
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah: Ayat 183).
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Islam itu ditegakkan di atas lima dasar. Menyaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji serta berpuasa di bulan Ramadhan. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang berkat. Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini dengan melakukan amalan-amalan yang telah diperintahkan seperti menunaikan kewajipan berpuasa mengikut hukum-hukum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (Muttafaq a'laih).
Kita hendaklah menghindari diri daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Tidaklah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi berpuasa itu termasuklah menghindari diri daripada melakukan perbuatan yang melalaikan dan daripada bercakap keji. (Riwayat Ibn Khuzaimah).
Ramadhan ialah bulan yang di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampuni dosanya yang terdahulu. (Muttafaq a'laih).