Tadi, saya dan keluarga bertolak dari kampung di Melaka ke Lembah Klang. Pada hari ini iaitu A'idil Adha yang ketiga, kami pulang ke sini. Hari raya yang pertama (10 Zulhijjah), kami berada di kampung keluarga isteri saya di Melaka. Giliran tahun ini ialah di Melaka terlebih dahulu kerana tahun lepas giliran di Pahang.
Hari raya yang kedua, saya dan keluarga serta saudara mara dari Melaka sempat pergi ke Johor. Kami menghadiri majlis perkahwinan saudara di sebelah keluarga emak mentua saya di sana. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Johor Bahru.
Hari ini pula, iaitu hari raya yang ketiga, saya dan keluarga sempat singgah di Seremban, Negeri Sembilan ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Selangor. Kakak ipar iaitu kakak kepada isteri saya meminta kami mengambil daging korban dari rumahnya untuk diagihkan kepada saudara-mara yang berada di Lembah Klang. Oleh kerana Hari Raya Korban kali ini juga terdapat rakan yang membuat kenduri sempena anak lelakinya berkhatan, saya dan keluarga pulang hari ini untuk memenuhi jemputan tersebut.
Di dalam bulan Zulhijjah kali ini, kami sekeluarga bercadang untuk menziarahi saudara mara di sebelah keluarga arwah abah saya di utara tanah air. Perancangan selepas itu, kembali ke Lembah Klang untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan sejawat. Oleh kerana cuti akhir tahun persekolahan masih panjang, kami akan pulang ke kampung di Pahang pula selepas ini.