Ahad, 22 November 2015

Akhlak Cemerlang, Akademik Seimbang

Tahniah dan syabas untuk anak-anak yang telah berjaya mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Jangan risau jika tidak cemerlang kerana itu hanya ukuran akademik sahaja.

Para ibu bapa jangan terlalu menekan anak-anak untuk mendapat keputusan akademik yang cemerlang sahaja. Beri penekanan kepada akhlaknya dan nanti akademiknya akan mengikut. Insya-Allah.

Hentikanlah budaya datuk dan nenek yang asyik bertanyakan anak masing-masing apakah keputusan peperiksaan cucu-cucu mereka setiap kali pulang ke kampung lalu membuat perbandingan antara cucu ini dengan cucu yang lain.

Cukuplah mengajar generasi hidup sentiasa dalam perlumbaan ini. Pernahkah kita menyelidiki matlamat diadakan peperiksaan? Untuk kenal kemampuan anak kita atau untuk membangga diri apabila anak kita mendapat nombor satu?

Kita yang nengetahui kemampuan anak-anak sendiri lebih daripada itu. Mengapa perlu pecah kepala untuk masuk ke perlumbaan mengejar terbanyak A atau kedudukan pertama? Kita bimbang apabila tadika juga sudah mula mengadakan peperiksaan sekarang ini. Apabila bertanyakan pengusaha tadika, mereka menjawab "Tadika kami memang asalnya tiada peperiksaan tetapi ibu bapa yang minta peperiksaan diadakan untuk menilai keberkesanan tadika dalam mendidik anak-anak mereka".

Di sesetengah negara lain, guru mereka sendiri memberi laporan dan berbincang dengan ibu bapa berkenaan prestasi anak. Tiada peperiksaan di peringkat sekolah kecuali untuk kemasukan ke universiti sahaja.

Apabila tiada peperiksaan, maka tiadalah perlumbaan. Pernahkah kita melihat pertandingan lumba lari? Orang yang telah berada di hadapan tidak akan memperlahankan lariannya untuk membantu peserta lain. Mereka pasti mahu menghabiskan perlumbaan untuk hadiah tempat pertama. Hanya ada satu hadiah untuk tempat pertama.

Ada yang berpendapat jika tiada perlumbaan, semua murid dan pelajar akan memastikan rakan-rakan yang terlambat juga dibantu bersama dengan semangat berpasukan yang kuat. Dengan cara ini, anak-anak yang pulang ke rumah tidak akan tertekan untuk persaingan tersebut. Perbincangan antara rakan-rakan dalam pelajaran akan membantu mereka untuk pemahaman yang lebih baik. Bukan semua perkara perlu dihafal kecuali perkara-perkara tertentu seperti ayat-ayat al-Qur’an dan sebagainya.

Kalau anak-anak kita pulang dengan keputusan peperiksaan yang tidak cemerlang, peluklah mereka dengan erat dan beritahu mereka bahawa ini hanya peperiksaan. Kita tahu kemampuan mereka. Masih ada ruang dan peluang. Ini boleh membuatkan mereka terus bersemangat untuk menuntut ilmu.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam