Program ini dianjurkan oleh Biro Perhubungan dan Ekonomi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) dengan bayaran RM100.00 untuk seorang peserta. Pelajar-pelajar yang berumur di antara 13 hingga 19 tahun dari sekolah-sekolah lain boleh menyertainya. Kem yang sama turut diadakan pada hari yang sama di lokasi-lokasi seperti Surau Darul Ulum di SMAPUTRA, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, Masjid al-Ikhlas di Seksyen 13 Shah Alam dan Masjid Taman Sutera di Kajang.
Perodua Bezza yang saya pandu bergerak sebelum jam 8:00 pagi tadi membawa seorang anak ke Bandar Baru Bangi untuk hari terakhir bagi menghadiri Kem Intensif Hafazan. Masuk ke Lebuhraya Kajang SILK (E18) di Kilometer 20.1 dan membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Bukit Kajang menuju ke Bandar Baru Bangi. Saya terus memandu di E18 dan melalui Plaza Tol Sungai Ramal (B) RM1.66 ke destinasi. Simpang di Kilometer 20.1 tersebut cuma boleh masuk ke E18 sahaja tetapi tidak boleh keluar dari E18 ke kawasan TJ bagi kenderaan yang datang dari arah Putrajaya.
Saya memandu kereta dari pintu pagar depan rumah TJ dan sampai di pintu pagar utama Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi kira-kira 20 minit perjalanan. Saya meletakkan kereta di dalam kawasan masjid. Anak kedua menghadiri kem di masjid ini. Saya kembali memandu kereta dan membuat urusan-urusan lain di lokasi yang lain.
Cuti Akhir Persekolahan, Sesi 2023/2024 masih ada. Minggu pertama cuti ini kami berada di sini. Kami boleh lagi pergi bercuti dan berada di tempat-tempat lain pada minggu kedua, ketiga dan keempat cuti sekolah kali ini.