
Di antara keistimewaan perkataan ‘Allah’ ini ialah bahawa Ia adalah nama yang tidak boleh dinamakan untuk selain daripada yang Maha Pencipta, sama ada secara hakiki (makna yang sebenarnya) atau pun secara majazi (kiasan).
Perkataan Ilah (Rabb) dalam bahasa Arab mempunyai panggilan tersendiri. Di antara contohnya: Tuhan dalam bahasa Melayu, God dalam bahasa Inggeris, Diyu dalam bahasa Perancis, Tanri dalam bahasa Turki dan Khuday dalam bahasa Parsi.
Kalimah Tauhid ialah “LA ILAHA ILLALLAH” (Tiada Tuhan Selain Allah). Kalimah Tauhid dinamakan juga ‘Kalimah Ikhlas’. Hubungan tauhid dengan ikhlas sangat erat. Sebagaimana tauhid lawannya syirik. Demikian juga ikhlas lawannya syirik.
Hakikat ini tergambar dengan begitu jelas dalam kandungan surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah ialah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak serta tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.