Apabila kami tiba di kawasan lapang tersebut, jentera Bomba dan Penyelamat telah berada di situ. Sebenarnya, ini ialah Program Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran peringkat SKTP. Semua murid, guru dan kakitangan SKTP telah berada di tempat berkumpul dalam keadaan yang selamat. Taklimat latihan kebakaran telah disampaikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Juga ditunjukkan cara menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran kecil. Ketika diadakan pameran jentera Bomba dan Penyelamat, saya sempat menaiki jentera tersebut mengelilingi kawasan sekolah. Begitu juga dengan murid-murid dan guru-guru yang lain.
Selepas waktu rehat, guru-guru serta murid-murid mendengar ceramah khas daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat di dewan sekolah. Ia diteruskan dengan Majlis Pelancaran Sekolah Selamat oleh Guru Besar SKTP, Puan Adonie binti Adnan dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang. Majlis tamat kira-kira jam 12:00 tengah hari. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran disambung semula setelah murid-murid kembali ke kelas.
Tema program kali ini ialah 'Sekolah Selamat, Warga Sejahtera'. Program ini telah dirancang sebelum cuti Tahun Baru Cina lagi. Murid-murid tidak diberitahu berkenaan program yang telah dirancang oleh pihak sekolah ini supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan jika kebakaran yang sebenarnya terjadi. Ini merupakan program yang pertama kali diadakan dengan kehadiran pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Tahun-tahun sebelum ini pernah diadakan latihan kebakaran sebegini tetapi ia tidak melibatkan pihak lain.