Di restoran tadi, saya memesan Tom Yam Bangkok Bersusu dan Ayam Kung Poh yang dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah. Empat hari lepas, kami sekeluarga makan tengah hari di sini dengan memesan menu Nasi Putih, Sup Sayuran Asin Dengan Tauhu, Daging Sizzling, Filet Ikan Dengan Mayonis serta minuman Longan, Oren dan Tembikai Susu. Terdapat pelbagai pilihan juadah yang sungguh menyelerakan di sini.
Hari ini merupakan kali kedua saya singgah ke “Red Wok Restaurant”. Saya dapat mengetahui kewujudan restoran ini melalui isteri saya yang pihak sekolah tempat dia mengajar pernah mengadakan jamuan makan guru-guru dan murid-murid di sini. Saya juga mendapat maklumat berkenaannya daripada majalah Harmoni (ruangan Santai), edisi 15 – 31 Januari 2011 (Bil. 151).
Restoran ini menyediakan hidangan “ala carte”, “steamboat” dan “sizzling”. Pengunjung yang datang ke sini dapat menikmati makanan yang enak dan tempat yang selesa kerana ruang makannya berkonsep terbuka. Banyak kemudahan disediakan di sini seperti surau yang dilengkapi penghawa dingin, tandas dan tempat letak kereta yang luas.
Restoran ini mula beroperasi sejak bulan Februari 2010. Ia dibuka setiap hari iaitu pada hari Isnin hingga Khamis dari jam 12:00 tengah hari hingga 3:00 petang dan dibuka semula pada jam 6:00 petang hingga 12:00 tengah malam. Manakala pada hari Jumaat dari jam 6:00 petang hingga 12:00 tengah malam. Hari Sabtu dan Ahad pula bermula jam 12:00 tengah hari hingga 12:00 tengah malam.
Sesiapa yang ingin singgah ke “Red Wok Restaurant” di Bandar Baru Bangi, alamatnya ialah:
Lot PT 70550,
Jalan Kajang Impian 1/2,
Taman Kajang Impian,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor.
Saya memandu kereta dan beredar meninggalkan “Red Wok Restaurant” serta singgah ke beberapa buah tempat sebelum bertolak pulang ke rumah.