Isnin, 27 Mei 2024

Pesta Buku Antarabangsa KL 2024

Kuala Lumpur, 27/05/2024 (Isnin) - Saya dan isteri telah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024. Ia sedang berlangsung di Putra World Trade Centre (PWTC) yang kini dikenali sebagai World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur atau Pusat Dagangan Dunia KL. PBAKL juga dikenali sebagai Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF) 2024.

Waktu operasi PBAKL 2024 ialah setiap hari dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam. Ia beroperasi mulai 24 Mei hingga 2 Jun 2024 iaitu selama 10 hari. Masuk adalah percuma. Negeri Tamu ialah Sabah. PBAKL 2024 diadakan semasa Cuti Penggal 1, Sesi 2024/2025.

Cuti sekolah untuk Cuti Penggal 1, Sesi 2024/2025 ialah 9 hari bagi negeri-negeri kumpulan B. Bercuti sekolah mulai Sabtu, 25 Mei 2024 hingga Ahad, 2 Jun 2024. Cuti sekolah 10 hari bagi negeri-negeri kumpulan A. Bercuti sekolah mulai Jumaat, 24 Mei 2024 hingga Ahad, 2 Jun 2024. Ini kerana pada Isnin, 3 Jun 2024 merupakan cuti umum sempena hari ulang tahun keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Seri Paduka Baginda ialah Sultan Johor Darul Ta'zim dan telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa pada 31 Januari 2024.

Hari ini (Isnin, 27 Mei 2024) ialah hari ke-4 PBAKL 2024. Datanglah beramai-ramai ke WTC Kuala Lumpur. Cuti sekolah masih ada dan kita boleh datang banyak kali jika tidak cukup waktu untuk pergi ke semua dewan pameran.

Saya dan isteri juga ada urusan lain di Kuala Lumpur pagi tadi semasa dalam perjalanan ke PBAKL 2024. Urusan kad T'nG di Touch 'n Go Hub, Level 2, NU Sentral Mall. Ketika kami berada di Kuala Lumpur, anak sulung, anak kedua, anak ketiga berada di rumah TJ dan anak keempat serta anak kelima berada di bawah penjagaan guru-guru tadika yang sedang bercuti sekolah. Beberapa hari lagi, kami bercadang untuk pergi bertujuh orang ke PBAKL 2024.

Saya memandu Perodua Bezza ke Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) kerana di sana ada banyak parkir kenderaan di kawasan persendirian. Naik pelbagai jenis tren iaitu Mass Rapid Transit (MRT) atau Transit Aliran Massa, Light Rapid Transit (LRT) atau Transit Aliran Ringan untuk LRT1 serta LRT2 dan Monorail (Monorel). Kami berdua menggunakan kad T'nG (tambang tanpa tunai) sepanjang menaiki tren hari ini.

9:17 pagi, tren MRT bergerak dari stesen BTHO. 9:47 pagi, sampai ke stesen pertukaran tren LRT2 (Laluan Kelana Jaya) di stesen Pasar Seni. 9:52 pagi, tren LRT2 sampai ke stesen KL Sentral (RM3.90 x 2). Kami berada di NU Mall Sentral. 10:24 pagi, tren Monorel Kuala Lumpur bergerak dari stesen KL Sentral. 10:30 pagi, sampai ke stesen pertukaran tren LRT1 (Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling) di stesen BBCC - Hang Tuah. 10:45 pagi, tren LRT1 sampai ke stesen PWTC (RM3.40 x 2). Kami berada di PBAKL/ KLIBF 2024. 1:29 petang, tren LRT1 bergerak dari stesen PWTC. 1:36 petang, sampai ke stesen pertukaran tren MRT (Laluan Kajang) di stesen Plaza Rakyat dan Merdeka. 2:15 petang, tren MRT sampai ke stesen BTHO (RM4.10 x 2).

Ahad, 19 Mei 2024

Percutian ke Johor Bahru 2024

Anak kedua dan anak ketiga yang berada di asrama sekolah tidak pulang ke rumah minggu ini. Ini kerana ia bukan minggu pulang bermalam. RM1,076.03 ialah jumlah perbelanjaan bercuti untuk kali ini. Ia tidak termasuk membeli hadiah dan sumbangan.

Kami berlima bercuti di Johor Bahru selama 3 hari 2 malam. Menginap di Bilik 1023, Thistle Johor Bahru Hotel, Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, 80100 Johor Bahru, Johor.

Kami menginap di hotel satu bilik dengan dua buah katil kelamin yang bercantum. Dari tingkap bilik yang menghadap laut, nampak negara Singapura. Ia juga menghadap kolam renang kepunyaan hotel dan Padang Sri Gelam (Padang Seri Gelam) yang terletaknya Johor Darul Ta'zim (JDT) Training Centre. Ada stadium khas untuk latihan pasukan bola sepak JDT. Hotel penginapan kami mempunyai sebuah tandas (bilik air), meja, kabinet, almari, dua buah kerusi, peti ais di dalam bilik, TV dan banyak cermin. Ada talian internet (Wi-Fi). Melalui internet (Agoda.com), tempahan bilik (hotel) dan bayaran bilik dibuat dalam talian (RM468.93) untuk penginapan 3 hari 2 malam.

Jumaat, 17 Mei 2024 (hari pertama). Kami bertolak dari rumah SI di Kajang pada jam 1:07 petang. Saya memandu Proton Bezza dan masuk ke Lebuhraya Kajang - Seremban/ LEKAS (E21). Melalui Plaza Tol (PT) Kajang Selatan ke PT Setul (RM5.50) dan PT Ampangan (RM2.30). Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E2). Melalui PT Senawang ke PT Skudai (RM27.31). Semasa dalam perjalanan di E2, jam 2:30 hingga 3:27 petang kami berhenti di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Makan dan minum di kawasan ini (RM70.40). Singgah solat di surau dan masuk ke tandas. Jam 5:30 hingga 5:42 petang kami berhenti di Kawasan Rehat Skudai. Pergi ke tandas. Saya mula menggunakan peta Google pada telefon pintar dan memandu keluar dari PT Skudai menuju ke lokasi. Jam 6:30 petang, kami sampai ke kawasan Thistle Johor Bahru Hotel setelah memandu sejauh 330 kilometer termasuk berhenti di beberapa buah tempat dan menempuh kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru. Kereta diletakkan di parkir tingkat C1 di dalam bangunan kawasan Thistle di sebelah bangunan penginapan. Selepas mandi dan solat, kami makan malam di Glass iaitu restoran yang terletak di lobi hotel (RM98.00). Kami naik ke tingkat 10, masuk ke Bilik 1023. Berehat dan tidur.

Sabtu, 18 Mei 2024 (hari kedua). Bangun pagi, solat Subuh dan kami bersiap diri. Keluar dengan kereta dan bersarapan pagi di Anjung Selera Hutan Bandar (RM33.50). Saya meneruskan pemanduan menghala ke Kampung Mahmoodiah dan kami melalui kawasan dalam Hospital Sultanah Aminah menggunakan kad Touch 'n Go (T'nG) untuk ke masjid. Tiada bayaran parkir dengan kad T'nG ketika keluar kerana kereta cuma melalui kawasan hospital dan akhirnya sampai ke Masjid Sultan Abu Bakar. Kemudian, kami meninjau kawasan Pantai Lido (Danga Bay) dan terus ke Stulang. Parkir kereta di Stulang Laut dan bergambar di tepi pantai. Saya memandu keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM5.00). Isi petrol di Petronas Jalan Storey (RM50.00). Saya memandu menghala ke Kota Iskandar. Parkir kereta di Puteri Harbour Marina di Tanjung Puteri dan melihat pelbagai jenis bot serta kapal layar. Keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM8.00). Memandu kereta menghala ke Masai. Makan tengah hari di Restoran al-Hanin, Taman Rinting yang menyediakan makanan Timur Tengah (RM59.00). Menu utamanya ialah Nasi Arab. Kembali bergerak. Tambah nilai kad T'nG di Petronas Jalan Lingkaran Dalam. Beli juga barang-barang keperluan (RM45.00). Kami kembali ke hotel. Solat dan berehat. Kemudian turun ke tingkat bawah dan mandi di kolam renang. Naik semula ke tingkat atas dan kembali ke bilik. Selepas mandi dan solat, kami keluar semula dengan kereta pergi ke Pasar Karat di Bazar Johor Bahru. Makan malam di Restoran Syed Ali (RM21.00) dan membeli barang-barang di Pasar Karat (RM44.00). Kami pulang ke hotel, masuk ke Bilik 1023. Berehat dan tidur.

Ahad, 19 Mei 2024 (hari ketiga). Bangun pagi, solat Subuh dan bersarapan di Bilik 1023. Kami mendaftar keluar awal sebelum jam 12:00 tengah hari. Saya memandu Perodua Bezza meninggalkan kawasan hotel. Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru, kami singgah ke daerah Kulai. Di Laluan Kedua Malaysia - Singapura/ LINKEDUA (E3) dekat Senai, kami tidak melalui PT. Masuk ke kawasan parkir kereta di Johor Premium Outlets pada jam 12:10 tengah hari. Keluar dari kawasan parkir menggunakan kad T'nG (RM3.00). Kami singgah makan tengah hari di Kedai Makan No1, Taman Senai Indah (RM32.00). Kembali bergerak. Jam 2:28 petang, masuk ke PLUS E2. Melalui PT Senai Utara ke PT Machap (RM6.31). Singgah solat dan ke tandas di PT Machap. Masuk semula ke E2. Melalui PT Machap ke PT Senawang (RM20.83). Semasa dalam perjalanan di E2, jam 3:30 hingga 3:35 petang, kami berada di Kawasan Rehat Machap. Isi petrol di Petronas Machap Arah Utara (RM32.05). Beberapa minit selepas keluar dari kawasan rehat, berlaku kesesakan lalu lintas selepas Persimpangan Ayer Hitam. Kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan sejauh kira-kira 6 kilometer kerana berlaku kemalangan di Kilometer 86.4 arah utara. Jam 5:44 hingga 6:44 petang, kami berada di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Singgah makan dan minum (RM36.10) serta ke tandas. Masuk ke LEKAS E21. Melalui PT Ampangan (RM2.30) dan PT Setul ke PT Kajang Selatan (RM5.50). Semasa dalam perjalanan di E21, jam 8:02 hingga 8:30 malam, kami berada di Kawasan Rehat Beranang. Singgah ke tandas dan solat di surau. Meneruskan perjalanan dan pada jam 8:51 malam, kami sampai ke rumah SI di Kajang.

Saya menulis artikel ini sedikit demi sedikit menggunakan telefon pintar dan menyimpannya sebagai draf ketika masih dalam perjalanan bercuti. Apabila ia telah lengkap ditulis, saya menerbitkannya pada hari ini (Ahad, 19 Mei 2024).

Khamis, 16 Mei 2024

Hari Guru 2024

Kuantan, 16/05/2024 (Khamis) - Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah atau SASICC (Sultan Ahmad Shah International Convention Centre), Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 Tahun 2024 diadakan pagi ini di Pahang. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’. Puan Fadhlina binti Sidek ialah Menteri Pendidikan 2024.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Objektif Hari Guru Malaysia. 1-Menitik beratkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat. 2-Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia. 3-Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru. 4-Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat. 5-Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru. 6-Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatar belakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Ikrar Hari Guru. Bahawasanya kami. Guru-guru negara Malaysia. Dengan ini berikrar. Mendukung terus cita-cita kami. Terhadap tugas kami. Dan menyatakan keyakinan kami. Pada cita-cita murni pekerjaan kami. Kami akan berbakti. Kepada masyarakat. Dan negara kami. Kami sentiasa menjunjung. Perlembagaan negara. Kami mengamalkan. Prinsip-prinsip Rukun Negara. Pada setiap masa.

Rabu, 1 Mei 2024

Rabu Cuti Hari Pekerja 2024

Kajang, 01/05/2024 (Rabu) - Anak kedua berada di asrama sekolah menengah kebangsaan agama dan anak ketiga berada di asrama sekolah menengah agama. Anak sulung (cuti semester), anak keempat, anak kelima, saya dan isteri sedang berada di rumah TJ pagi ini. Hari ini juga ialah 22/10/1445 iaitu 22 Syawal 1445. Bulan lepas (April 2024), kami bertujuh sempat berada di rumah SI, rumah TTD dan rumah TJ. Hari ini merupakan hari pertama untuk bulan Mei 2024.

Tema sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada tahun ini ialah Pekerja Kesuma Bangsa. Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan Malaysia melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di samping berkompetensi untuk berinovasi serta meneroka bidang-bidang baharu merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.

Penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertetapan dengan tema Hari Pekerja Tahun 2024 iaitu Pekerja Kesuma Bangsa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (Kamus Bahasa Melayu), Pusat Rujukan Persuratan Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka), Kesuma Bangsa ialah pemuda dan pemudi (dalam sesuatu bangsa).

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.