Panggilan telefon pada 12:19 PM dijawab oleh saya. Oleh kerana saya sedang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian dan Pentaksiran, Dr Chan Shi Ying menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada 12:20 PM.
Saya bersetuju untuk diterima masuk (admit) ke wad di HCTM hari Rabu, 17 September 2025 bagi pembedahan mata kanan pada hari Khamis, 18 September 2025. Dr Chan Shi Ying telah menempah Wad 5F (Oftalmologi) untuk saya pada 12:25 PM (Khamis, 11 September 2025).
Wad 5F (Oftalmologi) merupakan wad surgeri di tingkat 5. Surgeri ialah rawatan kecederaan atau penyakit dengan memotong atau membuang sesuatu bahagian badan seperti organ, sel dan lain-lain.
Rabu, 17 September 2025 (hari pertama). Saya memandu kereta membawa isteri dan kami sampai ke HCTM. Hari ini masih cuti sekolah untuk Cuti Penggal 2, Sesi 2025/2026. Pergi ke kaunter hasil (bayaran / kemasukan / discaj) di tingkat G. Saya mendapat nombor 2057 (jam 8:54 AM). Membuat urusan di Kaunter 1 dan 4. Naik lif ke tingkat 5 dan pergi ke Wad 5F (Oftalmologi). Saya ditempatkan di Katil 3. Saya menukar pakaian pesakit wad di hospital. Pemeriksaan kesihatan saya dilakukan oleh jururawat dengan diperiksa tekanan darah, bacaan gula dalam darah, ujian ECG (Electrocardiogram) dan darah saya diambil. Beberapa titisan cecair dimasukkan ke dalam mata kanan dan kiri untuk kembang anak mata. Isteri saya memandu kereta pulang ke rumah di Kajang. Selepas makan tengah hari, saya turun lif ke tingkat 1 diiringi jururawat dan pergi ke Klinik Oftalmologi. Di Bilik 7, diperiksa mata saya menggunakan Slit Lamp oleh pasukan doktor perubatan. Dicalit dengan sesuatu berwarna jingga untuk diperiksa tekanan kedua-dua bahagian mata. Tekanan mata kiri saya 18 mmhg dan tekanan mata kanan saya ialah 18 mmhg. Di Bilik 10 (Bilik Biometry) untuk imbasan melihat sel mata. Saya naik lif ke tingkat 5 diiringi jururawat dan kembali ke Wad 5F. Di wad, Profesor Dr Mae-Lynn Catherine Bastion, Pakar Perunding (Vitreo-Retina) sendiri yang memeriksa mata saya. Pelbagai jenis ubat diberi kepada saya ketika berada di Katil 3. Saya mendapatkan tambahan ubat titisan mata di Farmasi SF HCTM di tingkat G dengan nombor giliran A0371. Dua jenis ubat tersebut ialah Allergo-Comod, 1 titis 4 kali sehari (mata kanan dan kiri) siang dan malam. Patanol, 1 titis 2 kali sehari (mata kanan dan kiri) siang dan malam.
Khamis, 18 September 2025 (hari kedua). Tekanan darah saya dipantau sepanjang hari sejak semalam. Pagi ini, sebelum Subuh lagi telah diperiksa tekanan darah saya. Jadual makan dan minum di dalam wad adalah seperti berikut. Sarapan pagi untuk 7:00 AM. Makan tengah hari untuk 12:00 PM. Minum petang untuk 3:00 PM. Makan malam untuk 6:00 PM. Selepas makan tengah hari, saya diminta menukar pakaian untuk ke bilik bedah. Saya menaiki kerusi roda dan ditolak oleh jururawat. Kami turun lif ke tingkat 2 dan saya berbaring di atas katil pula. Dua orang doktor perubatan menolak katil saya untuk pergi ke Bilik Bedah 16 dan ditukar katil lain. Dibuat pembedahan mata saya untuk mengeluarkan kanta mata asal yang terapung-apung setelah tertanggal dari tempat asalnya dan digantikan dengan kanta mata palsu. Bius setempat di bahagian mata kanan sahaja. Saya berada dalam keadaan sedar semasa dibuat pembedahan mata dari jam 1:20 PM hingga 3:20 PM. Tekanan darah dan degupan jantung dipantau sepanjang pembedahan berlangsung. Pembedahan selesai dengan baik. Saya ditukar katil lain dan dibawa keluar dari bilik bedah. Saya menaiki kerusi roda dan ditolak oleh jururawat. Kami naik lif ke tingkat 5 dan kembali ke Wad 5F. Isteri saya sudah berada di sisi Katil 3. Tidak lama kemudian, dia memandu kereta pulang ke rumah di Kajang. Saya berehat di wad dan terus dipantau situasi selepas pembedahan dengan pemeriksaan kesihatan.
Jumaat, 19 September 2025 (hari ketiga). Saya berehat di Wad 5F selepas dibuat pemeriksaan mata oleh jururawat dan doktor perubatan. Janji temu di Klinik Oftalmologi ditulis ke dalam Kad Janji Temu di Kaunter Jururawat sebelum membuat urusan dicaj dari wad hospital. Saya turun lif ke tingkat G dan pergi ke kaunter hasil (bayaran / kemasukan / discaj) membuat urusan discaj. Mengambil senarai ubat di FSLU (Farmasi Satelit Lobi Utama) dan mendapatkannya di Kaunter Jururawat di Wad 5F. Tiga jenis ubat. Maxidex, 1 titis setiap 2 jam kecuali semasa tidur malam (mata kanan). Zoxan, 1 titis setiap 2 jam kecuali semasa tidur malam (mata kanan). Maxitrol, 1 picit 1 kali sehari (mata kanan) malam sebelum tidur. Diteruskan dengan dua jenis ubat yang sama sebelum pembedahan mata. Alphagan, 1 titis 3 kali sehari (mata kanan) siang dan malam. Timoptol, 1 titis 2 kali sehari (mata kanan) siang dan malam. Di wad, Profesor Dr Mae-Lynn Catherine Bastion, Pakar Perunding (Vitreo-Retina) memeriksa mata saya sebelum discaj. Isteri saya sudah berada di sisi Katil 3. Saya diberi Sijil Cuti Sakit oleh Dr Abdul Rahman bin Abu Hussain selama sebulan. Saya telah menukar pakaian dan berkemas diri. Ucapan terima kasih saya berikan kepada doktor perubatan dan jururawat sebelum kami berdua meninggalkan Wad 5F. 3 hari 2 malam saya berada di HCTM. Waktu tengah hari, isteri memandu kereta membawa saya pulang ke rumah TJ di Kajang.