Sabtu, 29 Oktober 2011

Report Day 2/2011 @ Tadika Permata Harapan

Kajang, 29/10/2011 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah pergi ke Tadika Permata Harapan di Impian Murni pagi ini. Tadika tempat anak sulung dan anak kedua saya belajar telah mengadakan hari perjumpaan bersama ibu bapa dan guru (Report Day) kali kedua untuk tahun 2011.

Anak sulung saya yang berumur enam tahun telah menduduki peperiksaan akhir tahun pada 19, 20 dan 21 Oktober 2011 yang lalu. Ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan tersebut. Juga dapat membuat perbandingan dengan prestasi berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun yang telah diadakan pada bulan Mei lepas. Anak sulung saya kurang sihat (demam) ketika menduduki peperiksaan akhir tahun kali ini. Anak kedua saya yang berumur empat tahun belum didedahkan dengan peperiksaan.

Anak sulung saya mula ditempatkan di tadika ini pada bulan Januari 2010 iaitu sejak dia berumur lima tahun. Anak kedua saya pula mula ditempatkan di sini pada bulan Januari 2011 ini. Manakala anak ketiga saya yang lahir pada tahun 2010 ditempatkan di Taska Kasih Kita yang tidak berapa jauh dari Tadika Permata Harapan.

Dengan adanya hari perjumpaan bersama ibu bapa dan guru (Report Day) kali kedua pada pagi ini, ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan. Di samping itu juga, ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai tahap kemajuan pembelajaran dan pencapaian serta perkembangan semasa anak-anak. Selain itu, ibu bapa boleh menyuarakan perkongsian idea, pendapat atau komen mengenai keseluruhan perjalanan tadika.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Selamatkan Aqidah Umat Islam

Shah Alam, 22/10/2011 – Saya masuk ke dalam Stadium Shah Alam seawal jam 12:15 tengah hari tadi kerana mahu menghadiri Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bertemakan ‘Selamatkan Aqidah Umat Islam’. Sempat solat dulu di surau stadium. Kira-kira jam 2:00 petang, program pun bermula. HIMPUN merupakan inisiatif dan anjuran pelbagai pertubuhan serta individu yang mewakili umat Islam telah diadakan petang tadi di sini.

Saya sebagai ahli kelab peminat nasyid bersama Gabungan Penasyid-penasyid Malaysia (MUNSYID MALAYSIA) telah berada di stadium ini tadi. Penglibatan MUNSYID MALAYSIA dalam HIMPUN bukan sekadar penyeri program melalui persembahan selingan yang diadakan semata-mata. MUNSYID MALAYSIA bersama pihak penganjur telah mempromosikan HIMPUN melalui saluran media yang ada bagi kelab-kelab peminat nasyid yang mempunyai ribuan ahli di seluruh negara untuk turut sama menyertai himpunan ini. Saya turut mempromosikan HIMPUN melalui internet.

HIMPUN diadakan untuk menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan orang Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Umat Islam di negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap aqidah. Antara kesnya ialah peristiwa 3 Ogos 2011 yang telah membabitkan penyiasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap keterlibatan pihak gereja iaitu Damansara Utama Methodist Church (DUMC) yang cuba memesongkan aqidah umat Islam.

HIMPUN ingin memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama dan bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik. Juga menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan menyebarkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Terdapat juga perkara lain yang boleh membahayakan aqidah umat Islam iaitu ideologi yang memisahkan agama daripada kehidupan. Islam sama sekali tidak memisahkan agama daripada kehidupan. Idea ini telah dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka menjajah negara-negara umat Islam termasuk Malaysia.

Ketika himpunan petang tadi, MUNSYID MALAYSIA telah menyampaikan lagu tema HIMPUN yang bertajuk ‘Selamatkan Aqidah’.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Khutbah Jumaat 14102011

Cheras, 14/10/2011 – Saya pergi ke Surau al-Amin yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn untuk menunaikan solat Jumaat. Kebiasaannya saya tiba di surau atau masjid pada hari Jumaat sebelum azan Zohor berkumandang. Tamat sesi persekolahan tadi, telah diadakan perjumpaan guru-guru di sekolah dan saya mohon izin untuk keluar awal sebelum tamat perjumpaan.

Oleh kerana saya tidak sempat untuk pulang ke Kajang, saya singgah ke Surau al-Amin sahaja. Saya tiba di surau ketika azan Zohor sedang berkumandang. Waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:02 petang. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh khatib yang bertugas. Khutbah Jumaat kali ini membincangkan tajuk berkenaan aqidah dan dakwah.

Kita hendaklah bersyukur kerana mendapat nikmat Islam dan Iman untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Aqidah merupakan landasan bagi orang Islam untuk mendapat kesejahteraan tersebut.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Allah menyatakan bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah Ali Imran: Ayat 18).

Seseorang wajib mempercayai bahawa Tuhan ialah Allah yang Maha Pencipta dan memberi rezeki. Hanya pada Allah disandarkan niat seseorang manusia. Para Rasul sejak Nabi Adam a.s. telah menerima aqidah tauhid daripada Allah.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah ‘taghut’ (iaitu syaitan dan apa sahaja yang disembah selain daripada Allah). Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesataan baginya. (Surah an-Nahl: Ayat 36).

Aqidah bermakna sesuatu ikatan yang kuat. Inilah jalan yang membebaskan manusia daripada segala penghambaan kecuali kepada Allah.

Kita sebagai seorang muslim yang memiliki aqidah yang benar, marilah bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam dan melebarkan dakwah. Marilah sama-sama kita sentiasa melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar (menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar).

Sabtu, 8 Oktober 2011

Hukum Orang Yang Meninggalkan Solat

Ramai di antara kaum muslimin dan muslimat sekarang ini yang meremehkan masalah solat dan melalaikannya, bahkan ada yang meninggalkannya sama sekali.

Oleh kerana masalah ini termasuk daripada salah satu masalah besar yang melanda ramai orang pada saat ini, maka terdapat perbezaan pendapat antara para alim ulamak dan imam dari dahulu hingga kini.

Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat adalah kafir iaitu suatu kekafiran yang menyebabkan keluar daripada Islam, diancam hukuman mati jika tidak bertaubat dan tidak mengerjakan solat.

Sementara Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafie dan Imam Malik mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat adalah fasik dan tidak kafir. Namun, mereka berbeza pendapat mengenai ancaman hukumannya.

Menurut Imam asy-Syafie dan Imam Malik, dia diancam hukuman mati sebagai hadd. Ia bermaksud hukuman dalam Islam yang ketentuannya telah diatur secara langsung oleh al-Qur’an dan as-Sunnah (Hadis).

Menurut Imam Abu Hanifah pula, dia diancam hukuman takzir dan bukan hukuman mati. Takzir bermaksud hukuman dalam Islam yang ketentuannya tidak diatur secara langsung oleh al-Qur’an dan as-Sunnah tetapi diserahkan kepada pemimpin pemerintahan mengikut kaedah-kaedah tertentu.

Kalau kita kembalikan perbezaan pendapat ini kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, kita akan mendapati bahawa orang yang meninggalkan solat adalah kafir iaitu suatu kekafiran yang menyebabkan keluar daripada Islam.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui. (Surah at-Taubah: Ayat 11).

Rasulullah s.a.w. pula bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya (batas pemisah) antara seseorang dengan kemusyrikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat. (Riwayat Muslim).

Sabtu, 1 Oktober 2011

Pelaburan Emas Berbaloi?

Memang pelaburan emas amat berbaloi kerana sejak kebelakangan ini, harga emas semasa semakin melonjak naik sehingga mendorong orang ramai membuat pelaburan terhadap barangan tersebut.

Ia dibuktikan pada bulan Ogos 2011 apabila harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seauns buat pertama kalinya malah sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus.

Kenaikan harga pasaran emas telah mendorong minat orang ramai melaburkan wang mereka dengan membeli pelbagai jenis emas untuk dijadikan aset atau bentuk pelaburan pada masa depan.

Harga emas yang naik mendadak itu juga telah menarik perhatian masyarakat dunia termasuk Malaysia terhadap kepentingan dan keuntungan melakukan pelaburan emas.

Emas dilihat satu bentuk pelaburan yang meyakinkan terutama dalam tempoh masa panjang kerana harganya tidak pernah jatuh sebaliknya sentiasa meningkat sejak kebelakangan ini.

Peti deposit keselamatan bagi menyimpan barang-barang berharga seperti emas di bank sudah habis dilanggan.

Fenomena ini berlaku ekoran kenaikan harga emas yang mendadak dan menjadikan bank sebagai tempat simpanan yang selamat.

Menurut perangkaan, ratusan pelanggan berada dalam senarai menunggu dan ia bakal mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya.

Pelaburan emas juga mempunyai risiko yang hampir sama dengan bentuk pelaburan lain. Harga emas semasa semakin meningkat kerana ia bergantung pada keadaan persekitaran politik dan ekonomi antarabangsa yang semakin stabil. Jika persekitaran dunia aman, harga emas akan meningkat tetapi jika keadaannya kucar kacir harganya akan jatuh.

Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam pelaburan emas fizikal kerana tidak semua bank dan syarikat pelaburan yang terbabit berlandaskan tuntutan syarak.

Mengikut hukum syarak, perlu wujud fizikal emas pada pihak bank bagi pelaburan emas. Ia haruslah mengikut harga semasa dan pembayaran dibuat secara terus tanpa ada tangguhan.

Pastikan pelaburan emas fizikal berlandaskan hukum syarak. Setakat ini, hanya ar-Rajhi Bank dan Kuwait Finance House menepati kriteria tersebut.

SUMBER: Mingguan Utusan Melayu. 26 September 2011.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.