
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Bayt al-Maqdis dibebaskan daripada kerajaan Rom dan Masjid al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar atau Takwim Islam yang rasmi.
Di dalam takwim hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan kelihatan ketika matahari terbenam. Jika anak bulan tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang, maka hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan mengakuinya di hadapan pemimpin.
Kedatangan tahun 1431 Hijrah hari ini, iaitu tahun baru dalam kalendar Islam, marilah sama-sama kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap takwim hijrah.
Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu terus berada dalam kepayahan.
Sempena kehadiran bulan Muharram, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w., bermula dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.
Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.
Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.
Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Mekah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.