Khamis, 18 Mac 2010

Program Adik-adikku TV1 @ Masjid Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur, 18/03/2010 - Saya, isteri dan dua orang anak kami pergi ke Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk menyaksikan pertandingan akhir bagi Program Realiti TV Adik-adikku. Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerbitkan satu rancangan realiti TV kanak-kanak iaitu Program Adik-adikku di TV1. Ia merupakan rancangan realiti TV kanak–kanak dalam skop agama yang setanding dengan rancangan realiti sedia ada. Ia bertujuan membantu melahirkan karisma kepimpinan dan kebolehan kanak–kanak menjadi pemimpin masa hadapan.

Program bermula dengan beberapa sesi ujibakat yang telah diadakan di seluruh Malaysia bagi mencari dua puluh orang peserta yang berbakat dan antara kriteria yang dicari ialah bijak berpidato, bertarannum dan mengaji. Peserta-peserta dikumpulkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selama tiga minggu dan wajib mengikuti pembelajaran dalam kelas serta aktiviti riadah seperti memanah dan berkuda sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

Peserta-peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang dipimpin oleh murabbi masing-masing, terdiri daripada Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Zamri Zainoldin, Ustaz Zawawi Yusof dan Ustazah Asni Mansor. Selain daripada itu, peserta-peserta juga dibawa melawat sambil belajar ke beberapa tempat seperti Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Muzium Kesenian Islam, Planetarium Negara, Aquaria KLCC, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Memorial Tun Abdul Razak, Petrosains KLCC dan Denai Alam.

Pertandingan ini diadakan secara berperingkat iaitu pusingan pertama, suku akhir, separuh akhir pertama, separuh akhir kedua serta pertandingan akhir dan persembahan mereka dinilai oleh juri-juri profesional. Peserta yang memberikan persembahan kurang memuaskan akan dilepaskan daripada menyertai pertandingan berikutnya.

Ra'is (Pengetua) Program Realiti TV Adik-adikku ialah Saudara Farihin Abdul Fatah. Tujuh orang peserta pertandingan akhir (finalis) ialah Amin Alhadi Ab Hadi, Muhammad Annaim Yasim, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, Muhammad Wajih Zakwan Hanif, Nur Syafiqah Mohd Paris, Nor Syamira Liana Nor Ashaha dan Nurul Syazwina Mohd Sukri.

Keputusan pertandingan akhir ialah seperti berikut. Muhammad Wajih Zakwan Hanif (Tempat Pertama), Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (Tempat Kedua), Muhammad Annaim Yasim (Tempat Ketiga), Nur Syafiqah Mohd Paris (Tempat Keempat), Amin Alhadi Ab Hadi (Tempat Kelima), Nurul Syazwina Mohd Sukri (Tempat Keenam) dan Nor Syamira Liana Nor Ashaha (Tempat Ketujuh).

JAKIM dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merupakan penganjur Program Realiti TV Adik-adikku. Siaran langsung pertandingan akhir ini disiarkan oleh RTM di TV1 mulai jam 9:00 malam dan berakhir pada jam 11:00 malam. Ia juga disiarkan oleh radio IKIM.FM.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Mantan Perdana Menteri) bersama Tun Jeanne binti Abdullah, Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bersama Datin Seri Fatmawati binti Saidin, Dato' Dr Mashitah binti Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Kamaruddin bin Siaraf (Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) serta Dato' Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM).

Lagu Tema Program Adik-adikku:

Adik-adik anak soleh,
Adik-adik serba boleh,
Adik-adik akhlak yang mulia,
Senyum ceria semua orang suka.

Berkasih sayang sesama kita,
Taat Allah dan Rasul,
Kasihkan ibu bapa.

Beramal soleh di mana saja,
Berjuang dan berkorban,
Untuk agama...
Adik-adikku, Insya Allah Boleh!!

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.