Kami telah bercuti di Utara Malaysia iaitu Perlis (Kuala Perlis) dan Kedah (Pulau Langkawi). Berada di Langkawi selama 3 hari 2 malam. Menginap di Homestay Siti, No 47-2, Kampung Padang Lunas, 07000 Langkawi, Kedah.
Kami menginap di sebuah homestay (inapan keluarga) seperti rumah teres yang di sebelahnya terdapat dobi layan diri (Faiz Laundry). Sempat dua kali menggunakan perkhidmatan dobi layan diri tersebut (RM20.00). Sebuah rumah tiga bilik tidur dengan tiga katil kelamin. Mempunyai dua buah tandas (bilik air) yang salah sebuahnya terletak di bilik tidur utama. Juga ada sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur dengan meja makan dan tempat letak kenderaan berbumbung tanpa pagar di dalam kawasan rumah. Tempahan bilik (homestay) dan bayaran dibuat dalam talian (RM500.00). Kenalan semasa percutian pergi mengerjakan umrah 2016.
Perkhidmatan Feri Ro-Ro Langkawi pergi dan balik (Kuala Perlis - Langkawi - Kuala Perlis) untuk penumpang serta membawa kenderaan juga kami telah uruskan dan bayaran dibuat dalam talian (RM562.10)..
Sabtu, 11 November 2023 (hari pertama). Kami bertolak dari rumah SI di Kajang pada jam 12:03 tengah malam. Saya memandu Perodua Bezza melalui jalan-jalan raya, Lebuhraya Cheras - Kajang (E7) dan melalui Plaza Tol Batu 11 (percuma). Kemudian saya meneruskan pemanduan di E7, Jalan Cheras, Jalan Loke Yew, Jalan Maharajalela, Jalan Kinabalu, Jalan Parlimen, Jalan Tuanku Abdul Halim, terus ke Plaza Tol Jalan Duta dan masuk ke Lebuhraya Utara - Selatan/ PLUS E1. Saya singgah ke tandas di Hentian Sebelah Tg Malim (1:40 pagi) dan tandas di Kawasan Rehat Sg. Perak (4:48 pagi). Kenderaan yang banyak di atas lebuh raya kadang-kadang bergerak laju dan kadang-kadang bergerak perlahan. Hentian sebelah dan kawasan rehat juga dipenuhi dengan kenderaan. Oleh kerana terlepas pengisian petrol di Petronas Sg. Perak Arah Utara dan masih ditutup Petronas di pekan Bagan Serai pada waktu Subuh, saya membuat pusingan U yang jauh ke Petronas R&R Gunung Semanggol di kawasan rehat untuk pengisian petrol (RM50.00) dan solat Subuh. Sekali lagi membuat pusingan U yang jauh dan berhenti sarapan pagi (RM21.00) di Hentian Sebelah Alor Pongsu. Teruskan perjalanan dan melalui Plaza Tol Juru (percuma). Dari Plaza Tol Sungai Dua ke Plaza Tol Hutan Kampung (percuma). Plaza Tol Jitra (percuma). Keluar dari PLUS E1 di Changlun dan masuk ke Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis tanpa plaza tol. Sempadan dua buah negeri. Di Kuala Perlis, sementara menunggu Feri Ro-Ro pelepasan jam 3:00 petang, kami solat di Masjid al-Hussain dan makan tengah hari (RM52.00) di sebuah restoran berhampiran terminal feri. Kami menaiki feri bersama kereta yang perjalanannya lebih dua jam dari jeti di Terminal Feri Kuala Perlis ke jeti di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. Keluar dari feri dan saya memandu kereta secara santai. Jam 6:40 petang, kami sampai ke Homestay Siti dan mendaftar masuk. Makan malam di sini dan berehat sahaja pada malam ini kerana saya perlu tidur setelah menempuh perjalanan yang amat panjang sejak jam 12:03 tengah malam tadi.
Ahad, 12 November 2023 (hari kedua). Bangun pagi dan solat Subuh. Sebahagian kami bersarapan pagi (RM24.00) di Medan Selera Sungai Kuah di Kuah dan selebihnya dibawa pulang ke homestay. Bersiap diri dan kami mula menjelajah Pulau Langkawi dari pagi hingga ke malam. Saya memandu Perodua Bezza. Kami pergi ke Taman Hidupan Liar Langkawi (RM249.00) di Jalan Ayer Hangat. Saya diberi peluang memberi makan kepada buaya. Kami berehat sambil minum (RM60.00) dan membeli 3 keping gambar kenangan (RM25.00). Kemudian ke Kilim Geoforest Park (RM350.00) di Kampung Kilim. Bungkus makanan dan minuman (RM30.00).Naik bot berenjin Amir (Bot Ali 2) untuk pakej dua jam. Pergi ke Gua Kelawar (RM11.00), Gua Buaya, Restoran Terapung (RM23.00), Tempat Memberi Makan Burung Helang (Eagle Feeding Point) iaitu Helang Sewah serta Helang Laut dan akhir sekali ke Laut Andaman. Naik semula ke daratan. Singgah solat di surau Kilim Geoforest Park. Selepas itu, kami pergi makan dan minum (RM73.50) di tepi laut Pantai Cenang yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Laksa Viral Ikan Sekoq Ori ialah kedai makan yang menyediakan juadah kami. Destinasi seterusnya ialah Dataran Lang berhampiran dengan pelantar Jeti Kuah ketika matahari sedang terbenam (Maghrib). Bergerak ke Kompleks Perniagaan Haji Ismail Group (HIG) di Kuah. Solat di surau HIG Bazaar dan membeli-belah di kedai barangan bebas cukai perniagaan HIG (Main Outlet). Pelbagai barangan dibeli (RM505.00, RM32.00 dan RM39.00). Pergi ke Petronas Kuah dan mengisi petrol (RM50.00). Kami pulang ke homestay. Berehat dan tidur.
Isnin, 13 November 2023 (hari ketiga). Bangun pagi dan solat Subuh. Saya ke Medan Selera Sungai Kuah di Kuah, membungkus makanan (RM16.00), dibawa pulang dan bersarapan pagi di homestay. Bersiap diri dan kami mendaftar keluar. Saya memandu Perodua Bezza pada jam 10:17 pagi meninggalkan kawasan homestay. Jarak perjalanan 16 kilometer sahaja dari Homestay Siti ke Kompleks Dermaga Tanjung Lembung. Kami tiba ke kawasan jeti Feri Ro-Ro ini pada jam 10:45 pagi kerana saya memandu secara santai sambil melihat pemandangan sekeliling. Kami bersama kereta masuk ke dalam feri. Jam 11:30 pagi, Feri Ro-Ro bergerak meninggalkan jeti dan jam 1:40 petang, feri sampai ke jeti di Terminal Feri Kuala Perlis. Singgah solat di Masjid al-Hussain. Jam 2:38 petang, tambah nilai kad Touch 'n Go (T'nG) di Petronas Kuala Perlis. Di dalam kereta, tambah nilai aplikasi Setel (Petronas) melalui telefon pintar saya. Makan dan minum dalam kereta juga. Kami meruskan perjalanan di Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis tanpa plaza tol. Masuk ke PLUS E1 di Changlun melalui kesesakan lalu lintas dan melalui Plaza Tol Jitra (RM1.31). Masih ada kesesakan lalu lintas. Dari Plaza Tol Hutan Kampung ke Plaza Tol Sungai Dua (RM10.66). Saya dan seorang anak singgah ke tandas di Kawasan Rehat Gurun (5:03 petang) dan isteri ke tandas di Kawasan Rehat Sg. Juru (6:30 petang). Dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Jalan Duta (keluar pada keesokan harinya dan bayaran dinyatakan kemudian). Singgah ke Kawasan Rehat Sg. Perak kerana mengisi petrol (RM43.02) di Petronas Sg. Perak Arah Selatan (8:36 malam). Kami berhenti lama di Hentian Sebelah Spg. Pulai. Tiada tempat parkir di hentian sebelah dan kereta diletakkan di dalam kawasan Petronas Spg. Pulai Arah Selatan (dari 9:20 malam hingga 10:53 malam). Berhenti lama kerana solat di surau Petronas serta makan dan minum (RM8.50, RM40.00 dan RM13.00) di medan selera hentian sebelah. Kami bergerak semula di PLUS E1 dalam keadaan hujan lebat.
Jam 12:00 tengah malam hari Selasa, 14 November 2023 saya masih memandu kereta di PLUS E1 iaitu beberapa kilometer sebelum Persimpangan Tapah. Masih ada kesesakan lalu lintas. Jam 2:16 pagi, keluar dari PLUS E1 melalui Plaza Tol Jalan Duta (RM35.51) bayaran dengan kad T'nG. Jalan-jalan raya di Kuala Lumpur lengang. Jam 2:35 pagi di Lebuhraya Cheras - Kajang (E7) melalui Plaza Tol Batu 9 (RM1.30) bayaran PayDirect (eWallet) T'nG. Jam 2:45 pagi, sampai ke rumah SI di Kajang selepas memandu kereta sejauh 533.4 kilometer dari Masjid al-Hussain, Kuala Perlis.