Isnin, 25 April 2016

Ucapan Hari Ulang Tahun Kelahiran Ke-41 di IKIMfm

Cheras, 25/04/2016 - Umur saya pada hari ini ialah 41 tahun kerana saya telah dilahirkan pada hari Jumaat, 25 April 1975 yang lalu iaitu pada jam 9:15 malam. Ketika memandu kereta dari rumah di Kajang ke sekolah tempat saya mengajar di Cheras, saya memang sentiasa mendengar radio IKIMfm di saluran 91.5 (Lembah Klang).

Saya sempat menjawab soalan Uji Minda Warna Pagi dan menulis ucapan di media sosial Facebook Ikim.Fm semasa berhenti sekejap di sebuah stesen Petronas di Lebuhraya Cheras-Kajang (E7) dari Kajang menghala ke Cheras. Terima kasih kepada DJ Mohammad Suffian Amrin dan DJ Luqman Hakim Malik kerana telah membacakan jawapan Uji Minda daripada saya. Mereka juga mengucapkan selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke-41 kepada saya di corong radio IKIMfm kira-kira jam 7:20 pagi.

Di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Cheras, Hulu Langat, Selangor pada pagi tadi telah dikunjungi oleh pihak majalah Kuntum. Guru-guru dan murid-murid sempat bergambar dengan maskot majalah Kuntum iaitu Si Pintar.

Pagi tadi juga merupakan hari pelancaran Minggu Pusat Sumber bagi peringkat sekolah ini di samping menyertai program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit (Let's Read Together For 10 Minutes) bagi peringkat kebangsaan.

Semua individu, pejabat dan komuniti, adalah dipohon untuk berhenti sebentar daripada melakukan apa jua pekerjaan atau aktiviti untuk membaca apa jua bahan bacaan selama 10 minit. 

Sabtu, 23 April 2016

Restoran Temerloh Catering, Bangi

Bandar Baru Bangi, 23/04/2016 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah pergi ke Restoran Temerloh Catering yang terletak di Seksyen 8. Kami bergerak dari rumah selepas solat Zohor tadi dan terus pergi ke sini. Jarak perjalanan dari rumah kami di Kajang ke restoran ini ialah kira-kira 15 kilometer sahaja.

Saya memandu Proton Exora merentasi jalan-jalan di taman perumahan dan membelok ke Pesiaran Impian Perdana. Saya meneruskan pemanduan di Persiaran Saujana Impian dan terus bersambung dengan Lebuhraya Cheras-Kajang (E7). Kemudian, saya memandu kenderaan di Lebuhraya Kajang SILK (E18) dan melalui Plaza Tol Sungai Balak (RM1.80). Keluar dari E18, saya memandu di Persiaran Jaya dan selepas itu membelok ke Persiaran Bangi. Masuk ke Jalan 8/36. Akhirnya, kami sekeluarga sampai ke Restoran Temerloh Catering, Bangi.

Ini merupakan kali pertama kami makan dan minum di sini. Sebelum ini kami cuma melihat dari jauh sahaja ketika pergi ke Bandar Baru Bangi. Restoran Temerloh Catering di Bangi dibuka dari jam 10:30 pagi hingga 7:00 malam.

Kami mengambil 3 pinggan nasi putih dan 2 pinggan kosong cukup untuk lima beranak. Juga 2 mangkuk Gulai Tempoyak Ikan Patin (2 ketul bahagian kepala), 1 mangkuk kecil sup ayam (1 ketul ayam), 1 gelas Bandung Soda, 1 gelas Jagung Istimewa, 1 gelas Kedondong Asam Boi, 1 gelas Nescafe Tarik dan 1 gelas air kosong. Saya telah membayar sebanyak RM47.80 untuk harga makanan dan minuman serta 6% GST (Good & Services Tax) sebanyak RM2.85 menjadikan ia sebanyak RM50.65 bagi jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.

Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran Temerloh Catering di Bangi, alamatnya ialah:
No 4 & 6, Jalan 8/36,
Seksyen 8,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor.

Sabtu, 9 April 2016

Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak, Sri Rampai

Kuala Lumpur, 09/04/2016 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah pergi ke Restoran Go'bang Maju yang terletak di Taman Sri Rampai. Kami bergerak dari rumah petang tadi dan terus pergi ke sini. Jarak perjalanan dari rumah kami di Kajang ke restoran ini ialah 30.5 kilometer sahaja.

Saya memandu Proton Exora merentasi jalan-jalan di taman perumahan dan membelok ke Persiaran Impian Perdana. Saya meneruskan pemanduan di Persiaran Saujana Impian dan terus bersambung dengan Lebuhraya Cheras-Kajang (E7) melalui Plaza Tol Batu 11 (RM1.30). Kemudian, saya memandu kenderaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 atau Middle Ring Road 2 (MRR2) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang atau Duta-Ulu Kelang Exspressway (E33). Keluar dari E33, saya memandu di Jalan Setiawangsa dan selepas itu membelok ke Jalan 34/26. Masuk ke Jalan Rejang 1. Selepas itu, saya membelok ke kanan dan masuk ke Jalan Seri Rejang 1. Akhirnya, kami sekeluarga pun sampai ke Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak, Sri Rampai.

Ini merupakan kali pertama kami makan dan minum di sini. Sebelum ini kami pernah makan Patin Tempoyak Sungai Pahang di beberapa buah gerai dan restoran. Restoran di Kuala Lumpur ini merupakan restoran kedua selepas Go'bang Maju Temerloh yang kami telah pergi pada bulan lepas. Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak di Taman Sri Rampai dibuka dari jam 11:30 pagi hingga 10:00 malam.

Restoran berkonsepkan layan diri. Kami mengambil 2 set nasi putih ulam dan 1 set nasi putih kosong cukup untuk lima beranak serta 2 pinggan kosong. Juga 2 mangkuk Gulai Tempoyak Ikan Patin (2 ketul bahagian kepala), 2 pinggan telur dadar, 2 bungkus tapai pulut, 3 gelas Bandung Istimewa dan 1 tin air cincau. Saya telah membayar sebanyak RM55.00 untuk harga makanan dan minuman selepas makan malam kali ini. Kami solat Maghrib di surau dalam restoran ini.

Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak di Sri Rampai, alamatnya ialah:
19, Jalan Seri Rejang 1,
Taman Sri Rampai,
55100 Kuala Lumpur.

Jumaat, 1 April 2016

Surah asy-Syams

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi matahari dan cahayanya di pagi hari (1). Dan bulan apabila mengiringinya (2). Dan siang apabila menampakkannya (3). Dan malam apabila menutupinya (gelap) (4). Dan langit serta pembinaannya (5). Dan bumi serta penghamparannya (6). Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya) (7). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya (8). Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu (9). Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya (10). (Kaum) Thamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas (11). Ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka (12). Lalu Rasulullah (Nabi Saleh a.s.) berkata kepada mereka: "(Biarkanlah unta betina Allah dan minumannya)" (13). Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah) (14). Dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu (15).

Surah asy-Syams terdiri daripada 15 ayat dan termasuk golongan surah-surah  Makiyyah. Ia merupakan surah yang ke-91 di dalam al-Qur'an. Dinamakan asy-Syams (matahari) kerana diambil daripada perkataan asy-Syams yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang hari, bila menampakkan dirinya. Demi malam apabila ia menutupi. Demi langit berserta seluruh binaannya. Demi bumi serta yang ada di hamparannya. Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya.

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan. Beruntung bagi yang mensucikannya. Merugi bagi yang mengotorinya. 

Surah asy-Syams berisi dorongan kepada manusia untuk membersihkan jiwanya agar mendapat keberuntungan di dunia dan di akhirat. Surah ini juga menyatakan bahawa Allah akan menimpakan azab kepada orang-orang yang mengotori jiwanya seperti yang telah berlaku kepada Kaum Thamud. Mereka telah dihancurkan kerana kederhakaannya dan Tuhan menegaskan bahawa hal ini adalah mudah bagi-Nya, sebagaimana mudahnya mencipta benda-benda alam, siang serta malam. Juga mencipta jiwa yang tersebut dalam sumpah-Nya. Allah memberitahu kepada manusia jalan ketakwaan dan jalan kekafiran. Manusia mempunyai kebebasan memilih antara kedua-dua jalan tersebut. Syurga atau neraka.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.