Isnin, 9 April 2018

Bengkel Microsoft di KLCC 2018

Kuala Lumpur, 09/04/2018 - Saya telah sampai ke Menara 3 Petronas beberapa minit sebelum jam 8:15 pagi. Menara ini terletak bersebelahan dengan Menara Berkembar Petronas (Menara 2 dan Menara 1) di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Saya dan rakan-rakan guru menghadiri Bengkel Microsoft di Tingkat 26, Menara 3 Petronas, KLCC.

Kami menghadiri bengkel yang diadakan dari pagi hingga ke petang anjuran Pusat Kegiatan Guru (PKG) Cheras melibatkan guru-guru sekolah rendah dan menengah dari zon Cheras yang menguruskan komputer sekolah. PKG Cheras terletak dalam daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Puan Fairuz Nadira binti Zainal (Microsoft Learning Consultant) ialah penceramah yang mengendalikan bengkel sepanjang hari ini.

Dari Kajang ke Kuala Lumpur, saya menaiki tren MRT (Mass Rapid Transit) atau Transit Aliran Massa dari Stesen Sungai Jernih ke Stesen Pasar Seni. Turun dari MRT dan naik pula tren LRT (Light Rapid Transit) atau Transit Aliran Ringan ke Stesen KLCC. Kadar tambangnya ialah RM5.60 (Kad Touch 'n Go).

Di Menara 3 Petronas, KLCC, saya masuk ke dalam lif dan naik ke tingkat SL (Sky Lobby). Daftar masuk menggunakan kad pengenalan dan saya menerima pas (kad yang memberi kebenaran kepada saya untuk masuk ke pejabat Microsoft Malaysia) di Tingkat 26. Sarapan pagi disediakan untuk peserta-peserta bengkel. Kami bersarapan terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik seminar bagi slot pertama. Bengkel Microsoft Dalam Bilik Darjah Abad Ke-21 PKG Cheras hari ini diadakan di Bilik Seminar (Kuala Lumpur 26.027) Microsoft Malaysia Sdn Bhd. Kami menghidupkan komputer riba yang dibawa sendiri serta didedahkan dengan code.org/minecraft, education.microsoft.com, office.com dalam talian seperti aplikasi Word, Excel (bersama tinyurl.com), PowerPoint, Sway (bersama giphy.com), Outlook dan lain-lain.

Waktu rehat pula ialah mulai jam 12:00 tengah hari hingga 2:00 petang. Saya dan beberapa orang rakan makan tengah hari di sebuah restoran iaitu Pelita Nasi Kandar, Jalan Ampang. Menu saya ialah nasi kandar berlauk kari kambing, sayur (RM11.30) dan ais kosong (RM0.30). Selepas makan, kami bersiar-siar di Suria KLCC dan kembali ke Menara 3 Petronas. Solat Zohor berjemaah di surau dalam bangunan Microsoft Malaysia Sdn Bhd dan masuk semula ke bilik seminar.

Slot kedua, kami berbengkel dalam kumpulan menggunakan aplikasi Sway dalam talian, membuat pembentangan dan penerangan mengikut giliran. Kami juga didedahkan dengan todaysmeet.com/bengkel9april, menjawab soalan-soalan dalam education.microsoft.com (Courses) dan mendengar penjelasan berkenaan Skype.

Bengkel tamat pada jam 4:00 petang. Kami bertolak pulang ke destinasi masing-masing. Saya menaiki tren LRT dari Stesen KLCC ke Stesen Pasar Seni. Turun dari LRT dan naik pula tren MRT ke Stesen Sungai Jernih. Kadar tambangnya ialah RM5.60 (Kad Touch 'n Go). Sampai ke bangunan tempat letak kenderaan di Stesen Sungai Jernih, saya mendapatkan semula kereta yang diletakkan sejak pagi tadi. Saya memandu keluar dengan menggunakan Kad Touch 'n Go (RM4.30) dan pulang ke rumah.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam

Pengikut Saya