Khamis, 1 Mac 2018

Kehidupan di Dunia dan Akhirat

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan di antara mereka ada yang berdoa': Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada seksa neraka. (Surah al-Baqarah: Ayat 201).

Doa' ini merangkumi pelbagai jenis kebaikan di dunia dan menjauhkan segala kejahatan. Kebaikan di dunia mencakupi segala permintaan yang melibatkan kesihatan, keluarga, rezeki, ilmu dan lain-lain. Kebaikan di akhirat pula meliputi kemudahan untuk hari perhitungan, balasan syurga dan sebagainya. Juga berdoa' supaya diselamatkan daripada api neraka.

Sesiapa yang dianugerahkan hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang selalu berzikir dan diri yang sabar bererti dia telah diberikan kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat serta dilindungi daripada azab api neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Ketahuilah, bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah, ia adalah hati. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Petikan hadis ke-6 dalam Hadis 40 Imam Nawawi (Hadis Riwayat al-Bukhari nombor 52 dan Muslim nombor 1599).

Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu. Seorang manusia yang telah membuat satu dosa, Allah akan campakkan ke dalam hatinya satu titik yang hitam. Jika dia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu. Andai kata dia kembali melakukan dosa dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan hitam hingga keseluruhan hatinya menjadi gelap. Waktu itu, tidak berguna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.

Kehidupan manusia merupakan perjalanan yang panjang bermula dengan alam arwah, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Allah yang akan menentukan sama ada dia ke syurga atau neraka.

Allah mencipta alam dunia ini dengan berbagai-bagai warna membuktikan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehidupan di dunia hanya sementara untuk menuju hari akhirat. Setiap manusia pasti mati dan meninggalkan dunia ini. Akhirat kekal selamanya.

Jangan leka dengan kemewahan dunia. Kita memang digalakkan mencari kekayaan dunia tetapi mesti mempersiapkan diri bagi menghadapi alam akhirat. Keluarkanlah sebahagian harta untuk berzakat kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Marilah sama-sama kita berdoa' dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bermaksud doa'. Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-nya berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Orang yang beriman mesti mempunyai empat prinsip untuk berjaya dalam kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Empat prinsip tersebut ialah D.U.I.T. (Doa', Usaha, Ikhtiar dan Tawakal). Doa' ialah permintaan kepada Allah yang disertai dengan kerendahan hati untuk mendapatkan sesuatu kebaikan. Usaha ialah daya upaya untuk mencapai sesuatu. Ikhtiar ialah kerja keras dalam memilih kebaikan untuk memperoleh apa yang dikehendakinya. Tawakal ialah berserah diri kepada Allah dalam menunggu hasil perbuatan yang telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.