Ahad, 17 Disember 2017

Percutian ke Perlis dan Pulau Pinang 2017

Saya, isteri, tiga orang anak kami, sebahagian adik-beradik dan saudara-mara di sebelah isteri saya bercuti ke utara Malaysia selama 3 hari 2 malam. Malam pertama kami menginap di Homestay (Guest House) De Lente, Nombor 6, Jalan Putra 7, Taman Putra Utama, 01000 Kangar, Perlis. Ia merupakan sebuah rumah berkembar/ Semi D (Semi-Detached) dua tingkat yang mempunyai empat buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur, empat buah tandas (bilik air), dua buah stor dan sebuah ruang keluarga serta balkoni. Malam kedua pula kami menginap di The Blanket Homestay (Guesthouse), Nombor 29, Lorong Sembilang 34, Seberang Jaya, 13700 Perai, Pulau Pinang. Ia merupakan sebuah rumah teres dua tingkat yang mempunyai enam buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur, lima buah tandas (bilik air), sebuah stor dan sebuah ruang keluarga serta balkoni.     

Jumaat, 15 Disember 2017 (hari pertama). Saya, isteri dan tiga orang anak kami bertolak dari rumah di Kajang (Selangor) pergi ke Senawang (Negeri Sembilan). Kami seramai 27 orang dan seorang pemandu bas (Encik Amran) menaiki sebuah bas (NDB 8181) di Wanija Industries (M) Sdn Bhd. Jam 10:15 pagi bas bergerak meninggalkan lokasi. Dalam perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E1), kami berhenti sekejap di Hentian Sebelah Tanjung Malim (Perak) dan berhenti lama di Kawasan Rehat Tapah (Perak). Menunaikan solat serta makan dan minum. Meneruskan perjalanan, berhenti sebentar di Kawasan Rehat Gunung Semanggol (Perak), stesen Petronas Changlun (Kedah) dan sampai ke homestay di Kangar (Perlis) pada waktu Maghrib. Kami mendaftar masuk, solat, berehat dan makan malam. Keluar semula dengan bas dan pergi ke Kuala Perlis. Melawat Masjid al-Hussain iaitu sebuah masjid terapung berhampiran Jeti Kuala Perlis, menemani anak-anak bermain di taman permainan dan singgah ke Lynda Ikan Bakar (restoran makanan laut).

Sabtu, 16 Disember 2017 (hari kedua). Jam 12:00 tengah malam, kami kembali mendapatkan bas dan menaikinya serta bertolak pulang ke homestay untuk bermalam. Bangun, solat dan berkemas diri. Kami bersarapan, berehat dan mendaftar keluar pada waktu pagi kerana hendak pergi ke Padang Besar (sempadan dua negara). Naik bas pergi ke sana dan membeli-belah di Arked Niaga. Padang Besar merupakan sebuah pekan di negeri Perlis, Malaysia yang bersempadan dengan wilayah Songkhla, Thailand. Dari Padang Besar kami kembali ke Kangar menghadiri kenduri perkahwinan dua orang anak saudara kepada isteri saya yang lelaki (majlis meyambut dua orang menantu perempuan). Kenduri diadakan di Larian Denai, Pengkalan Asam berhampiran Jambatan Gantung Sungai Perlis. Dari Perlis kami menaiki bas menuju ke Pulau Pinang dengan tambahan dua orang penumpang. Mereka ialah emak mentua saya dan cucunya. Bilangan kami menjadi seramai 29 orang penumpang dan seorang pemandu bas. Singgah sebentar di Hentian Sebelah Plaza Tol Jitra (Kedah). Meneruskan perjalanan dan berhenti pula di kedai Jeruk Madu Pak Ali (Pengilang Jeruk Buah-buahan Pulau Pinang) cawangan Wakaf Seetee Aisah, Seberang Jaya. Naik bas semula dan tidak lama kemudian, kami pun sampai ke homestay di Seberang Jaya (Pulau Pinang) pada waktu Maghrib. Kami mendaftar masuk, solat dan berehat. Keluar semula dengan bas dan pergi makan malam di Paparoger Cafe & Delivery, Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya. Kembali mendapatkan bas dan menaikinya serta bertolak pulang ke homestay untuk bermalam.

Ahad, 17 Disember 2017 (hari ketiga). Kami bersarapan di homestay, berehat dan mendaftar keluar pada waktu pagi kerana hendak melawat Pulau Pinang pula. Naik bas, memulakan perjalanan dan melalui Jambatan Pulau Pinang (E36). Bas bergerak di Batu Feringgi tetapi kami tidak turun dari bas. Ia berhenti sekejap untuk melihat pantai dari dalam bas. Dalam perjalanan seterusnya, kami turun dari bas dan pergi ke Masjid Terapung Tanjung Bunga, makan tengah hari di Restoran Kapitan (Jalan Lim Chin Guan), solat di Masjid Negeri dan naik ke Penang Hill tetapi perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dihentikan buat sementara waktu. Kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku pada awal November 2017 telah menghalang laluan kereta api tersebut. Kami pulang dari Pulau Pinang melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (E28). Bas masuk ke Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E1) dan kami masih berada di dalam bas ketika ini sedang bergerak menuju pulang ke destinasi.

Percutian kali ini ialah sempena Cuti Akhir Tahun Persekolahan bagi tahun 2017.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam

Pengikut Saya