
Di dalam khutbah yang pertama, beliau memaklumkan bahawa waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:00 petang. Datanglah awal ke masjid supaya sempat mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat. Beliau juga menyentuh berkenaan orang lelaki sebagai ketua keluarga. Jadilah seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab kerana pada hari akhirat nanti, kita akan dipersoalkan jika tidak melakukan amanah ini.
Ustaz Wan Akashah mengulas tentang tajuk kematian. Di dunia kita ada banyak pilihan untuk melakukan sesuatu perkara. Di akhirat, kita cuma diberi dua pilihan iaitu syurga atau neraka. Tidak ada orang yang duduk di tengah-tengah antara syurga dan neraka. Terdapat tiga golongan manusia. 1-Orang yang lupa mati. 2-Orang yang takut mati. 3-Orang yang ingat mati.
Orang yang lupa mati ialah orang yang benci kepada kematian. Orang yang takut mati ialah orang yang berfikiran negatif terhadap kematian. Orang yang ingat mati ialah orang-orang yang membuat persediaan berikut. A-Berbuat baik. B-Sabar menghadapi ujian. C-Segera bertaubat.
Di dalam khutbah yang kedua pula, beliau mengingatkan kepada para jemaah berkenaan bagaimana hendak menyuburkan kasih sayang antara manusia. Saidina Umar r.a. menyebut, amalkan tiga perkara. 1-Apabila bertemu, beri salam terlebih dahulu. Jangan tunggu rakan kita dahulu memberi salam. 2-Beri kelapangan kepada rakan yang datang seperti mencari tempat duduk untuknya jika dia hadir ke sesuatu majlis. Jika dia datang dari jauh, sediakan tempat letak kenderaaan untuknya. 3-Apabila menyebut namanya, sebut nama yang paling disukainya seperti Pak Aji, Ustaz, Cikgu, Dr., Dato’, Tan Sri dan sebagainya. Jangan panggil dengan gelaran yang tidak elok seperti Si Botak, Si Buncit dan sebagainya.
Itu ialah antara isi-isi penting yang sempat saya catat semasa mendengar khutbah Jumaat tadi. Diharap dengan catatan ringkas ini, dapat sama-sama kita bermuhasabah atau pun menghitung diri untuk menuju ke alam yang kekal abadi iaitu akhirat.