
Bapa Nabi Muhammad bernama Abdullah bin Abdul Mutalib dan ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kedua-dua mereka berbangsa Arab Quraisy, salah satu bangsa yang mulia ketika itu. Tidak lama selepas Abdullah berkahwin dengan Aminah, beliau telah keluar bersama satu kafilah perdagangan ke Syria. Malangnya di dalam perjalanan pulang ke Mekah, beliau jatuh sakit dan meninggal dunia di Madinah. Ketika itu Aminah sedang mengandungkan Nabi Muhammad. Oleh itu, Nabi Muhammad dilahirkan sebagai seorang anak yatim. Abdul Mutalib, datuk Nabi Muhammad sangat gembira dengan kelahiran baginda setelah beliau bersedih dengan kematian anak kesayangannya Abdullah. Abdul Mutalib membawa bayi yang baru dilahirkan itu ke Kaabah. Beliau berdiri di hadapan Kaabah sambil bersyukur kepada Allah dan menamakan bayi itu Muhammad.