Anak kedua dan anak ketiga yang berada di asrama sekolah tidak pulang ke rumah minggu ini. Ini kerana ia bukan minggu pulang bermalam. RM1,076.03 ialah jumlah perbelanjaan bercuti untuk kali ini. Ia tidak termasuk membeli hadiah dan sumbangan.
Kami berlima bercuti di Johor Bahru selama 3 hari 2 malam. Menginap di Bilik 1023, Thistle Johor Bahru Hotel, Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, 80100 Johor Bahru, Johor.
Kami menginap di hotel satu bilik dengan dua buah katil kelamin yang bercantum. Dari tingkap bilik yang menghadap laut, nampak negara Singapura. Ia juga menghadap kolam renang kepunyaan hotel dan Padang Sri Gelam (Padang Seri Gelam) yang terletaknya Johor Darul Ta'zim (JDT) Training Centre. Ada stadium khas untuk latihan pasukan bola sepak JDT. Hotel penginapan kami mempunyai sebuah tandas (bilik air), meja, kabinet, almari, dua buah kerusi, peti ais di dalam bilik dan banyak cermin. Ada talian internet (Wi-Fi). Melalui internet (Agoda.com), tempahan bilik (hotel) dan bayaran bilik dibuat dalam talian (RM468.93) untuk penginapan 3 hari 2 malam.
Jumaat, 17 Mei 2024 (hari pertama). Kami bertolak dari rumah SI di Kajang pada jam 1:07 petang. Saya memandu Proton Bezza dan masuk ke Lebuhraya Kajang - Seremban/ LEKAS (E21). Melalui Plaza Tol (PT) Kajang Selatan ke PT Setul (RM5.50) dan PT Ampangan (RM2.30). Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E2). Melalui PT Senawang ke PT Skudai (RM27.31). Semasa dalam perjalanan di E2, jam 2:30 hingga 3:27 petang kami berhenti di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Makan dan minum di kawasan ini (RM70.40). Singgah solat di surau dan masuk ke tandas. Jam 5:30 hingga 5:42 petang kami berhenti di Kawasan Rehat Skudai. Pergi ke tandas. Saya mula menggunakan peta Google pada telefon pintar dan memandu keluar dari PT Skudai menuju ke lokasi. Jam 6:30 petang, kami sampai ke kawasan Thistle Johor Bahru Hotel setelah memandu sejauh 330 kilometer termasuk berhenti di beberapa buah tempat dan menempuh kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru. Kereta diletakkan di parkir tingkat C1 di dalam bangunan kawasan Thistle di sebelah bangunan penginapan. Selepas mandi dan solat, kami makan malam di Glass iaitu restoran yang terletak di lobi hotel (RM98.00). Kami naik ke tingkat 10, masuk ke Bilik 1023. Berehat dan tidur.
Sabtu, 18 Mei 2024 (hari kedua). Bangun pagi, solat Subuh dan kami bersiap diri. Keluar dengan kereta dan bersarapan pagi di Anjung Selera Hutan Bandar (RM33.50). Saya meneruskan pemanduan menghala ke Kampung Mahmoodiah dan kami melalui kawasan dalam Hospital Sultanah Aminah menggunakan kad Touch 'n Go (T'nG) untuk ke masjid. Tiada bayaran parkir dengan kad T'nG ketika keluar kerana kereta cuma melalui kawasan hospital dan akhirnya sampai ke Masjid Sultan Abu Bakar. Kemudian, kami meninjau kawasan Pantai Lido (Danga Bay) dan terus ke Stulang. Parkir kereta di Stulang Laut dan bergambar di tepi pantai. Saya memandu keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM5.00). Isi petrol di Petronas Jalan Storey (RM50.00). Saya memandu menghala ke Kota Iskandar. Parkir kereta di Puteri Harbour Marina di Tanjung Puteri dan melihat pelbagai jenis bot serta kapal layar. Keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM8.00). Memandu kereta menghala ke Masai. Makan tengah hari di Restoran al-Hanin, Taman Rinting yang menyediakan makanan Timur Tengah (RM59.00). Menu utamanya ialah Nasi Arab. Kembali bergerak. Tambah nilai kad T'nG di Petronas Jalan Lingkaran Dalam. Beli juga barang-barang keperluan (RM45.00). Kami kembali ke hotel. Solat dan berehat. Kemudian turun ke tingkat bawah dan mandi di kolam renang. Naik semula ke tingkat atas dan kembali ke bilik. Selepas mandi dan solat, kami keluar semula dengan kereta pergi ke Pasar Karat di Bazar Johor Bahru. Makan malam di Restoran Syed Ali (RM21.00) dan membeli barang-barang di Pasar Karat (RM44.00). Kami pulang ke hotel, masuk ke Bilik 1023. Berehat dan tidur.
Ahad, 19 Mei 2024 (hari ketiga). Bangun pagi, solat Subuh dan bersarapan di Bilik 1023. Kami mendaftar keluar awal sebelum jam 12:00 tengah hari. Saya memandu Perodua Bezza meninggalkan kawasan hotel. Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru, kami singgah ke daerah Kulai. Di Laluan Kedua Malaysia - Singapura/ LINKEDUA (E3) dekat Senai, kami tidak melalui PT. Masuk ke kawasan parkir kereta di Johor Premium Outlets pada jam 12:10 tengah hari. Keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM3.00). Kami singgah makan tengah hari di Kedai Makan No1, Taman Senai Indah (RM32.00). Kembali bergerak. Jam 2:28 petang, masuk ke PLUS E2. Melalui PT Senai Utara ke PT Machap (RM6.31). Singgah solat dan ke tandas di PT Machap. Masuk semula ke E2. Melalui PT Machap ke PT Senawang (RM20.83). Semasa dalam perjalanan di E2, jam 3:30 hingga 3:35 petang, kami berada di Kawasan Rehat Machap. Isi petrol di Petronas Machap Arah Utara (RM32.05). Beberapa minit selepas keluar dari kawasan rehat, berlaku kesesakan lalu lintas selepas Persimpangan Ayer Hitam. Kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan sejauh kira-kira 6 kilometer kerana berlaku kemalangan di Kilometer 86.4 arah utara. Jam 5:44 hingga 6:44 petang, kami berada di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Singgah makan dan minum (RM36.10) serta ke tandas. Masuk ke LEKAS E21. Melalui PT Ampangan (RM2.30) dan PT Setul ke PT Kajang Selatan (RM5.50). Semasa dalam perjalanan di E21, jam 8:02 hingga 8:30 malam, kami berada di Kawasan Rehat Beranang. Singgah ke tandas dan solat di surau. Meneruskan perjalanan dan pada jam 8:51 malam, kami sampai ke rumah SI di Kajang.
Saya menulis artikel ini sedikit demi sedikit menggunakan telefon pintar dan menyimpannya sebagai draf ketika masih dalam perjalanan bercuti. Apabila ia telah lengkap ditulis, saya menerbitkannya pada hari ini (Ahad, 19 Mei 2024).