Kajang, 25/01/2026 (Ahad) - Saya sedang berada di rumah TJ. Pagi tadi, saya dan isteri telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ), Bandar Baru Bangi (BBB). Tidak boleh makan dan minum sebelum pergi ke hospital. Saya memandu Perodua Bezza bertolak dari rumah pada jam 7:45 pagi.
HIAZ di BBB menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi untuk bakal jemaah Haji yang diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji (TH). Pengurusan kesihatan bakal Haji kini lebih mudah dan teratur.
Pemeriksaan ini penting bagi memastikan bakal Haji berada dalam keadaan sihat dan memenuhi syarat kesihatan yang ditetapkan oleh pihak TH. Aplikasi MySejahtera di dalam telefon pintar digunakan untuk mengakses rekod kesihatan digital.
Antara pemeriksaan kesihatan yang dibuat terhadap saya dan isteri ialah diambil bacaan tekanan darah (137/79) serta kadar nadi (77). Juga ditimbang berat badan dan diukur ketinggian. Pemeriksaan mata dan ujian Electrocardiogram untuk jantung. Berjumpa Dr Mohd Hakim bin Ismail, Pegawai Perubatan HIAZ. Pemeriksaan pelbagai termasuk gigi dan kaki. Kemudian pergi ke tempat pengambilan darah.
Sementara menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan berdasarkan pengambilan darah, saya dan isteri berjalan kaki ke seberang jalan. Kami bersarapan pagi di Laman Kafe al-Hasanah di Masjid al-Hasanah BBB.
Kembali berjalan kaki ke HIAZ dan berjumpa Dr Mohd Hakim bin Ismail. Keputusan Ujian Makmal. Antaranya ialah bacaan gula dalam darah ketika berpuasa (normal). Bacaan kolestrol dalam darah ketika berpuasa (3.90 unit: mmol/L), julat (<5.20). Ujian fungsi buah pinggang. Urea (5.0 unit: mmol/L), julat (2.5 - 6.4).
Saya dan isteri juga mengambil suntikan vaksin Meniggococcal Polysaccharide.
