Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan ke restoran yang bersesuaian. Tiba di restoran tadi, kami memesan menu Nasi Arab Kambing dan minuman.
Saya sering kali melalui Jalan Reko dan nampak Restoran Nasi Arab dari jauh sahaja. Cuma pada hari ini saya dan keluarga berkesempatan untuk singgah makan di restoran tersebut. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Arab di sekitar Lembah Klang, Cyberjaya dan Negeri Sembilan.
Ketika kami sedang menjamu selera di restoran tersebut, seorang kenalan saya baru tiba dan memesan makanan serta minuman. Dia ialah kenalan saya ketika kami sama-sama belajar di Jordan. Dia memberitahu saya yang dia sudah biasa makan di Restoran Nasi Arab ini.
Beberapa orang yang berbangsa Arab juga singgah makan dan minum di restoran ini. Ada di antara mereka menegur dua orang anak kami dan memberikan 2 kotak minuman sebagai hadiah. Terima kasih diucapkan. Anak kami yang berumur 5 tahun (perempuan), biasa bergaul dengan orang lain tetapi anak kami yang berumur 3 tahun (lelaki), sedikit pemalu.
Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran Nasi Arab di Kajang, alamatnya ialah:
No C16, Jalan Hentian 2,
Pusat Hentian Kajang,
Jalan Reko,
43000 Kajang,
Selangor.
Kami sekeluarga beredar dari Restoran Nasi Arab dan singgah pula ke Pasaraya Econsave baharu yang terletak di Reko Sentral. Ini pertama kali kami singgah ke sini untuk membeli barang-barang keperluan. Selepas itu, kami bertolak pulang.
Saya memandu kereta untuk pulang ke rumah bersama isteri dan dua orang anak kami melalui Jalan Reko serta Pekan Kajang. Ketika tiba berhampiran Masjid Jamek Pekan Kajang, azan Asar sedang berkumandang. Kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Cheras dan Saujana Impian. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah petang ini ketika hujan lebat.