Pada malam itu juga, saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sebelum ini kami kenal melalui internet sahaja di ruang sembang Nasyid FM. Antara rakan-rakan yang sempat saya temui ialah yang menggunakan nama samaran seperti Peluru dan Kak Ina. Beberapa hari sebelum konsert amal ini berlangsung, saya telah menempah tiket dengan seorang DJ Nasyid FM. Kawan-kawan lama yang pernah saya kenal sebelum ini pun, ada yang sempat ditemui seperti Yus (Kiblah) dan Hafiz (as-Saufee).
Konsert amal yang bertemakan 'Berhibur Sambil Menderma' ini bertujuan memberi hiburan alternatif kepada masyarakat dan seterusnya memartabatkan lagi industri seni hiburan Islam. Dalam masa yang sama mengumpul dana untuk pembinaan Kompleks Pengajian Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Pengelolanya ialah Nazrey Johani sendiri.
Ranau merupakan sebuah kawasan yang dikelilingi pergunungan dan bukit-bukau. Ramai penduduknya tinggal di kawasan-kawasan pendalaman dan kaki-kaki gunung. Rata-rata masyarakatnya masih ramai yang ketinggalan dalam arus pendidikan agama tetapi semangat mereka untuk belajar dan mendalami ilmu agama sangat tinggi.