Jumaat, 23 Oktober 2009

Khutbah Jumaat 23102009

Kajang, 23/10/2009 – Saya menuju ke masjid di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang untuk menunaikan solat Jumaat. Saya tiba beberapa minit di SMAP sebelum azan Zohor berkumandang. Para jemaah telah mula hadir beramai-ramai ke sini. Sebelum menunaikan solat Jumaat, khutbah telah disampaikan oleh Ustaz Wan Akashah.

Di dalam khutbah yang pertama, beliau memaklumkan bahawa waktu Zohor hari ini ialah pada jam 1:00 petang. Datanglah awal ke masjid supaya sempat mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat. Beliau juga menyentuh berkenaan orang lelaki sebagai ketua keluarga. Jadilah seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab kerana pada hari akhirat nanti, kita akan dipersoalkan jika tidak melakukan amanah ini.

Ustaz Wan Akashah mengulas tentang tajuk kematian. Di dunia kita ada banyak pilihan untuk melakukan sesuatu perkara. Di akhirat, kita cuma diberi dua pilihan iaitu syurga atau neraka. Tidak ada orang yang duduk di tengah-tengah antara syurga dan neraka. Terdapat tiga golongan manusia. 1-Orang yang lupa mati. 2-Orang yang takut mati. 3-Orang yang ingat mati.

Orang yang lupa mati ialah orang yang benci kepada kematian. Orang yang takut mati ialah orang yang berfikiran negatif terhadap kematian. Orang yang ingat mati ialah orang-orang yang membuat persediaan berikut. A-Berbuat baik. B-Sabar menghadapi ujian. C-Segera bertaubat.

Di dalam khutbah yang kedua pula, beliau mengingatkan kepada para jemaah berkenaan bagaimana hendak menyuburkan kasih sayang antara manusia. Saidina Umar r.a. menyebut, amalkan tiga perkara. 1-Apabila bertemu, beri salam terlebih dahulu. Jangan tunggu rakan kita dahulu memberi salam. 2-Beri kelapangan kepada rakan yang datang seperti mencari tempat duduk untuknya jika dia hadir ke sesuatu majlis. Jika dia datang dari jauh, sediakan tempat letak kenderaaan untuknya. 3-Apabila menyebut namanya, sebut nama yang paling disukainya seperti Pak Aji, Ustaz, Cikgu, Dr., Dato’, Tan Sri dan sebagainya. Jangan panggil dengan gelaran yang tidak elok seperti Si Botak, Si Buncit dan sebagainya.

Itu ialah antara isi-isi penting yang sempat saya catat semasa mendengar khutbah Jumaat tadi. Diharap dengan catatan ringkas ini, dapat sama-sama kita bermuhasabah atau pun menghitung diri untuk menuju ke alam yang kekal abadi iaitu akhirat.

Ahad, 18 Oktober 2009

Sua Rasa A'idil Fitri Selangor 2009

Shah Alam, 18/10/2009 – Saya, isteri dan dua orang anak kami berada di Program Sua Rasa A’idil Fitri TV9 di Perkarangan Stadium Shah Alam pagi ini. Suasana meriah menceriakan Karnival Sua Rasa A’idil Fitri kerajaan negeri Selangor. Dari awal pagi lagi, orang ramai dan keluarga berduyun-duyun membanjiri kawasan ini.

Karnival Sua Rasa A’idil Fitri diadakan hasil kerjasama kerajaan negeri Selangor dan stesen televisyen TV9 pada 17 dan 18 Oktober 2009. Program Sua Rasa A’idil Fitri kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama TV9 menjadi perintis kerjasama lebih erat kerajaan negeri dan media arus perdana. TV9 merupakan anak syarikat Media Prima Berhad iaitu merangkumi TV3, NTV7 dan 8TV. Saya sekeluarga berkesempatan pergi ke sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan liputan media arus perdana dan kerjasama seperti ini harus diteruskan.

“Lagi sekali program untuk menghampiri rakyat melalui media televisyen, saya berterima kasih kepada TV9 dan rakan-rakan daripada kerajaan negeri Selangor yang bersetuju untuk mengadakan Sua Rasa diadakan satu karnival, semua masyarakat Selangor diminta hadir bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, EXCO Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali melahirkan rasa sukacita dengan program pelbagai dimensi ini.

Pakar motivasi terkenal ini menjelaskan di samping berhibur dengan hiburan berfaedah, orang-ramai juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Hadiah Anak Masuk Universiti.

Menurut Hasan lagi, karnival seperti ini dapat membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka peluang perniagaan dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke pesta ini.

“Bukan sahaja dapat menyerlahkan apa yang sedang berlaku di Selangor dari segi pembangunan-pembangunan yang sedang dan akan dijalankan, tetapi saya lihat pedagang-pedagang mempamerkan barangan dagangan mereka daripada peniaga bumiputera, setanding yang kita lihat seperti MCDONALD dan sebagainya. Ini satu perkembangan yang sangat menggalakkan,” katanya, semalam.

Program Sua Rasa A'idil Fitri ini bermula dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 malam menyediakan pelbagai gerai jualan dan pameran kepada pengunjung. Hari ini, kami sekeluarga telah pergi ke sini sejak pagi-pagi lagi. Waktu tengah hari, kami mula bertolak pulang kerana anak-anak pun sudah penat berjalan di sekitar karnival ini.

Rabu, 7 Oktober 2009

Penceramah Kursus Membina Blog

Cheras, 07/10/2009 - Unit Perkembangan Staf Sekolah Kebangsaan Taman Puteri (SKTP) mengadakan Kursus Membina Blog pada petang ini dan petang esok. Ia untuk Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) fasa yang kedua bagi tahun 2009. Kursus ini diadakan di makmal komputer sekolah.

Saya bertindak sebagai penceramah kursus. Bahan bantu yang saya gunakan ialah MICROSOFT OFFICE POWER POINT dan jaringan internet sekolah. Peserta-peserta kursus yang terdiri daripada guru-guru SKTP, diberikan pengenalan terlebih dahulu berkenaan blog. Bagi yang belum mempunyai blog, mereka ditunjukkan cara-cara asas membina blog. Bagi yang telah mempunyai blog, mereka ditunjukkan pula cara-cara untuk menambah alat ke dalam blog.

Nota ringkas yang saya telah edarkan kepada peserta-peserta kursus, dimuatkan di sini:

MARI BINA BLOG

Mungkin ada di antara anda yang belum tahu tentang blog dan tertanya-tanya tentang blog. Maka, saya akan mengulas sedikit tentang blog menurut apa yang saya tahu.


Apakah Itu Blog?

Blog ialah singkatan daripada perkataan web log. Ia sesuatu yang bersifat peribadi iaitu lebih kepada maklumat diri daripada pembina blog itu sendiri. Walau pun begitu, ada yang menggunakan blog untuk maklumat sesuatu institusi atau pun persatuan. Ia terserah kepada tujuan pembinaan blog tersebut. Blog dibina oleh pencipta blog agar mudah untuk diselanggara. Jadi, bagi anda yang masih kurang faham dengan bahasa pengatur caraan untuk membuat sesebuah blog, kini ianya tidak lagi menjadi masalah. Apabila anda sudah boleh membuat sebuah akaun e-mel di internet, maka dalam membina blog pun ianya adalah mudah.


Cara Membina Blog:

Seperti halnya dengan e-mel, dalam membuat blog pun kita harus mempunyai sebuah akaun terlebih dahulu. Oleh kerana itu, sila daftarkan diri anda terlebih dahulu di salah satu web pembinaan blog percuma. Ia banyak terdapat di internet dan yang popular setakat ini ialah https://www.blogger.com

Dalam kesempatan kali ini, saya akan mengulas tentang cara pembinaan blog di https://www.blogger.com

Setelah anda melayari laman web di atas dengan Bahasa Malaysia, perkara yang perlu anda lakukan ialah:

1-Klik perkataan " REKA-LAH BLOG ". 2-Daftar akaun blogger dengan alamat e-mel anda. 3-Isi Tajuk Blog dengan nama yang anda ingin tampilkan. Sebagai contoh, Abdul Malik. 4-Tulis Alamat Blog anda di ruangan Alamat Blogspot. Sebagai contoh, abdulmalik.blogspot.com 5-Ia memerlukan pengesahan perkataan jika anda diminta berbuat demikian.6-Seterusnya klik perkataan “TERUSKAN”. 7-Pilihlah templat yang anda inginkan. Kemudian klik perkataan “TERUSKAN”. 8-Penuhkan maklumat-maklumat di ruangan "Tetapan" supaya masa, tarikh, hari dan sebagainya adalah tepat mengikut waktu di lokasi anda sekarang iaitu Malaysia. 9-Selepas itu, anda sudah boleh mula menulis. Setelah selesai menulis, klik perkataan “TERBITKAN CATATAN”.


Pengisian Blog:

Bagi mereka yang baru mula membina blog, biasanya mereka keliru selepas mendaftarkan blog mereka. Apa yang harus diisi ke dalam sesebuah blog? Isi untuk sesebuah blog tentu saja terserah kepada pemilik blog itu sendiri. Apakah yang mahu ditulis? Perjalanan kisah hidup, berita, peristiwa, ilmu pengetahuan atau pun apa sahaja. Di sini saya menyarankan, isilah blog dengan minat ataupun perjalanan kisah hidup anda kerana ramai pembaca blog yang berminat tentang kisah kehidupan anda sehingga mereka akan tertarik untuk membaca tulisan-tulisan anda. Bagi sesebuah institusi atau pun persatuan tertentu, selalu kemaskinikan catatan. Begitu juga dengan blog peribadi, selalu dikemaskini dan bina jaringan dengan blog atau web yang lain untuk meningkatkan pengunjung ke blog anda.

SELAMAT MENCUBA.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.