Jumaat, 1 Mei 2020

Guru Sekolah Bekerja Dari Rumah Semasa PKP

Kajang, 01/05/2020 - Selamat Hari Pekerja 1 Mei diucapkan kepada semua guru yang masih meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di rumah menggunakan internet. Jom baca rencana dan komentar yang bertajuk 'Usah pandang serong tanggungjawab guru'. Ia telah diterbitkan oleh Berita Harian ONLINE pada 25 April 2020 hari Sabtu, jam 11:01 pagi. Penulis ialah Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tugas dan tanggungjawab seorang guru mendidik anak bangsa bermula daripada sekolah tadika sehingga ke peringkat universiti, memang tidak dapat dipertikai lagi.

Guru seringkali diibaratkan sebatang lilin yang sanggup membakar diri, demi memastikan diri orang lain mendapat sinar cahaya yang mampu menyinari kehidupan mereka pada masa hadapan.

Justeru, jasa dan peranan guru mendidik masyarakat terutamanya di negara ini wajar disanjung dan dihormati sepanjang masa. Tanpa bantuan dan tunjuk ajar guru, masyarakat mungkin terpaksa melalui zaman kegelapan pada masa hadapan.

Jasa dan tanggungjawab guru mendidik masyarakat sehingga mencapai kejayaan dan kesenangan hidup, sering kali dilupa masyarakat.

Senario ini semakin jelas apabila ramai dalam kalangan masyarakat sanggup melemparkan kata-kata kesat kepada golongan guru terutama ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Tohmahan seperti 'guru makan gaji buta' dan 'lebih baik gaji guru diberikan kepada ibu bapa' antara rungutan dilemparkan masyarakat.

Kenyataan sedemikian rancak dibincangkan dalam media sosial seperti blog, WhatsApp dan Twitter, lebih-lebih lagi apabila kerajaan 'merehatkan' semua aktiviti persekolahan sehingga akhir tahun.

Ramai dalam kalangan masyarakat meluahkan rasa tidak puas hati kepada guru apabila aktiviti persekolahan diberhentikan.

Sebab utama, timbulnya anggapan apabila tiada aktiviti pengajaran dijalankan di sekolah, kehidupan seorang guru seperti makan tidur semata-mata dan makan gaji buta sepanjang tempoh itu.

Andaian dan tuduhan masyarakat terhadap guru ketika pelaksanaan PKP ini amat tersasar daripada realiti sebenar.

Walaupun tiada aktiviti pengajaran atau aktiviti lain dilaksanakan di sekolah, tidak bermakna guru tidak mempunyai tugas dan tanggungjawab perlu dilakukan.

Tugas dan tanggungjawab guru sebenarnya tidak banyak beza sama ada negara melaksanakan PKP atau sebaliknya.

Realitinya, setiap guru mempunyai pelbagai perkara perlu disediakan dan disiapkan setiap hari.

Kepada masyarakat yang mempunyai ahli keluarga yang bertugas sebagai guru pastinya amat bersetuju dan menyokong kenyataan ini.

Kerjaya seorang guru sangat mulia dan wajar disanjung setiap lapisan masyarakat walaupun mungkin ada beberapa perkara dilakukan guru memberi gambaran dan persepsi kurang baik kepada masyarakat.

Guru adalah ibu bapa kedua kepada anak. Ada dalam kalangan anak menghabiskan masa lebih lama bersama guru berbanding ibu bapa sendiri.

Oleh itu, amat tidak wajar apabila guru diberikan sedikit ruang untuk mematuhi arahan semasa PKP ini dilaksanakan, mereka dihina dan dilemparkan dengan pelbagai kata-kata tidak sedap didengar.

Saya tidak pasti jika ada dalam kalangan anak yang berasa marah jika melihat ibu bapa mereka meluangkan sedikit masa untuk berehat selepas hampir setiap hari bekerja keras untuk menyara dan membesarkan mereka.

Situasi sama wajar diaplikasikan kepada guru yang memang tugas dan tanggungjawab mereka mengajar dan mendidik anak sehingga berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Masyarakat yang melemparkan kata-kata negatif ketika PKP seharusnya sedar kejayaan dan kedudukan mereka sekarang ini mungkin tidak mampu dicapai tanpa bantuan dan tunjuk ajar guru.

Oleh itu, masyarakat seharusnya mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru semua dan mendoakan supaya mereka terus sihat dan mampu mendidik anak bangsa sehingga mencapai kecemerlangan hidup.

Sekiranya ketika PKP ini membolehkan barisan guru di negara ini dapat merehatkan diri mereka, apakah itu menjadi suatu kesalahan kepada mereka selepas saban hari dan tahun sebelum ini, mereka tidak mampu berbuat sedemikian.

Kepada guru teruskan perjuangan anda mendidik anak bangsa dan jangan jadikan rungutan daripada sekumpulan daripada masyarakat mematahkan semangat keguruan anda untuk terus berkhidmat.

Tanpa guru, masyarakat akan menempuh zaman kegelapan. Terima kasih, terima kasih, terima kasih guru. Anda adalah penerang dunia kegelapan kami.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.