Waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:28 petang. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh khatib yang bertugas. Khutbah Jumaat kali ini ialah berkenaan dengan kepentingan ilmu pengetahuan. Ia menjadi sesuatu yang mustahak kepada negara. Jika tidak berilmu, kita akan dipandang hina. Di dalam al-Qur’an, terdapat ayat yang menyebut bahawa Allah S.W.T. akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu. Mereka adalah mulia di sisi Allah.
Ilmu yang dimaksudkan bukanlah setakat ilmu akademik tetapi lebih daripada itu. Mesti ada penghayatan ilmu. Penghayatan terhadap ilmu pengetahuan amat penting untuk melahirkan ketaqwaan kepada Allah. Ilmu mestilah disebarkan kepada orang lain supaya ia memberi manfaat kepada orang lain. Pihak masjid dan surau juga banyak mengadakan majlis-majlis ilmu. Dengan menyampaikan ilmu dan peringatan, manusia akan berada di landasan yang betul. Ilmu itu lebih baik daripada harta. Dengan memiliki ilmu, kita dapat berfikir sebelum melakukan sesuatu.
Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja. Sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang akan mendoa’kan untuknya. Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan dapat menambah ketaqwaan mereka kepada Allah. Selama mana ilmu itu dipelajari dan dikembangkan dari masa ke semasa, selama itulah orang yang mengajar sebelum itu mendapat pahala yang berterusan.
Ilmu membuka jalan untuk ke syurga. Ia merupakan cahaya dan petunjuk kepada manusia untuk mengenal Allah. Ilmu-ilmu yang dituntut hendaklah berkenaan dengan tauhid (mengesakan Allah). Peranan guru-guru di sekolah amat penting supaya anak-anak kita mengutamakan ilmu agama terlebih dahulu berbanding ilmu yang lain. Sekiranya ilmu fardhu a’in sudah mantap, murid-murid dan pelajar-pelajar tersebut akan lebih mudah pula mendalami ilmu fardhu kifayah untuk membantu orang lain.
Itu ialah antara isi-isi penting yang sempat saya catat semasa mendengar khutbah Jumaat tadi. Diharap dengan catatan ringkas ini, dapat sama-sama kita bermuhasabah atau pun menghitung diri untuk sama-sama menimba ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan di dunia dan akhirat.