Teknologi komputer kini semakin canggih. Ia boleh dihubungkan dengan rangkaian komunikasi secara global. Jaringan internet dan intranet yang menggunakan sistem telefon merupakan rangkaian yang paling popular setakat ini. Istilah internet diambil daripada perkataan “international network” dan istilah intranet pula diambil daripada perkataan “internal transfer network”.
Internet ialah rangkaian yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Setiap komputer yang bersambung ke internet adalah bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja di seluruh dunia. Ia digunakan oleh seseorang untuk berkomunikasi, mencari maklumat, urusan perbankan dan sebagainya. Pelbagai bahan boleh ditemui. Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Di dalam internet, terdapat Web Seluruh Dunia atau dikenali sebagai www (world wide web). Web ialah koleksi besar maklumat yang disimpan di dalam komputer di seluruh dunia. Laman Web ialah dokumen tentang web. Ia boleh disertai dengan teks, gambar, bunyi dan video.
Umum mengetahui bahawa internet memiliki begitu banyak manfaat. Cuma terletak kepada kita untuk menggunakannya bagi tujuan yang baik atau sebaliknya. Masyarakat dunia telah menjadikan internet sebagai satu keperluan hidup. Paling tidak setiap orang perlu memiliki e-mel dan blog mereka sendiri. Ia secara tidak langsung menjadikan internet sebagai satu rangkaian dan jaringan bagi setiap golongan masyarakat.
Perhubungan menjadi semakin pantas. Rangkaian menjadi semakin luas meliputi seluruh dunia. Rakan berada di mana-mana sahaja. Pelbagai aktiviti positif boleh dijalankan melalui internet seperti berkongsi maklumat, pandangan, pengalaman dan sebagainya. Yang paling menarik apabila seseorang itu bijak menggunakan internet untuk berniaga. Ia adalah platform terbaik untuk berniaga. Tidak perlu melibatkan modal yang besar untuk membuka kedai dan melakukan promosi.
Intranet pula ialah rangkaian yang menghubungkan komputer di dalam sesuatu organisasi dan boleh dicapai oleh ahli-ahli organisasi tersebut, pekerja-pekerja atau pihak-pihak yang dibenarkan sahaja. Ia digunakan oleh syarikat-syarikat yang besar untuk untuk berhubung dan berkongsi maklumat di antara satu sama lain. Kebiasaannya, maklumat-maklumat tersebut khusus dan sulit. Oleh itu, capaian kepada maklumat dan data hanya terbatas kepada kakitangan organisasi sahaja.
Segala urusan pejabat yang dilaksanakan menggunakan kertas masa kini boleh ditukar secara elektronik dengan wujudnya intranet. Permohonan cuti tahunan, cuti sakit, penempahan kenderaan pejabat, penempatan bilik mesyuarat, dokumen penting berkenaan pekerja dan seumpamanya boleh dilakukan secara elektronik. Pastinya kos dapat dijimatkan melalui kurangnya penggunaan kertas.