Sabtu, 24 Oktober 2015

Komen Ibu Bapa, Jerebu dan Cuti Sekolah 2015

Luahan hati para guru terhadap komen ibu bapa mengenai tindakan menangani jerebu di sekolah. Situasi memalukan apabila terdapat ibu bapa yang mengadu di media kerana rasa terbeban disebabkan sekolah ditutup akibat jerebu. Mereka menganggap anak-anak mereka beban sebab terpaksa menjaga anak sendiri di waktu kerja kerana cikgu-cikgu anak mereka tidak dapat tolong menjaganya serta seronok bercuti pada 19, 20, 21 dan 22 Oktober 2015 baru-baru ini.

Kami rasa malu sebab institusi kekeluargaan sebahagian rakyat Malaysia sangat rapuh. Ibu bapa gila kerja dan gila duit. Mereka menganggap kerja mereka lebih penting daripada anak sendiri. Mereka tidak sedar bahawa memelihara anak-anak adalah kerja yang paling penting bagi seorang ibu dan bapa. Jangan sampai tinggalkan anak dan mengabaikan mereka untuk cari duit.

Kami rasa malu sebab sesetengah ibu bapa zaman sekarang boleh dikatakan cetek pengetahuan ilmu agama. Meletakkan guru yang mendidik anak-anak mereka setaraf pengasuh. Menghina kerjaya guru dan para guru. Ada di antara ibu bapa yang datang ke sekolah dengan ayat bongkak: Cikgu, saya ini jurutera, isteri saya ini akauntan, tahu. Kami ini golongan profesional.

Apa tujuan ayat itu? Dia tidak tahu di dalam bilik guru ada ramai guru yang bertaraf Master (Sarjana) dan PhD (Doktor Falsafah). Tidak pula dicanangkan taraf pendidikan kami kepada masyarakat apatah lagi di laman soasial Facebook. Kebanyakan daripada kami memiliki Ijazah Sarjana Muda lulusan pelbagai universiti sama ada dari dalam atau luar negara. al-Hamdulillah, ramai guru mempunyai satu kriteria yang sama iaitu tidak bongkak dan sebab itulah kami terpilih menjadi guru.

Kami rasa malu bagi pihak ibu bapa yang berkerjaya hebat dan berpendidikan tinggi sebab mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah untuk dididik oleh para guru yang mereka anggap tidak setaraf dengan mereka. Jika mereka profesional, kenapa ada di kalangan anak mereka yang berumur 7 tahun masih belum kenal yang mana satu tangan kanan dan tangan kiri? Sepanjang dia hidup 6 tahun di rumah bersama ibu bapanya apa yang telah berjaya diajar kepada anak itu di rumah? Selaku manusia profesional?

Selaku guru-guru, kami cadangkan marilah kita sama-sama mendalami ilmu agama dan ilmu keibubapaan. Kenali anak-anak kita, kenali apa taraf guru mereka di hati anak-anak dan di sisi agama.

Pengasuh anak-anak kami juga pernah bercuti dan ada di antara guru-guru yang pernah membawa bayi mereka masuk ke kelas. Mengajar murid-murid sambil mendukung anak selama berjam-jam. Demi Allah, sesi pengajaran memang sangat terganggu tetapi hendak buat macam mana? Anak sendiri, sendirilah yang kena jaga kerana pengasuh bercuti. Malahan ada banyak cara untuk menyelesaikan masalah siapa yang boleh tolong menjaga anak. Fikirlah sendiri. Golongan profesional katakan. Tidak perlu mengadu di media rasanya. Memalukan.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam