Guru-guru hadir ke SKTP awal-awal pagi lagi. Diikuti dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga. Mereka mendaftarkan diri. Pengacara majlis memulakan majlis dengan ucapannya. Saya dipersilakan naik ke atas pentas untuk membacakan doa’. Sebelum berdoa’, saya mulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah terlebih dahulu.
Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua (YDP) PIBG sesi 2009/2010, ucapan Penasihat PIBG (Guru Besar SKTP) dan ucapan perasmian oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat. Kemudian, murid-murid SKTP membuat dua buah persembahan.
Majlis berhenti rehat. Tetamu khas, para ibu bapa, penjaga, guru-guru dan tetamu yang hadir menikmati jamuan di kantin sekolah. Selepas itu, para hadirin masuk semula ke dewan. Majlis diserahkan kepada YDP PIBG sesi 2009/2010 untuk memulakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-7.
Selepas ucapan YDP, pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat agung tahun lepas, laporan tahunan aktiviti PIBG serta pembentangan dan pengesahan penyata kewangan, ahli-ahli jawatankuasa PIBG 2009/2010 dibubarkan dengan rasminya. Ahli-ahli jawatankuasa PIBG sesi 2010/2011 pula dilantik. Mesyuarat berlanjutan sehingga waktu tengah hari sebelum ia ditangguhkan.