Rabu, 9 Ogos 2017

Taklimat Ketua Pengawas UPSR 2017

Kuala Lipis, 09/08/2017 - Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Kem Bina Negara (KBN) Lipis yang terletak di Kilometer 6.5 Jalan Kuala Lipis - Padang Tengku. Saya dan rakan-rakan sedang berada di dalam bas yang bergerak dari Pahang ke Selangor ketika ini. Bas dua tingkat yang saya naiki telah meninggalkan KBN pada jam 2:10 petang. Saya dan guru-guru lain yang dilantik menjadi Ketua Pengawas telah berada di KBN selama 3 hari 2 malam untuk taklimat pengawasan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 daerah Hulu Langat. Rakan-rakan guru yang dilantik sebagai Penyelia Kawasan turut berada di sini. Ketua-ketua Pengawas UPSR 2017 datang dari Kajang ke Kuala Lipis dengan menaiki tiga buah bas. 

Semasa bertolak dari Kajang, saya sudah sampai ke Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat (PPDHL) beberapa minit sebelum jam 8:00 pagi dan meletakkan kereta di tempat letak kenderaan. Tiga buah bas siap sedia menunggu kami di perkarangan Tesco Extra Kajang yang terletak berhampiran dengan PPDHL. Saya menaiki bas dua tingkat dan duduk di tingkat atas. Dua buah bas lagi ialah bas setingkat.

Jam 9:40 pagi, tiga buah bas bergerak bersama-sama meninggalkan PPDHL. Bas dua tingkat yang kami naiki meronda sekitar Lembah Klang terlebih dulu. Kami bergerak melalui Plaza Tol Batu 11 (Lebuhraya Cheras-Kajang) E7, Lebuhraya Sungai Besi (E9), Plaza Tol Awan Besar Barat (Lebuhraya Shah Alam) E5, Plaza Tol Petaling Jaya (Lebuhraya Damansara-Puchong) E11, Lebuhraya Sprint (E23), Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Jalan Duta (Lebuhraya Utara Selatan) E1, Plaza Tol Sentul Pasar (Lebuhraya Duta-Ulu Klang) E33 serta Plaza Tol Gombak (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak) E8. Kami berhenti makan tengah hari di Kawasan Rehat Genting Sempah dan masuk ke simpang Bentong selepas melalui Plaza Tol Bentong (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak) E8. Perjalanan diteruskan melalui Raub dan Kuala Lipis. Jam 2:40 petang, kami sampai ke dalam kawasan KBN di Kem B.

Saya ditempatkan di Asrama blok Kumbang bersama Ketua-ketua Pengawas UPSR 2017 yang lelaki. Ia merupakan sebuah blok asrama yang mempunyai bangunan dua tingkat dengan katil dua tingkat dan almari. Surau terletak di blok Kunang-kunang. Sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan minum malam disediakan di dewan makan. Peralatan makan dan minum, kami basuh sendiri selepas digunakan. Taklimat Ketua Pengawas UPSR 2017 diadakan pada 7, 8 dan 9 Ogos 2017 di Dewan Putra 1Malaysia. Ramai pegawai daripada peringkat negeri dan daerah turut hadir. Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Selangor memberikan ucapannya pada malam pertama dan Pegawai Pendidikan Daerah PPDHL menyampaikan ucapannya pada malam kedua.

Saya pernah menjadi Timbalan Ketua Pengawas bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), pengawas peperiksaan UPSR 2009 di sebuah Sekolah Kebangsaan (SK), Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2010 di sebuah SK, Timbalan Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2012 di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2013 di sebuah SK, Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2015 di sebuah SK dan Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2016 di sebuah SK. Tahun ini, sekali lagi saya dilantik sebagai Ketua Pengawas peperiksaan UPSR 2017. Ada sedikit perbezaan ketika mengawas peperiksaan SPM di SMK dan peperiksaan UPSR di SK serta SJK.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam