Kuala Lipis ialah sebuah bandar kecil di negeri Pahang. Ia terletak di daerah Lipis. Ia dahulunya pusat perlombongan emas sebelum British tiba pada 1887. Pada 1898, ia menjadi ibu negeri Pahang sehingga 1953. Bandar ini membesar dan maju selepas pembinaan landasan kereta api pada 1924. Walau bagaimana pun, pada 1953, ibu negeri telah berpindah ke Kuantan dan Kuala Lipis tidak lagi pesat membangun. Ia sekarang menjadi peringatan zaman silam. Walau pun begitu, beberapa institusi pendidikan baru seperti Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Maktab Rendah Sains Mara telah dibina. Sebuah bandar baru di seberang Sungai Jelai juga sudah dibina dan mula beroperasi.
Bandar Kuala Lipis memang kaya dengan tinggalan bangunan bersejarah era penjajah British abad ke-19 selain keindahan alam semula jadinya yang dikelilingi hutan rimba dan sungai yang masih belum tercemar. Status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah masih terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan yang dijalankan Majlis Daerah Lipis (MDL).
Menyingkap sejarah lampau, ketika bandar ini menjadi ibu negeri Pahang, ia dijadikan pusat pemerintahannya ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.
Antara bangunan yang masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920).
Tinggalan lain yang masih kukuh ialah kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda 1900 yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara.
Bangunan-bangunan zaman British ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan British sebelum dan selepas merdeka.
Selain melihat bangunan bersejarah, pelancong juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai tempat habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semulajadinya.