Dua kalimah syahadah mengandungi dua perkara pokok, iaitu aqidah dan syariat. Atas dasar itulah syahadah pertama dinamakan syahadah aqidah atau syahadah tauhid (Aku bersaksi tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Sedangkan syahadah kedua dinamakan syahadah syariat atau syahadah amalan (Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah).Maksudnya, syahadah pertama mengandungi pengakuan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak disembah. Semua rasul membawa aqidah yang sama. Sedangkan syahadah kedua pula mengandungi pengakuan bahawa hanya Nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang mempunyai autoriti menentukan cara kita beramal atau beribadat kepada Allah S.W.T. Demikian juga umat terdahulu, mereka mestilah mengikut cara yang telah digariskan oleh rasul mereka masing-masing sebab hanya para rasul yang mendapat bimbingan langsung bagaimana cara beribadat kepada Allah yang Maha Ghaib.