Sabtu, 1 Oktober 2016

Kursus Umrah Awal Oktober 2016

Bandar Baru Bangi, 01/10/2016 - Saya, isteri, tiga orang anak kami dan emak saya telah sampai beberapa minit sebelum jam 9:00 pagi tadi ke bangunan yang terletaknya Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd cawangan Bangi. Ia terletak di alamat No 31-1, Jalan Medan PB 3, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Kami telah menghadiri kursus umrah di sini. Ceramah disampaikan oleh Ustaz M Rafiq as-Simunjany yang berasal dari Sarawak. Kursus diadakan dari pagi hingga ke tengah hari. Saya juga sempat berurusan di kaunter ketika menghadiri kursus. Buku panduan umrah dan ziarah ke Madinah serta Mekah disediakan oleh pihak penganjur. Jamuan turut disediakan untuk para peserta kursus umrah.

Rukun umrah ialah niat, tawaf, sai, tahalul dan tertib. Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Sebelum seseorang itu tiba di Kaabah untuk melakukan umrah, wajiblah dia berniat ihram umrah sebagai satu rukun. Niat di miqat (penentuan tempat untuk berniat ihram umrah) setelah memakai pakaian umrah. Tawaf bererti mengelilingi Kaabah tujuh kali dengan syarat-syaratnya. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah. Tawaf hendaklah dilakukan di luar Kaabah tetapi di dalam Masjid al-Haram.Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas masjid tetapi mesti dipastikan bahu kiri sentiasa mengiringi Kaabah. Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Kaabah termasuk kaki Kaabah semasa tawaf. Tidak boleh menggunakan laluan di bawah Pancur Emas antara Hijir Ismail dengan Kaabah kerana ia juga dikira sebahagian daripada Kaabah. Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis. Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hajar al-Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama. Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin. Mesti mengirikan Kaabah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Kaabah. Mesti suci daripada hadas kecil dan hadas besar. Badan dan pakaian mesti suci daripada najis. Mesti menutup aurat. Sai ialah berjalan di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah tujuh kali mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang tidak kuasa berjalan bolehlah menggunakan kerusi roda atau usungan. Walaupun begitu, sahnya sai bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab tawaf tidak sah, maka sai yang dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah. Sai hendaklah dilakukan selepas tawaf. Perjalanan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dan sebaliknya tidak terputus bermaksud seseorang itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu yang lain. Bertahalul maknanya melepaskan diri daripada larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah, seseorang itu boleh bertahalul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan sai. Orang yang mengerjakan umrah hendaklah melaksanakan segala rukun umrah satu persatu mengikut aturannya. Tertib dalam rukun umrah bermaksud niat hendaklah didahulukan daripada tawaf, selepas tawaf pula dilakukan sai dan bertahalul (bergunting). Sesudah bergunting, jemaah umrah sudah bebas daripada sebarang larangan ihram atau dipanggil tahalul.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam