
Jordan di dalam bahasa Arab disebut al-Urdun yang bermaksud kekuatan dan kejayaan. Dikatakan juga bahawa Urdun merupakan nama salah seorang daripada keturunan Nabi Nuh a.s.
Jordan merupakan sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan sistem monarki iaitu beraja. Ahli dewan undangan negeri dipilih melalui pilihanraya yang diadakan. Walau bagaimana pun, perlantikan Perdana Menteri terletak di tangan Raja dan tidak mempunyai tempoh yang tetap. Parti politik yang memerintah sekarang ialah Hizbu al-Wataniy atau Parti Negara.
Jordan terletak di Barat Daya Asia. Laut Mati terletak di negara ini. Ia merupakan tempat terendah di dunia menjangkau 400 meter bersamaan 1,300 kaki di bawah paras laut. Iklim padang pasir adalah panas kering sewaktu musim panas dan sejuk di musim dingin. Iklim Mediterranean ketara di kawasan berbukit dengan musim panas yang sederhana dan musim dingin yang sejuk.
Jordan mengalami perubahan 4 musim. Musim luruh antara bulan September hingga November. Musim sejuk antara bulan Disember hingga Februari. Musim bunga antara bulan Mac hingga Mei. Musim panas antara bulan Jun hingga Ogos. Walau pun begitu, ia tertakluk kepada perubahan. Ini kerana, ketika saya berada di Jordan pada bulan Mac 1998, salji masih turun. Perbezaan waktu dengan negara kita pada musim panas ialah Malaysia lewat 5 jam. Manakala pada musim sejuk, perbezaan itu menjadikan Malaysia lewat 6 jam.
Jordan mempunyai populasi penduduk seramai 6,198,677 orang (statistik Julai 2008). 92 % penduduk beragama Islam, 6 % Kristian dan 2 % lain-lain agama (statistik 2001). Bahasa Arab ialah bahasa kebangsaan Jordan dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing utama. Selain itu, Bahasa Perancis juga dituturkankan. Amman ialah ibu negara Jordan dan ia menggunakan mata wang Dinar.