Arahan cuti kepada semua sekolah di daerah Hulu Langat pada hari Isnin (24/06/2013) telah dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor melalui Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Arahan tersebut telah dikeluarkan pada hari Ahad (23/06/2013) kerana keadaan jerebu semakin buruk pada jam 5:00 petang hari tersebut. Sekolah-sekolah diarah tutup sebagai tindakan perlu sejak kualiti udara yang merosot boleh memudaratkan kesihatan murid dan pelajar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU). Pencemaran udara dinilai berdasarkan IPU. Semakin besar nilai IPU menunjukkan semakin tinggi tahap pencemaran udara.
IPU juga digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan. Di sini disertakan kategori IPU dan tahap pencemarannya. Nilai 0 hingga 50 adalah baik, nilai 51 hingga 100 adalah sederhana, nilai 101 hingga 200 adalah tidak sihat, nilai 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan nilai 301 hingga 400 adalah berbahaya.
Guru-guru, ibu bapa, murid-murid dan pelajar-pelajar dinasihatkan menghubungi Guru Besar/ Pengetua sekolah masing-masing untuk maklumat lanjut berkenaan penutupan sekolah akibat jerebu. Pihak sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan menerusi media dan laman sesawang JAS mengenai bacaan IPU sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk menghentikan aktiviti luar darjah seperti terkandung dalam pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia.