Sabtu, 25 April 2015

Umur Saya 40 Tahun Pada 25-04-2015

Saya telah dilahirkan pada hari Jumaat, 25 April 1975 yang lalu iaitu pada jam 9:15 malam di sebuah kampung yang terletak dalam daerah Kuala Lipis, Pahang. Hari ini ialah hari Sabtu, 25 April 2015 bermakna umur saya genap 40 tahun. al-Hamdulillah, saya masih dipanjangkan umur setakat ini dalam keadaan sihat dengan izin Allah dan sekarang berada di Kajang, Selangor.

Apabila sudah menjangkau umur 40 tahun, kita mesti sedar bahawa di dalam al-Qur’an ada menyentuh berkenaan usia ini pada sebahagian ayat 15, Surah al-Ahqaf. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai. Berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada zuriatku (keturunanku). Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang-orang Muslim”. (Surah al-Ahqaf: Ayat 15).

Menurut Tafsir Ibnu Katsir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubatnya dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Umur  40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi dan spiritualnya.
 

Doa’ yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Doa’ yang menggambarkan jiwa yang bersyukur dalam menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal, mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.
 

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpul pengalaman, menajamkan hikmah serta kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairanlah tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang disebut oleh Ibnu Abbas r.a.: “Diturunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. pada usianya 40 tahun, lalu baginda tinggal di Mekah 13 tahun dan di Madinah 10 tahun. Baginda wafat pada usianya 63 tahun”. Abu Isa berkata: Hadis ini Hasan Sahih. (Riwayat at-Tirmizi). Ibnu Abbas r.a. dalam suatu riwayat lain juga berkata: “Sesiapa mencapai usia 40 tahun, amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka”.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam