idil Fitri). Manakala tarikh 2 Syawwal kita sudah boleh memulakan puasa sunat di bulan Syawwal. Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita berpuasa pada Hari Raya Puasa (A’idil Fitri) dan Hari Raya Korban (A’idil Adh'ha).

Tidak ada hari raya selepas berpuasa enam hari di bulan Syawwal kerana hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua iaitu Hari Raya Puasa (A’idil Fitri) dan Hari Raya Korban (A’idil Adh'ha). Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyariatkan oleh Allah S.W.T.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik daripada perayaan (zaman jahiliyah) iaitu (A’idil) Adh'ha dan (A’idil) Fitri. (Riwayat Abu Daud).

Puasa enam hari di bulan Syawwal tidak disyaratkan dilakukan berturut-turut. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawwal dan bilangannya mencukupi enam hari. Walau pun begitu, lebih baik jika dapat dilakukan secara berturut-turut dan lebih baik disegerakan pelaksanaannya.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (ke arah mendapatkan) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Surah Ali Imran: Ayat 133).

Hukum berpuasa enam hari di bulan Syawwal adalah sunat sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam: Disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal). Ini merupakan mazhab as-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafie dan Imam Ahmad. (Taudhih al-Ahkam).

Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. di awal artikel ini, baginda mensyaratkan ‘berpuasa bulan Ramadhan’ terlebih dahulu, kemudian barulah ‘mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawwal’. Ini menunjukkan puasa sunat enam hari di bulan Syawwal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadhannya. Jika seseorang itu ada meninggalkan puasa Ramadhannya, ia perlu diganti terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawwal.

Tidak ada dalil dalam al-Qur’an dan hadis yang mengatakan boleh digabungkan puasa ganti Ramadhan dan puasa sunat Syawwal.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.